Siri 3: PAS dan asas perjuangan

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

Mukadimah

Terasasnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah untuk ia bertapak dengan kekuatan prinsip Islam yang diperjuangkan. Kemunculannya didorong oleh keperluan politik Islam mengisi kemerdekaan negara yang kemudiannya membawa PAS bersaing dalam pesada politik melalui penyertaan demokrasi berpilihanraya.

Perkembangan PAS fasa pasca kemerdekaan dan seterusnya menyaksikan PAS terus mara tanpa menoleh ke belakang lagi dan dalam proses itu membentuk dirinya dalam pelbagai persekitaran politik dan perkembangan negara.

Kini setelah hampir 60 tahun di pesada sudah tiba masanya PAS mengemaskini dan menyusun dirinya untuk meneruskan perjalanan dan melanjutkan legasi politik Islam untuk perubahan lanskap politik negara.

Siri ini melihat-semula asas perjuangan PAS untuk memperkukuhkan penghayatan kita pada perjuangan PAS dan seterusnya meninjau dan membentuk masa depan PAS.

Mempertegaskan Prinsip Islam PAS

PAS dan Islam berpisah tiada, kewujudan PAS adalah untuk mempertegaskan keupayaan dan keberadaan Islam khususnya dalam hubungan bernegara dan pemerintahan. Untuk mencapai maksud tersebut maka PAS perlu membawa prinsip Islamnya yang segar dan berpijak di bumi nyata melalui pemahaman tepat kepada fiqh waqie’ persekitarannya.

Bagi PAS, Islam adalah asas diterjemahkan melalui ciri Islam yang penuh dengan Rahmah, Keadilan dan Kesederhanaan. Islam hari ini diselubungi pelbagai penafsiran daripada sikap cuba mencairkan makna Islam kepada sikap ekstrim yang memaparkan Islam atas jalur keras dan ganas.

Persoalannya, adakah PAS membawa Islam jalur keras atau jalur longgar?

Sebenarnya kita harus berbangga akan beberapa fakta tentang PAS yang berpegang kepada Islam yang bergerak secara politik dan dakwah secara demokrasi. Antara metodologi PAS dalam membawa perjuangan Islamnya ialah melalui;

1. Penglibatan secara demokrasi berpilihanraya sejak dari tahun 1955 hingga hari ini. Tiada siapa yang boleh mengingkari bahawa pendekatan secara sistem demokrasi berpilihanraya adalah bentuk kesederhanaan jauh dari penglibatan luar demokrasi yang berpotensi untuk bertindak di luar undang-undang. Dalam proses itu PAS turut berada dan melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat sivil melalui forum awam dan aktivitinya.

2. Aktiviti PAS berada dalam kerangka undang-undang negara dan kenyataan bahawa PAS diberi kepercayaan memerintah kerajaan negeri contohnya di Kelantan dan sebelumnya di Terengganu serta Kedah adalah bukti kesederhanaan PAS dalam konteks perundangan negara. Hakikat ini bersesuaian dengan perlembagaan parti  Artikel 11 Fasal 6 di bawah tajuk “Usaha-Usaha”.

3. PAS meyakini bahawa dasar Islam yang diperjuangkan tidak akan mengkesampingkan usaha membina keharmonian masyarakat majmuk dalam realiti politik Malaysia sebagaimana termaktub dalam Artikel 9 Fasal 6 perlembagaan parti.

4. PAS juga komited kepada isu HAM (hak asasi manusia) dan menegaskan usahanya untuk menyertai dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Persatuan Bangsa Bersatu  (PBB) dalam membawa Islam yang diyakininya dalam Artikel 10 Fasal 6 perlembagaan parti.

Pendekatan yang PAS perjuangkan berdasarkan kepada panduan perlembagaan parti jelas menunjukkan komitmen PAS kepada dasar keterangkuman (inclusiveness), keterlibatan (participative) dan pembinaan negara (nation building).

Ciri  pendekatan yang PAS pilih melantuni makna Rahmah, Keadilan dan Kesederhanaan. Mana-mana pemimpin atau ahli yang membawa Islam terkeluar dari rangka ini boleh dianggap tidak mematuhi perlembagaan malah boleh membahayakan dan menjejaskan nama baik parti.

Hakikat ini terbukti apabila PAS pernah memecat ahlinya yang mempercayai jalan bersenjata untuk menegakkan Islam ataupun melakukan sesuatu di luar perundangan negara.

