Jangan melampau

NASRUDIN HASSAN | .

1. Sebagai seorang muslim pula melibatkan diri dengan gerakan Islam ini selayaknya kita diperkaya dengan nilai ilmu Islam yang mantap dan akhlak yang soleh.

2. Jauhkan diri dari tulisan, tindakan dan kenyataan yang keji. Antara yang dicela oleh syarak malah dinilai sebagai perilaku golongan munafik ialah apabila bertelingkah atau berselisih, ia melampau-lampau. Menabur fitnah dan tohmahan yang tidak berasas semata-mata mahu memuaskan kehendak peribadi. Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Dari Abdullah ibn Umar bahawa Nabi saw telah bersabda: 4 sifat, barang siapa yang ada padanya (4 sifat ini) maka ia adalah munafiq dan barang siapa yang terdapat padanya sebahagian dari sifat-sifat munafiq itu maka ia mempunyai sebahagian dari sifat munafiq sehinggalah ia menolaknya. (Sifat-sifat itu)
- apabila diberi amanah dia khianat
- apabila bercakap dia berbohong
- apabila berjanji dia mungkir
- apabila bertelingkah dia melampau (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

3. Lumrah kehidupan manusia memiliki pelbagai latar dan posisi. Mempunyai perbezaan dalam banyak perkara. Namun syarak menegah ummatnya keterlaluan dan melampau dalam menampilkan perbezaan sehingga tergamak melemparkan fitnah yang jahat dan tohmahan yang tidak berasas. Hayati sabda Rasulullah s.a.w:

عن أبي مسعود رضي الله عنه قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح مناكبنا في الصلاة ويقول استووا ولا تختلفوا فتختلف قلوبكم لِيَلِني منكم أولو الأحلامِ والنُّهى ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم قال أبو مسعود فأنتم اليوم أشَدُّ اخْتلافاً)

Dari Abi Mas'ud r.a katanya Adalah Rasulullah saw pernah mengusap pundak kami ketika mahu menunaikan solat lalu Baginda saw bersabda: Rapatkan saf dan janganlah kamu berselisih sehingga hati-hati kamu turut berselisih. Mudah-mudahan yang menempati posisiku di kalangan kamu ialah mereka yang sabar dan berakal. Kemudian orang yang selepasnya, kemudian orang yang selepasnya.
Abu Mas'ud r.a berkata: sedang kamu pada hari ini, sangat ketara perselisihannya. (Riwayat Imam Muslim) - HARAKAHDAILY 30/5/2015

Share on Myspace