Operasi saman trafik dan pemenjaraan

ZAHARUDDIN MUHAMMAD | .

OPERASI SAMAN TRAFIK DAN PEMENJARAAN: SAYA PROTES DAN MENYERU RAKYAT KE ARAH NEGARA YANG LEBIH BEBAS DENGAN UNDANG-UNDANG ISLAM

3 meringkuk dalam penjara akibat tidak mampu membayar denda yang dikenakan mahkamah Majistret Trafik kerana pelbagai kesalahan trafik. Muhammad Muhaimin Zubir, 19 tahun, dijatuhi hukuman penjara 28 hari selepas gagal membayar denda RM5,150 bagi 14 pertuduhan.

Antara kesalahan utama mereka yang dijatuhkan hukuman, ialah tiada lesen memandu, cukai jalan, nombor pendaftaran dan lain-lain.

Anda mungkin masih ingat kes K.Kanagavali telah mencagarkan anaknya kepada Norhidayu Badrol untuk pinjaman RM3,500 bagi melangsaikan 15 saman trafik.

Apa yang saya pertikaikan dalam isu ini bukan saman terhadap pesalah yang melakukan kesalahan yang boleh membahayakan seperti kesalahan memandu secara bahaya, berlumba di jalan raya dan lain-lain.

Apa yang saya seru ialah, kesalahan-kesalahan trafik yang langsung tidak melibatkan bahaya bahkan lebih dilihat untuk tujuan keuntungan kerajaan seperti lesen memandu tamat tempoh selepas setahun, pasang lampu di siang hari, cermin gelap dan seumpamanya.

Kesalahan ini dilihat lebih untuk kerajaan menjadikannya istrumen pengsbtabilan fiskal kewangan negara apabila kerajaan terdesak akibat cukai dan hasil negara yang tidak mencukupi akibat keborosan dan kebocoran serta untuk mengisi kantung korporat yang semakin membesar. Apa tidaknya jika sekali operasi kerajaan dapat mengutip RM2 juta satu hari? Apa bisnes yang lebih lumayan daripada ini.

Jika rakyat mematuhi peraturan, saman semakin kurang, bermakna pendapatan negara juga mungkin akan menurun. Maka tidak hairan jika kerajaan akan cipta satu lagi undang-undang yang menjerat dan menjerumuskan rakyat dalam kesalahan trafik bagi tujuan kerajaan mengutip 'wang lebih'. Mungkin anda masih ingat undang-undang memasang lampu di siang hari pada satu masa dahulu. Apa bahayanya tidak pasang lampu di siang hari?

Cuba anda jawab, apa bahayanya jika lesen anda mati selepas setahun? Adakah anda akan terbabas akibat lesen mati? Cuba anda jawab apa bahayanya jika kereta anda bercermin gelap sekadar ketelusan cahaya 35%? Apa bahayanya jika anda hanya memiliki lesen B2 memandu motor berkuasa 250cc ke atas? Tak ada bahaya. Habis kenapa undang-undang ini dibuat?

Semua undang-undang ini menyusahkan rakyat. Mahu ambil lesen kos yang sangat tinggi. Bagaimana golongan susah di bandar seperti Muhammad Amin nak bayar kos ambil lesen? Kalau di Amerika, anda tak perlu masuk mana-mana driving school dan belajar berbulan-bulan. Cukup seorang introducer yang ada lesen mengakui bahawa dia telah mengajar si calon pemandu, masuk ujian dan bila lulus bayar USD30 (lebih kurang RM105). Di Jepun, lulus sahaja ujian memandu, anda akan mendapat lesen yang tidak akan mati seumur hidup.

Persoalannya, apa yang saya seru? Saya seru anda kepada undang-undang Islam di mana, setiap undang-undang sama ada yagn diketegorikan Takzir atau Hisbah bukan sewenang-wenangnya boleh dibuat oleh kerajaan mentang-mentang mereka ada kuasa. Tetapi setiap undang-undang baru yang tiada kaitan dengan nas Al-Quran dan Sunnah (bukan hudud dan qisas serta kesalahan-kesalahan muamalat), maka kerajaan perlu mengemukakan bukti bahawa kesalahan itu bagi mengelakkan bahaya atau dengan istilah syarak bagi mengelakkan mudharat.