Adapun tuduhan bahawa PAS adalah parti yang ekstrim dan membawa jalur keras, ia berkemungkinan timbul disebabkan kepada jalur berfikir sesetengah ahli dan kepimpinan serta retorik ucapan serta kemungkinan beberapa tindakan sekelompok kecil yang tidak mewakili semangat perlembagaan parti dan komitmen parti selama ini untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah (Fasal 5, Tujuan).

Membawa Islam Hari Ini

PAS tidak memberi ruang kepada pendekatan keganasan dan kerana itu semasa usul pembentangan Kertas Putih tentang ancaman IS kepada keselamatan negara, wakil rakyat PAS bersama dengan wakil rakyat yang lain sebulat suara menyokong usul tersebut bagi mengutuk keganasan yang dilakukan atas nama Islam.

Tidak timbul juga dakwaan kononnya sesetengah pemimpin PAS dan ahlinya meyakini pendekatan Islam Liberal atau “Islam tanpa syariat” mahupun menolak perlaksanaan undang-undang jenayah syariah.

Dakwaan sedemikian amat berbahaya melainkan tuduhan itu berasaskan bukti kukuh dan menjejaskan dasar dan tujuan parti kerana dasar PAS dalam Fasal 3 perlembagaan parti adalah Islam manakala Fasal 7 menyebut terma rujukan utama ialah Al Quran, Sunnah dan Ijma’ ulama serta Qiyas.

Selagi pandangan dan pendapat kepimpinan dan ahli PAS tidak lari dari penafsiran dalam parameter tersebut, segala pertuduhan dan dakwaan “Islam Liberal” atau “Islam tanpa syariat” adalah untuk memecahbelahkan perpaduan PAS dan ianya tunduk kepada kehendak musuh PAS bagi menghancurkan kejelasan fikrah ahli dan kepimpinan parti.

Penyegaran Fahaman Prinsip Fiqh

PAS berbangga mengambil pendekatan siyasah syariah dalam menentukan sikap dan tindakan parti. Islam menyediakan takungan yang luas untuk berligar atas paksi syariat bagi melalui cabaran semasa yang berubah-ubah.

Apa yang berlaku dalam wacana kepimpinan ialah perbahasan bagaimana sesuatu perintah Allah itu hendak dilaksanakan dengan mengambil kira pendekatan menggali nas-nas hukum mengikut pendekatan yang dizinkan oleh syara’. Tidak mungkin adanya pimpinan dan ahli PAS yang mencari alasan tidak mahu melaksanakan syariat Islam dalam skopnya yang luas.

Rujukan kitab prinsip fiqh (usul fiqh) bersumberkan nas-nas Al Quran dan Hadith serta Ijma’ dan Qiyas kaya dengan maklumat ini.

Apakah dengan mengambil pendekatan prinsip fiqh dianggap “liberal” dan tidak mahu melaksanakan syariat?

Mengambil kira kesan pada sesuatu tindakan dalam melaksanakan perintah Allah adalah antara prinsip fiqh samada perbuatan perintah itu sendiri akan terlaksana Kebaikan atau Keburukan mahupun wasilah atau cara untuk melaksanakan itu jika tidak baik boleh membawa kesan tidak baik.

Dengan kata lain asas penelitian ini berpandu kepada mengambil kira hukum sesuatu perintah itu dilihat kepada apakah kesannya jika dilakukan. Menggunakan prinsip ini tidak melihat kepada persoalan niat pelaku tetapi kepada kesan dan hasil perbuatannya.

Perbahasan panjang lebar ini janganlah diambil mudah dengan mendakwa atau melabel pendekatan memahami tindak-tanduk dan pandangan sebagai “liberal” atau tidak mahu melaksanakan perintah Allah.

Fasal 7 perlembagaan parti perlu dihadam untuk memahami tindakan dan sikap yang diambil atau dibahaskan kerana pemimpin PAS terdahulu memahami realiti yang berubah-ubah yang terpaksa dialami oleh generasi pimpinannya hari ini.

Dasar PAS Kekal Relevan

Kenyataan dasar Islam akan kekal relevan mesti difahami dalam dua konteks. Konteks ianya secara aqidah dan syariat dipelihara oleh Allah dan kedua ialah konteksnya dibawa oleh manusia yang meyakini kebenaran dasar ini.

Konteks pertama mustahil dicabar manakala konteks kedua yang dibawa oleh manusia yang meyakini dasar Islam akan sentiasa dicabar oleh manusia lain dan justeru itu kekuatan kepimpinan melalui strategi dan hikmah perlu berada pada tahap yang terbaik dan relevan untuk mendepani cabaran ini.

Nantikan siri keempat akan datang yang berjudul PAS dan Melayu. - HARAKAHDAILY 26/5/2015

Share on Myspace