Siri 4: PAS dan Melayu

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

KETEGASAN PAS dalam membawa prinsip Islam terserlah dalam perlembagaan parti begitu juga sikap yang diambilnya dalam membawa isu yang ada kepentingan umat Islam. Islam dilihat lebih besar daripada kewujudan bangsa termasuklah bangsa Melayu.

Kemelayuan yang PAS bawa diasaskan kepada Islam sebagai penyelamat bahkan bukan sahaja Melayu tetapi juga semua kaum di negara ini. Namun Melayu pada perjuangan PAS tidaklah terbentuk begitu sahaja, Melayu pada perjuangan PAS melalui tahap-tahap perkembangannya tersendiri.

Melayu Era Kemerdekaan

PAS menyatakan sikap kepada Melayu melalui semangat kemerdekaan dengan menyatakan bahawa pengisian kemerdekaan hendaklah diisi dengan Islam sebagai teras. Fakta ini bukan sesuatu yang sukar untuk difahami kerana PAS diasaskan oleh para ulama yang mahukan jaminan kemerdekaan tidak lari dari asas Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Umno pula pada waktu itu lebih pragmatik dengan pendekatan kompromi dan membawa isu Melayu dalam sikap yang agak terbuka serta sedia bekerjasama dengan parti MCA dan kemudian MIC untuk membentuk Perikatan.

Tuanku Abdul Rahman menegaskan asas tertegaknya Tanah Melayu ialah dengan menerima kepelbagaian kaum sebagai strategi politik Umno. Sikap tidak puas hati sesetengah orang Melayu kepada sikap pragmatik Umno dalam isu Melayu menyebabkan PAS dilihat lebih tegar retorik Melayunya dengan Islam sebagai pengisiannya.

Dengan kata lain citarasa nasionalis Islam yang PAS bawa ketika itu berjaya bersaing dan membina tapak yang kukuh di kawasan Melayu khususnya di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

Peralihan Konsep Melayu

Melayu awal era kepimpinan ulama (80-an) menyuntik makna Alamiyyah Islam dan Melayu menjadi sebahagian bangsa yang perlu diberi kemuliaan dengan nama Islam. Menggempur pemikiran asobiyah menjadi asakan kepada konsep Melayu yang diperjuangkan Umno kerana asas perdebatan ialah perjuangan PAS adalah Islam yang meliputi semua kaum manakala Umno mengamalkan perkauman hanya untuk kepentingan Melayu semata-mata.

Zaman peralihan konsep Melayu dalam PAS ini menyaksikan PAS bersaing dengan Umno untuk membuktikan siapa yang lebih Islam sehingga Umno terpaksa membawa dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran kerajaan awal 80-an.

Faktor kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Umno juga adalah untuk membuktikan Umno juga bersifat Islamik. PAS kekal dengan imej Islam yang lebih global dengan penegasan konsep perkauman dalam Islam lebih mementingkan hubungan akhlak Islam dalam diri orang Melayu. Umno dengan asakan ini dilihat bukan sahaja pragmatik tetapi liberal dalam soal Islam.

Konsep Melayu Hari Ini

Melayu dalam konteks politik hari ini telah mula membentuk jati dirinya dalam persekitaran yang lebih mencabar. Melayu dari sudut nilainya ada yang kuat pegangan Islamnya dalam pelbagai aliran, Melayu adanya yang hidup dalam budaya yang bebas dari nilai agama Islam dan Melayu yang cuba bersikap sederhana dalam merangkul realiti kepelbagaian yang dilaluinya.

Kemelayuan hari ini tertekan dengan asakan kerangka negara bangsa itu sendiri kerana di sebalik konsep Melayu, negara ini menuju ke arah Bangsa Malaysia menjelang 2020 dengan Melayu sebagai faktor utamanya.

Lagipun tuntutan hak sama rata disokong oleh perlembagaan persekutuan dalam Artikel 8 klausa 1 dan 2 bahawa semua berhak mendapat layanan yang adil dari segi undng-undang negara dan bahawa setiap warganegara tidak boleh didiskriminasikan atas sebab agama, bangsa, keturunan, tempat lahir mahupun gender.

