Dr Mursi dan tugu arca kezaliman rejim kudeta

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

 

Ardhul Kinanah tak pernah gagal menyaksikan kezaliman demi kezaliman terhadap pejuang Islam, hembusan angin Sahara sekali lagi membawa khabar duka bumi Mesir.

Komplot rejim kudeta dengan tangan ghaib zionis telah memberangus harkat manusiawi tanpa sepicing rasa malu mereka kepada dunia bertamadun yang menyaksikan sistem keadilan Mesir tak ubah kandang kanggaru. Dr Mursi, Dr Muhamad Badie', Sheikh Mehdi Akif dan seratus orang yang lain bakal dikenakan hukuman gantung dengan pendakwaan dan tuduhan palsu yang memualkan pencinta keadilan.

Jerkahlah sekuatnya kepada rejim tolol Fatah as-Sisi, namun mereka tetap tak peduli, seolah-olah tuli dan tanpa nurani serta memperalatkan kelompok agamawan rasmi untuk menjustifikasikan kezaliman mereka.

Isu Mesir yang berdarah, berkubang air mata, pembantaian sekaligus merupakan menifestasi Ahzab moden yang menunjukkan wajahnya yang hodoh dan pongah. Gejolak isu Mesir rasanya begitu hampir dengan nurani umat Islam di negara ini, paling kurang dalam tempoh semenjak satu abad yang lampau.

Pengaruh Mesir begitu membumi dan mempunyai keunikannya yang tersendiri terhadap rakyat negara ini, apatah lagi dengan sebahagian cendekiawan Islam ini mencicip ilmu di kota seribu menara itu.

Gelombang kebangkitan rakyat Mesir turut menyentuh perkembangan politik rakyat negara ini lebih seabad lampau, seawal abad ke-20, Mesir begitu sekali dekat dengan rakyat negara ini. Pelajar-pelajar Melayu yang pintar meraih ilmu di dada bumi ambia' ini. Kepulangan mereka telah melakarkan landskap sosio politik bernuansa islami.

Semenjak sebelum merdeka simbahan semangat pan islamism yang digalang tokoh-tokoh pemikir seperti Syeikh Mohd Abduh, Syeikh Jamaluddin Al-Afghani. Syeikh Rashid Ridha turut menyentak perasaan orang Melayu yang terlalai dengan penjajahan barat, sekaligus mundur terpuruk segalanya.

Mesir juga menjadi tempat bermuara ilmu pelajar-pelajar Malaysia dan sebahagiannya muncul sebagai tokoh -tokoh agama di negara ini. Mereka mencetak sejarah watan, Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Dr Zulkifli Mohamad, Datuk Yusof Zaki Yaakob dan ribuan tokoh cemerlang yang lain.

Mesir bukan sekadar diingati kerana firaun dan piramidnya, haman dan kebejatannya tetapi kerana getirnya Hassan Al-Banna berjuang mencerdaskan umat Islam.

Pembantaian dan kejerihan yang dialami oleh Ikhwanul Muslimin semenjak penubuhannya pada tahun 1928 di Ismailiah, Mesir.

Gerakan islam kontemporari ini terus menjadi model kepada gerakan Islam yang lain, malah perkembangannya sentiasa diintai dan dirasakan kehadiran. Ikhwanul Muslimin telah menyumbang kepada peradaban dunia islam abad moden dengan ratusan pemikir dan ideologinya terus mengalirkan kristal-kristal indah pemikiran dan kitab-kitab islami pelbagai tajuk.

Maka tidak pelik apabila berlakunya revolusi 2011, rakyat negara ini turut sama berkongsi kepedihan melihat kezaliman yang ditimpakan terhadap rakyat Mesir. Revolusi telah mengubah lanskap politik negara yang puluhan tahun secara sistematik memperbodohkan rakyat dan mengekang hak demokratik.

Perubahan politik baru Mesir juga telah memungkinkan Ikhwanul Muslimin menyerlahkan tampang mereka yang sebenarnya. FJP dan Dr Mursi akhirnya membawa aspirasi baru rakyat dan Mesir dalam tempoh dua tahun ini sentiasa menjadi tajuk utama berita antarabangsa.

Tanggal 3 Julai 2013 menyaksikan episod hitam yang mencacatkan sejarah Mesir. Rampasan kuasa tentera yang terancang rapi itu akhirnya mengheret tragedi kemanusiaan yang paling ngeri apabila enam ribu lebih telah gugur sebagai syuhada manakala puluhan ribu yang lain mendekam dalam penjara militer. Mesir terpancing dalam nafas dan gelora hitam, awan hitam menyerkup kemanusiaan dengan dengusan ngeri.

Tragedi ini juga telah menyingkap wajah sebenar kemunafikan rejim negara Teluk yang turut bersekongkol untuk memadamkan Ikhwanul Muslimin daripada peta umat Islam. Israel yang menjadi dalang untuk turut berpesta pora sehingga Gaza turut dihempap duka lagi dengan penutupan semula Rafah.

Hari ini dunia terpanar dengan hukuman gantung terhadap 100 orang lebih pimpinan dan aktivis Ikhwanul Muslimin.

Mesir seolah-olah memekakkan telinga dengan bantahan awam yang berlaku di pelbagai negara umat Islam, juga sikap diam membisu Amerika 'polis antarabangsa; sangat menjengkelkan.

Hanya negara Turki yang berani menjerkah sistem keadilan Mesir dan juga kebobrokan rejim kudeta. Kerajaan Malaysia juga seolah-olah membiarkan kezaliman tetap menyerkap tanah Mesir.

Siapa lagi yang akan membela kebenaran ini wahai orang beriman? Diam adalah jenayah terbesar dalam bongkah jasad manusia. - HARAKAHDAILY 26/5/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat.

Share on Myspace