Seronok sangat pergi muktamar

WAN MUHAMMAD MIZAN | .

Teringat dahulu, muktamar jadi medan untuk mengeratkan ukhuwah sama ada perwakilan dan pemerhati. Tiba saja muktamar, pakat-pakat bersiap hendak pergi bagai hendak menyambut hari raya. Seronok yang amat, tidak dapat nak dibayangkan. Ibarat suatu medan mahu cas balik fikrah perjuangan. Dengar perbahasan untuk kekuatan jemaah, dengar kalam pemmpin.

Pernah dahulu ada seorang pakcik yang selalu saya jumpa, sekitar umur 70 tahun lebih. Dia akan bersiap cari modal dan simpan kewangan untuk ke muktamar sekurang-kurangnya sebulan dengan bekerja ambil upah. Separuh simpanan dia untuk ke muktamar dan selebihnya untuk keluarga.

Sampai tahap dulu-dulu kalau tidak pergi ke muktmar, rasa malu nak keluar rumah. Aura muktamar punya pasal. Semangatnya nak ikuti program jemaah. Tapi itulah, zaman berganti zaman. PAS semakin ramai keahlian dan peminatnya dari pelbagai jenis orang.

Sekarang apabila tibanya muktamar, sudah hilang semangat ukhuwah, thiqah, wala' dan taat. Sudah tidak ada sikap hormat dan adab kepada kepimpinan. Ada yang sanggup mengutamakan kata parti kawan daripada keputusan jemaah. Ketua jemaah ibarat orang luar yang dihamburkan pelbagai tuduhan, kata hendak bergabung dengan Umno dan sebagainya.

Tetapi itulah nikmatnya berada di bawah naungan kepimpinan ulamak, fitnah dan tuduhan begitu langsung tidak dihiraukan. Program-program tarbiyah dan pengukuhan parti tetap dijalankan. Pemimpin ke hulu dan ke hilir membawa amanah jemaah.

Semoga selepas muktamar nanti, kesuraman ini akan kembali cerah. Nikmat yang pernah dirasai dulu-dulu ketika berada dalam bahtera ini semoga bersinar balik, harapnya. Insya Allah. - HARAKAHDAILY 30/5/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu.

Share on Myspace