Falsafah politik Islam (siri kedua)

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

Apa yang disebut sebagai politik Islam atau political Islam adalah sebenarnya penghuraian kepada permasalahan hubungan Islam dengan politik. Ia membawa maksud bagaiamana konsep Islam memenuhi ruang kepemerintahan, kuasa, bagaimana melantik kepimpinan politik dan apakah sistem yang dipakai untuk mengurus soal hubungan rakyat dengan pemerintah. Istilah lain yang sinonim dengan konsep pemerintahan dalam Islam ini ialah siyasah syariah yang merupakan alat fiqah utama sebagai panduan kepada konsep pemerintahan. 

Prinsip Asas

Politik Islam sepertimana bidang lain mengasaskan segala cabangan tindakan berpolitik kepada sumber utama Al Quran dan As Sunnah. Ini bermakna bidang politik yang luas tetap mensyaratkan semua tindak-tanduk mestilah tidak bercanggah dengan sumber kuasa utama iaitu ketetapan Allah dan RasulNya.

Berpandukan kepada betapa luasnya bidang ini dan terdedahnya ia kepada pelbagai andaian kemaslahatan (kebaikan utama) maka prinsip asas ini menjadi pra syarat utama membina konsep politik Islam. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah memerintahkan ke atas kamu untuk melakukan keadilan kepada yang berhak mendapatnya dan jika engkau (wahai Muhammad) membuat keputusan (dalam segala hal termasuk pemerintahan) maka hendaklah engkau melakukannya dengan keadilan, Sesungguhnya Allah adalah sebaik memberi nasehat untuk kamu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui” (Al-Nisa’: 58)

Berkenaan dengan kuasa, Allah menyebut bahawa sumber kuasa mutlak adalah daripada Allah;

“Katakanlah kepada Allah sahaja segala kekuasaan, Allah berhak menganugerahkan kuasa kepada siapa yang dia kehendaki (memberi kemuliaan) dan Allah berhak merampas kuasa itu (menghina seseorang) dari siapa yang Dia kehendaki, pada Mu segala kebaikan, Engkaulah Maha berkuasa ke atas segala sesuatu”(Ali Imran : 26)

Politik Tiada Format

Antara hikmah politik Islam daripada sudut pendekatan kepemerintahan tidak diformatkan adalah kerana untuk memberi ruang kepada suasana dan zaman yang menentukan kesesuaiannya. Sebab itu dalam kita apabila mengkaji sains politik Islam keutamaan adalah kepada prinsipnya dan bukan kepada formatnya.

Format boleh berubah-ubah mengikut acuan semasa dan zaman namun prinsip tetap kekal dari sudut ia mestilah sistem yang adil, kebebasan untuk bersuara mesti diberi ruang dan membina prinsip perundangan sebelum perundangan dapat dikuatkuasakan.

“Hukum itu berubah mengikut perubahan zaman dan konteks” (Ahmad ibn Muhammad al-Zarqa’, Sharh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Damsyik: Dar l-Qalam 1989, m.s. 224)

“Keutamaan ialah pada objektif dan isi kandungan bukan kepada aspek zahir dan nama semata-mata” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 3, m.s 261)

Prinsip Politik Yang Tetap

Prinsip yang tidak berubah dalam menjayakan politik Islam antara lainnya ialah:

Prinsip Sumber 

Sumber politik Islam sebagaimana yang disentuh lebih awal diambil daripada panduan Al Quran dan AS Sunnah. Ia boleh dilihat dari sudut pengertian kuasa, penghayatan nilai-nilai seperti keadilan, kebertanggunjawaban dan amanah dalam melaksanakan tugas kepemerintahan. Semua ini adalah perintah Allah SWT dan dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Tiada mana-mana pengamal boleh mendakwa ia beramal dengan politik Islam selagimana mana tindakannya itu bercanggah dengan prinsip sumber yang ditetapkan Allah dan RasulNya. Dalam hal kebebasan bagaiamana prinsip sumber ini hendak dilaksanakan terpulanglah kepada ijtihad semasa bersesuaian dengan keperluan konteks dan zaman yang berubah-ubah. 

Prinsip Syura

Oleh kerana politik atau siasah adalah tertakluk kepada menyampaikan kebaikan utama (maslahah) untuk manusia, maka sudah pasti proses perundingan dengan orang ramai adalah satu keperluan. Hal yang demikian adalah untuk mengelakkan munculnya sebuah pemerintahan yang kukubesi yang boleh membawa kepada salahguna kuasa untuk kepentingan diri dan kelompok. Konsep ini ditegaskan oleh Islam dalam firman Allah;

“Jika engkau wahai Muhammad bersikap kasar dan keras hati, pasti sahabat-sahabat mu akan meninggalkan kamu, oleh itu berlembutlah dengan mereka, dan ampunilah segala kesalahan mereka terhadapmu serta hendaklah engkau berunding dengan mereka (syura) dalam sesuatu hal (untuk kepentingan bersama) dan setelah daripada kamu membuat sesuatu ketetapan maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal” (Ali ‘Imran: 159)

Berpandukan kepada arahan ini, Nabi mengamalkan syura dalam tindakan-tindakan baginda dengan membuka ruang kepada orang ramai selagimana ia bukan persoalan wahyu. Nabi sering berkata dalam meminta pandangan,

“Bermesyuaratlah denganku wahai kaumku...”(Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 3, m.s 261)

Nabi senantiasa merujuk kepada mereka yang berkelayakan atas pengetahuan dan pengalaman dalam bidang masing masing yang juga merupakan perintah Allah dalam istilah yang disebut oleh Al Quran dalam Surah al-Anbiya’ ayat 7 sebagai ahlil zikry.

