Siri 5: PAS dan demokrasi

| .

PERLEMBAGAAN PAS jelas menegaskan bahawa dalam mencapai tujuan dan cita-cita PAS, ia akan melakukannya dalam batasan undang-undang negara dan Perlembagaan Negara samada dalam aktiviti dalamannya ataupun aktiviti politik dan dakwahnya. (Fasal 6 Perkara 11).

Pertikaian dalaman PAS tentang komitmen PAS terhadap demokrasi berpotensi untuk keluar dari semangat perlembagaan parti kerana ia seolah menolak kehendak parti berpegang kepada undang-undang negara.

Malaysia telah memilih demokrasi berpilihan raya sebagai cara untuk membentuk kerajaan dan perlembagaan negara memperuntukkan bahawa hak berpersatuan, hak berhimpun dan hak memberi pandangan adalah dijamin (Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan).

PAS mengambil pendekatan menyertai dalam bentuk parti politik untuk memperbaiki susunan serta institusi masyarakat, politik, keadilan ekonomi dan negara bersesuaian dengan dasar Islamnya (Perkara 4 Fasal 6, Perlembagaan Parti). 

 

Wacana Demokrasi


Apa yang menjadi polemik ialah bagaimanakah demokrasi itu ditanggap dari sudut keberkesanan dan peranannya. Apakah demokrasi itu hanya berpilihanraya atau demokrasi sebagai satu prinsip pembentukan sebuah masyarakat dalam hubungan antara penguasa dan rakyat?

Ada beberapa tanggapan yang berlegar dalam konteks PAS dan demokrasi dalam kalangan ahli. Pertama, demokrasi hanyalah kenderaan untuk sampai kepada matlamat PAS. Kedua, demokrasi adalah asas dan matlamat PAS tidak tercapai tanpa pendemokrasian berterusan dan komitmen kepada prinsip demokrasi.

Implikasi kepada tanggapan pertama ialah demokrasi hanya alat yang sementara untuk dipakai dalam mencari kemenangan politik dan kemudian PAS akan melaksanakan matlamat dan tujuannya. Implikasi tanggapan ke dua ialah PAS melihat demokrasi dalam jangka panjang untuk menang dan setelah kemenangan serta komited untuk aplikasi prinsip demokrasi bagi mencapai tujuan dan matlamatnya.

Walaupun kedua-dua tanggapan menggunakan demokrasi sebagai alat namun penegasan kepada proses pendemokrasian berterusan sebagai sistem hubungan penguasa dan rakyat lebih terserlah pada tanggapan kedua. 


Dasar PAS Dalam Proses Demokrasi


PAS adalah parti Islam yang awal di dunia bergerak dalam kerangka demokrasi berpilihan raya. Sebagai pemerintah parti Islam di Kelantan sejak 1959 dan kemudian 1990 hingga kini, PAS begitu masak dan memahami bagaimana proses secara demokrasi dilakukan. Dalam era kesedaran dan celik demokrasi pengalamannya sesekali tercabar ketika PAS cuba membawa beberapa keutamaanya dalam pentas demokrasi, apatah lagi dengan pendekatan politik kolusi (tahaluf siyasi) yang digunakannya.

PAS tetap akan komited untuk pendemokrasian namun dalam era keterbukaan hari ini, penegasan PAS harus lebih vokal dan komited untuk menghormati prinsip dan proses demokrasi untuk membawa dasar dan keutamaannya.

Ini membawa kita kepada memahami bahawa walaupun sesuatu dasar atau undang-undang Islam itu hendak diketengahkan, PAS harus menggunakan saluran demokrasi dan dalam proses itu bersedia menerima kritikan awam mahupun dari rakan atau pesaingnya. Ketelusan sistem demokrasi ini menuntut PAS berhujah atas jalur demokrasi untuk meyakinkan dasar Islam yang diketengahkan berpandukan kepada tujuan dan falsafah dasar Islam yang hendak diketengahkan. 


Demokrasi Penghalang Perlaksanaan Islam?


Tanggapan yang kuat beredar di kalangan ahli PAS dan kepimpinannya bahawa demokrasi adalah musuh dan bercanggah dengan Islam. Persoalan kekuasaan mutlak perundangan ada pada Allah dijadikan hujah kerana demokrasi meletakkan kekuasaan rakyat untuk menentukan perundangan. Hakikatnya ialah ianya bukan percanggahan tetapi perintah untuk merujuk kepada orang ramai dalam membuat apa-apa keputusan yang berkepentingan awam juga datang dari Allah berpandukan pada konsep syura.

Allah tidak menetapkan bentuk dan proses syura itu terpulanglah kepada suasana zaman yang menentukannya selagi prinsipnya wujud. Berbeza dengan perintah khusus ibadat ia tidak memerlukan syura kerana ia adalah untuk maslahat peribadi pelakunya. 

Perlaksanaan Islam yang berpaksikan maslahat awam memerlukan pemahaman dan konsultasi dan sebaik cara untuk melaksanakan proses pemahaman dan konsultasi awam ialah dengan adanya ruang demokrasi. Hakikat ini yang bermula dengan proses demokrasi harus juga berakhir dengan sebuah keputusan secara demokrasi juga dan kerana itu PAS harus menerima keputusannya sebagaimana ia menerima prosesnya.

Jika kita menerima ini sebagai satu realiti, maka isunya ialah sejauhmana keupayaan pimpinan PAS membina hujah yang kukuh berpandukan kepada Prinsip Fiqh dengan mengambil kira kepentingan strategi politiknya untuk meyakinkan awam apa yang diperjuangkan.

Demokrasi itu bukan mutlak dan berpengkalan, pembinaan semula makna demokrasi mengikut acuan dan keperluan setempat serta kekuatan mencorakkannya melalui budaya adalah intipati pendemokrasian yang PAS harus tumpukan. Jika kita menganggap demokrasi adalah musuh Islam maka kita telah menyanggahi Perkara 11 Fasal 6 Perlembagaan Parti.

 
Sikap Terhadap Demokrasi


Selagi keputusan PAS tetap berada dalam kerangka demokrasi, PAS harus terus meyakini ahli komitmennya secara telus kepada demokrasi dan pendemokrasian. PAS tidak boleh meninggalkan demokrasi setelah mendapat kuasa tetapi ia harus meneruskan pendemokrasian dan membentuk keperibadian muslim yang keterbukaannya itu memantulkan ciri-ciri keterangkuman (inclusiveness), keterlibatan (participative) dan pembinaan negara (nation building) sebagaimana termaktub dalam perkara-perkara bawah Fasal 6 Perlembagaan Parti. - HARAKAHDAILY 29/5/2015

Nantikan siri keenam akan datang yang berjudul PAS dan Transformasi Organisasi.

Share on Myspace