RMK11: Sudut pandang rakyat

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

1. Kerajaan telah mengumumkan satu perancangan 5 tahun Malaysia yang menggambarkan kedudukan negara ini bagi 5 episod akan datang. Saya tidak pasti sama ada pembentangan itu dinanti-nantikan oleh rakyat atau tidak kerana jika diimbas tiada yang membezakan ia dengan perancangan RMK9 dan RMK10 yang penuh warna-warni tetapi liku-liku ekonomi itu tetap terbeban kepada rakyat.

2. Sasaran pendapatan perkapita nasional sebanyak USD15,000 menjelang tahun 2020 memang sesuatu yang mengujakan. Ini disusuli dengan pendapatan bulanan isi rumah daripada RM6,141 pada 2014 kepada RM10,540. Ia sesuatu yang bagus jika angka itu dirasai oleh semua rakyat.

3. Namun, hakikatnya mungkin tidak. Berapa peratus dari kalangan rakyat Malaysia yang memperoleh jumlah pendapatan isi rumah RM6,141 ketika ini? Berapa pula peratus di peringkat purata pendapatan median iaitu RM4,258? Berapa pula peratus separuh dari pendapatan median tersebut iaitu pada paras garis kemiskinan?

4. Begitu juga masalah kemiskinan dan pengagihan pendapatan negara. Sejak 1970, kerajaan gagal mengurangkan pekali GINI ke paras bawah 0.4. Begitu juga pengagihan pendapatan ‘bottom 40 percent’ (B40) hanya menikmati 13-15 peratus daripada kekayaan negara dalam tempoh yang sama. Ia masih terlalu jauh dari realiti yang ada.

5. Sesuatu yang lebih membimbangkan – dan mungkin mengecewakan juga – adalah tiada komitmen kerajaan untuk memperbaiki pengurusan ekonomi yang telah terpalit dengan pelbagai penyelewengan besar. Umum mengetahui bagaimana isu hutang 1MDB yang kini mencecah kira-kira USD11.6 bilion (RM41.658 bilion). Begitu juga hutang kerajaan yang masih berada di paras yang tinggi iaitu mencecah RM596.86 bilion (52.1 peratus KDNK). Apa penyelesaian konkrit kepada pelbagai "penyakit ekonomi" hari ini? Saya sejujurnya tidak melihat element itu wujud dalam buku tebal RMK11.

6. Akhir sekali, suatu perkara yang ingin saya bangkitkan adalah mengenai sejauhmana ketamadunan negara ini dibentuk dan diukur. Tamadun Islam telah membuktikan bukan sahaja kepada sistem (syari’ah)nya yang hebat bahkan ia memiliki kekuatan akhlak yang padu hasil daripada tunjang aqidah yang mendalam kepada Allah سبحانه وتعالى. Itulah tiga asas tamadun: Aqidah, Syari’ah dan Akhlak.

8. Saya bimbang, kita sibuk mengejar status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, tetapi hakikatnya kita hanya sedang membina sebuah kekayaan bukan sebuah tamadun. Bukankah Allah سبحانه وتعالى pernah menegur kaum terdahulu yang membina bangunan mencakar langit tetapi mereka meninggalkan Allah? - HARAKAHDAILY 23/5/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Mas.

Share on Myspace