Prinsip syura adalah benteng kepada kemungkinan sesebuah pemerintahan itu terdedah kepada pemerintahan kukubesi yang amat ditentang oleh Islam.

3. Prinsip Keadilan

Keadilan adalah maslahah yang paling utama dalam politik Islam kerana tanpa prinsip ini kezaliman akan menguasai suasana pemerintahan. Dalam hal ini Rasulallah SAW mengamalkan dasar keadilan tanpa mengira bulu dan mempertahankan keadilan. Nabi pernah mengarahkan Omar r.a untuk menambahkan bayaran hutang kepada seorang Yahudi hanya kerana beliau telah memarahi Yahudi itu kerana meminta hutang dari Nabi SAW dengan cara kasar.

Nabi tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan tugas dan mengeakkan prinsip hukum apabila baginda bersabda;

“Telah hancur mereka yang terdahulu kerana apabila yang si kaya mencuri mereka diamkan sahaja sedangkan apabila si miskin mencuri mereka mengenakan hukuman ke atasnya, Demi nyawa Muhammad yang dalam genggaman Allah, jikalau Fatimah anak perempuan ku mencuri, pasti aku kenakan hukuman ke atasnya' (dengan memotong tangannya)” (Hadith Muslim, Kitab Hudud, No. Hadith 1688)

4. Prinsip Kebebasan

Kebebasan adalah dasar utama pemerintahan dalam Islam berpandukan kepada realiti bahawa Islam menerima kepelbagaian baik dari sudut pandangan ataupun kepercayaan. Allah melarang Muhammad SAW memaksa penganut agama lain menerima Islam sedangkan Islam adalah merupakan asas pembinaan pemerintahan yang dibentuk oleh Rasulullah. Firman Allah;

“Jika Tuhanmu kehendaki akan berimanlah keseluruhan manusia di bumi ini, apakah engkau wahai Muhammad mahu memaksa orang lain sehingga mereka beriman? Tiada jiwa yang beriman melainkan dengan izin Allah, nanti Allah kenakan keburukan kepada mereka yang tidak berakal” (Yunus: 99)

5. Prinsip Kemanusian

Politik Islam menitik beratkan soal soal kemanusiaan kerana ia adalah perintah Allah. Kenyataan ini dikenali dengan istilah Al Quran sebagai Karamatul Insan seperti dalam firmanNya:

“Kami telah memuliakan anak Adam (manusia) dan Kami angkatnya di daratan dan lautan dan kami limpahkan padanya rezeki yang baik-baik lalu Kami lebihkan mereka dari ciptaan Kami yang lain” (Al Isra’: 96) 

Politik Islam meletakkan asas kemanusiaan sebagai tanggungjawab kepada Allah dan bukan sahaja tanggungjawab politik. Isu memelihara hak asasi manusia bukan agenda Barat tetapi prinsip Islam yang mesti disempurnakan haknya. Perbahasan sama ada Islam bertemu dengan Barat dalam isu HAM (Hak Asasi Manusia) atau tidak adalah perbahasan akademik yang menarik namun prinsip kemanusiaan dalam politik Islam adalah sentral sifatnya.

Lima prinsip ini adalah sesuatu yang tidak akan berubah dengan berubahnya zaman dan pendekatan.

Pendekatan Boleh Berubah

Pendekatan dalam Islam tidak pernah dihadkan kerana Islam menganggap ruang masa dan zaman adalah sebahagian daripada elemen kemaslahatan. Dalam hal ini, aspek pendekatan politik Islam terdedah kepada keperluan semasa dan cara bagaimana sesuatu sistem itu terpakai. Asas kepada politik Islam dalam konteks hari ini boleh dibahagikan kepada beberapa pendekatan.

1. Pendekatan Politik Kepartian
2. Pendekatan Politik Kerajaan dan Pentadbiran
3. Pendekatan Sistem Politik melalui Demokrasi Berparlimen
4. Pendekatan Berpilihanraya

Isu aplikasi kepada pendekatan ini lebih berbentuk re-constuct atau memulih-semula mengikut prinsip yang dizinkan oleh siyasah syariah. Usaha untuk membentuk acuan Islam dalam pendekatan memulih-semula menuntut politik Islam bersikap realistik dan praktikal. 

Nantikan siri ketiga akan datang yang berjudul PAS dan Asas Perjuangan.

Al Faqir Ilallah
Mujahid Yusof Rawa

HARAKAHDAILY 25/5/2015

Share on Myspace