Jangan kecewa dengan PAS

NASRUDIN HASSAN | .

1. Dasar perjuangan PAS ialah Islam dan ia tidak pernah berubah sehingga ke hari ini. Seusia saya menyertai PAS sejak zaman al Marhum Tuan Guru Yusuf Rawa sebagai Yang Dipertua PAS pada masa itu sehinggalah hari ini di bawah kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS, nyata dasar dan prinsip perjuangan Islam terus diperkukuh dari masa ke semasa.

2. Perubahan pendekatan adalah berasaskan Feqhul Waqi' (Memahami Realiti) untuk meletakkan Islam senantiasa sesuai dengan zaman dan tempat yang ditempuhinya. Namun dasar dan prinsip perjuangan PAS tidak pernah digadai pajak meskipun seketika semata-mata memburu kemenangan dan meraih undi dalam pilihanraya.

3. Tiada yang mudah dengan perjuangan Islam ini. Jauh perjalanan dan getir pula laluannya. PAS sebagai sebuah wadah atau platform perjuangan Islam di Malaysia jua terpaksa menempuh situasi yang serupa. Ia adalah sunnah perjuangan Islam sepanjang zaman. Hayati Firman Allah swt:

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) adalah sesuatu faedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang hampir, nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi destinasi yang dituju itu terlalu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah lalu berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta. (Surah at-Taubah: ayat 42)

4. Apabila kita menyertai PAS, maka perlu kita sedari bahawa PAS bukan sekadar sebuah parti politik yang memburu cita-cita politik melalui peti undi dan pilihan raya semata-mata bahkan PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang terus berjuang untuk menyelamatkan manusia dari perhambaan sesama hamba kepada memperhambakan diri kepada Allah swt dan memenangi pilihan raya itu sebahagian dari usaha PAS.

5. Justeru itu tiada istilah kecewa dan putus asa bagi perjuangan ini. Kemelut dalaman parti adalah ujian semasa daripada Allah swt buat para pejuang agamaNya di sepanjang zaman. Sejak zaman Rasulullah saw. Baginda dan para sahabat sering diuji Allah swt dengan masalah dalaman dan fitnah yang ditiup oleh munafiq dari dalam kelompok Islam. Ia adalah ibtila' (ujian) yang mesti ditempuh oleh insan bergelar pejuang. Firman Allah swt:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad: ayat 31) - HARAKAHDAILY 25/5/2015

Share on Myspace