Asas kepada kaedah ini ialah, asal hak seseorang adalah bebas dan kerajaan tidak berhak mencampuri dan menyekat kebebasan rakyat kecuali bagi tujuan mengelakkan mudharat. Justeru itu, apabila kerajaan ingin mengenakan sesuatu undang-undang, maka kerajaan perlu mengemukakan bukti mudharat akibat tiada undang-undang. Dalam konteks hari ini, kerajaan perlu kemukakan kepada hakim negara bukti bahaya dan mudharat. Jika kerajaan tidak mampu buktikan, maka satu kesalahan bagi kerajaan membuat undang-undang yagn dianggap menyekat kebebasan rakyat.

Sebagai contoh, asalnya seseorang bebas untuk terus memandu di simpang-simpang tanpa berhenti. Tetapi jika tiada lampu trafik dan peraturan lampu merah wajib berhenti, maka akan meningkat kemalangan di simpang-simpang jalan. Maka hukuman bagi mereka yang melanggar lampu merah perlu dikuatkuasakan bagi mengelakkan mudharat kemalangan.

Asalnya seseorang bebas untuk memandu di jalan raya umum kerana haknya untuk memandu kereta. Tetapi apabila seseorang yang baru pertama kali bawa kereta, tidak pernah bawa kereta sebelum ini, maka terbukti ia boleh membahayakan orang lain apabila tidak tahu bagaimana nak brek, nak perlahan, nak pecut dan sebagainya. Maka undang-undnag memastikan setiap pemandu ada lesen adalah wajar tetapi dengan kos yang paling minimum. (isu kos adalah isu kewangan berkaitan apa hukum kerajaan mengenakan bayaran yang bukan kos sebenar atau kos yang diada-adakan).

Asalnya, apabila seseorang tidak boleh dipaksa untuk membayar dan menyambung lesen kerana itu adalah hak kebebasan masing-masing. Apabila kerajaan ingin melaksanakan undag-undang bahawa setiap lesen akan mati dan perlu disambung setiap tahun, kerajaan perlu buktikan kepada hakim negara apakah bahaya disebalik lesen yagn tidak disambung tiap-tiap tahun? Jika kerajaan gagal, maka hakim tidak boleh meluluskannya.

Setiap rakyat bebas ingin pakai cermin gelap, warna hitam ke, warna god ke kerana itu hak mereka, kebebasan cita rasa mereka. Apabila kerajaan ingin membuat undang-undang larangan bercermin gelap, maka kerajaan perlu buktikan apakah bahayanya, berapakah kemalangan akibat cermin gelap? Jika gagal bahkan terbukti sebaliknya iaitu cermin gelap menjadi pemandu lebih selesa memandu di panas terik, menjadikan kereta lebih selamat daripada dipecah cerminnya oleh pencuri apabila terdapat barangan berharga di dalamnya, maka menjadi satu kesalahan bagi kerajaan meletakkan cermin gelap sebagai satu kesalahan.

Tapi undang-undang konvensional hari ini kerajaan yang membuat undang-undang tidak boleh dikategorikan salah sebeb mereka adalah pembuat undnag-undang. Tetapi di dalam Islam, pembuat undang-undang bukan kerajaan, bukan ulama tetapi undang-undang Islam dan garis panduan penggubalan undang-undang adalah dibuat dan dicipta oleh Allah, tuhan pencipta alam dan manusia keseluruhannya. Undang-undnag serta garis panduan pembuatan undang-undangNya telah wujud sebelum wujudnya manusia itu sendiri (Qadim), jadi bagaimana manusia boleh pengaruhi undang-undang?

Jom kita sokong undang-undang Islam ke arah kebebasan.

Sekian.

Share on Myspace