Siri 3: Penubuhan PAS

DR RIDUAN MOHD NOOR | .

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 telah menjadi pesaing baru kepada Umno selepas ketiadaan Hizbul Muslimin, terdapat beberapa faktor mengapa parti ini di tubuhkan.

Di antaranya ialah kerana tuntutan beragama itu sendiri yang mewajibkan perjuangan Islam digerakan secara kolektif dan tersusun rapi. Faktor berikutnya ialah kerana keinginan pucuk pemimpin Umno untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung.

Umno menyedari bahawa alim ulama mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang Melayu yang beragama Islam manakala di kalangan pemimpin Umno pula berlaku keretakan di antara golongan yang menyokong Dato' Onn bin Jaafar dan golongan menentangnya.

Keretakan yang berlaku dalam Umno ini turut mengheret pergeseran di kalangan ulama dalam Umno walaupun dalam skala yang kecil. Ada yang secara terang menyokong Dato' Onn. Senario inilah menyebabkan ada di antara tokoh-tokoh ulama yang  mula berfikir bahawa golongan ulama patut memilih jalan sendiri dalam menentukan masa depan ummah dan agama di tanahairnya sendiri.

Dalam suasana inilah menjadi latar belakang kepada persidangan alim ulama yang ketiga di Butterworth yang telah melahirkan PAS yang kemudiannya menjadi pesaing utama kepada Umno untuk lebih separuh abad.

Walaupun terdapat kecenderungan di kalangan ulama yang hadir untuk memisahkan diri daripada anggapan bahawa kegiatan alim ulama daripada menjadi satelit Umno, tetapi pengaruh Umno kepada persidangan itu tidak dapat dielakkan. Ini kerana tenaga-tenaga penting persidangan adalah 'orang kuat' Umno seperti Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki malah tempat persidangan itu berlangsung adalah tempat di mana aktiviti-altiviti Umno dijalankan.

Persidangan ini agak berbeza dengan persidangan ulama sebelumnya apabila turut terbuka kepada badan-badan Islam yang lain seperti Lembaga Pentadbiran Masjid-Masjid seperti Jamaah Masjid Telaga Ayer Butterworth, wakil Mahaad Al-Ehya As-Shariff dan Persatuan Ehya As-Shariff. Persidangan itu telah bersetuju dengan suara majoriti untuk meletakkan nama Persatuan Islam Se-Malaya sebagai nama bagi badan siasah yang hendak ditubuhkan itu atau ringkasannya PAS.(Baharuddin Latif 1994)

Selain membincangkan soal nama pertubuhan, perwakilan juga turut membahaskan rangka perlembagaan persatuan baru itu. Pada malam perwakilan telah memilih pemegang-pemegang jawatan.

Terdapat beberapa nama yang dicadangkan untuk jawatan Presiden parti tetapi, ramai yang telah menarik diri kecuali Tuan Haji Ahmad Fuad dan Sheikh Abdullah Fahim. Pemilihan Presiden telah dibuat dengan undian yang memberikan kelebihan kepada Haji Ahmad Fuad. Jawatan lain seperti Timbalan Presiden dijawat oleh Haji Mohamad Ghazali Abdullah, Naib Presiden oleh Haji Husain Che Dol, Faqeh Mohd Nor dan Abdul Rahman Jamaluddin.

Manakala Setiausaha Agung PAS yang pertama ialah Haji Ahmad Maliki dan jawatan Bendahari disandang oleh Haji Ahmad Tuan Husain. Senarai ahli-ahli jawatankuasa yang lain ialah Haji Yahya Junid dari Kedah, Haji Osman Talib dari Negeri Sembilan,Haji Mohamad Nor dari Kuala Lumpur, Haji Zabidi Ali daripada Pulau Pinang, Haji Abdul Wahab dari Kuala Lumpur, Haji As'iya dari Perak, Mohd Majzub dari Negeri Sembilan dan Haji Ahmad Badawi dari Seberang Perai. Parti ini juga telah memilih ucapan salam sebagai cogan kata parti yang melambangakan ikatan Islamiyyah di kalangan ahli-ahlinya. (Baharuddin Latif, 1994)

Kewujudan PAS telah menyediakan satu ruang kepada ahli-ahli Hizbul Muslimin untuk berpartisipasi dengannya, apatah lagi terdapat ramai daripada kalangan bekas pemimpin Hizbul Muslimin turut serta menganggotai parti tersebut seperti Khaidir Khatib, Othman Hamzah dan Baharuddin Latiff, Mohd Asri dan yang lain-lain. PAS dengan mudah menghimpunkan kekuatan di kalangan guru dan pelajar agama kerana jaringan yang telah terbina sebelumnya oleh MATA, LEPIR dan Hizbul Muslimin.

Juga jaringan pelajar dan guru-guru agama di sebelah Pantai Barat Semenanjung. Kejelasan perjuangan PAS menyebabkan inilah titik pesona terbesar mengapa agamawan memilih wadah ini sebagai bahtera mereka.

PAS semenjak awal lagi tumbuh dan berkembang di persekitaran sekolah agama, bahkan kerana pendukungnya adalah tokoh-tokoh pendidikan Islam, bahkan Pejabat Agung PAS yang pertama ialah Madrasah, Seberang Perai.

Ulama dan golongan agama di Tanah Melayu adalah inti sokongan utama kepada PAS, lantaran sistem nilai orang Melayu sejak zaman-berzaman meletakkan ulama dan agamawan di tempat yang tinggi.

Dalam rakaman sejarah awalnya PAS telah berkembang pesat di negeri Perak terutama di sebelah Perak Utara dan juga di Seberang Perai, Pulau Pinang, iaitu kawasan yang mempunyai rangkaian pusat-pusat pengajian Islam seperti madrasah dan sekolah pondok. Manakala, selepas itu PAS mula dikembangkan di Kelantan oleh Amaluddin Darus yang mula menubuhkan PAS cawangan Pasir Mas  (Amaluddin Darus:1976).

Seterusnya PAS mula berkembang subur di negeri itu dengan hasil kerja gigih Amaluddin yang berkempen menyebarkan pengaruh PAS. PAS akhirnya mendapat sokongan daripada kalangan guru-guru pondok yang mempunyai pengaruh yang besar di kalangan masyarakat negeri itu dan seterusnya dengan pantas berkembang dalam sendi masyarakat Kelantan. - HARAKAHDAILY 29/5/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Share on Myspace