Walaupun peruntukan 153 perlembagaan persekutuan menyatakan kedudukan istimewa orang Melayu, namun isu keadilan dan meritokrasi juga dihujahkan melalui peruntukan perlembagaan  dalam soal biasiswa, pendidikan dan sektor awam.

Sikap PAS

Islam dan PAS tidak dapat dipisahkan, secara asasnya PAS harus melihat isu Melayu dalam rangka yang lebih objektif dengan pandangan sarwajagat Islam yang lebih inklusif. Asas ini terbina dalam cita-cita PAS iaitu, dalam Perkara 2, 3, 4, dan 9 di bawah Fasal 6 perlembagaan parti.

PAS menegaskan usahanya untuk menegakkan Islam melalui keadilan Islam, menyuburkan ukhuwah tanpa mengabaikan perpaduan kaum, membina konsep pandangan hidup Islam dan memperjuangkan hak umat Islam tanpa mengabaikan keadilan untuk semua kaum di negara ini.

Klausa ini perlu kepada terjemahan dengan membina beberapa pemikiran yang jelas iaitu
 
1. Konsep Melayu dalam PAS mestilah jauh dari nilai perkauman sempit
2. Konsep Melayu dihujahkan atas permasalahan keadilan sosial
3. Konsep Melayu dilihat kepada pembahagian kekayaan yang tidak adil
4. Konsep Melayu dalam hubungan politik berteraskan jiwa Melayu yang tasamuh (toleran) dan melihat kepentingan semua kaum di negara ini.

Bersendikan kejelasan ini, PAS perlu memimpin isu Melayu dengan program memperbaiki ketaksamaan pendapatan melalui galakan pemilikan harta di kalangan orang Melayu yang miskin. Membuka peluang pekerjaan dengan mengurangkan pekerja asing yang tidak berkemahiran dan seterusnya meningkatkan sebahagian besar pekerja bawahan khususnya orang Melayu kepada pekerja yang berkemahiran lantas meningkatkan pendapatan mereka.

Umno dan PAS

Dari sudut politik, Umno dan PAS harus kekal bersaing secara sihat bukan untuk berpecah tetapi menawarkan pembelaan Melayu yang lebih meyakinkan khusus membina keperibadian Melayu yang inklusif dan sentiasa memimpin kaum lain atas dasar hormat menghomati. Satu pendekatan yang lebih tegas membenteras fahaman perkauman sempit dan fahaman keganasan perlu digerakkan untuk mengembalikan semangat menyanggah fahaman asobiyah supaya Melayu menjadi lebih kukuh keperibadiannya.

Jikapun ada istilah perpaduan Melayu maka ia hendaklah difahami sebagai perpaduan atas menyokong nilai baik dan bukan perpaduan sempit yang hanya bercakap tentang Umno dan PAS bergabung. Bergabung tidak akan menyelesaikan masalah Melayu yang lebih besar permasalahannya, ia mungkin menyelesaikan survival politik pihak tertentu daripada survival Melayu itu sendiri.

PAS tidak harus terperangkap isu perpaduan Melayu dengan hanya memfokuskan kepada Umno sahaja sebaliknya PAS harus membawa isu perpaduan Melayu melalui model rentas kaum bersesuaian dengan kehendak Bangsa Malaysia yang diharap tercapai pada tahun 2020.

Ketika itu Melayu akan terbina atas persepsi yang lebih objektif dan tidak lagi bersifat sentimental. Kekuatan ini ada pada PAS kerana wacana Islam yang diyakini PAS lebih sesuai menampung keadaan ini. Melihat kepada visi Melayu ini, isu gabungan Umno-PAS menjadi terlalu kecil dibandingkan kepada pembinaan Bangsa Malaysia yang sifatnya merentasi semua kaum.

Nantikan siri kelima akan datang yang berjudul PAS dan Demokrasi. – HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace