Siri 6: PAS dan transformasi organisasi

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

ORGANISASI PAS SEKARANG  

Secara absahnya, PAS dikawal oleh perlembagaan parti yang menentukan kuasa-kuasa yang ada dalam parti, hubungan antara bahagian-bahagian dalam organisasi parti dan tugasan-tugasan yang telah ditetapkan pada setiap perjawatan. Perlembagaan parti menjadi terma rujukan dalam semua tindak-tanduk parti dan kuasa-kuasa yang digunakan untuk menggerakkan parti dari sudut dalaman dan luaran.
 
Walaupun perlembagaan parti menjadi panduan, organisasi parti juga dijalankan mengikut amalan-amalan yang diterima pakai oleh parti. Kedua komponen ini iaitu peruntukan perlembagaan dan amalan secara konvensyen membentuk cara parti ini diuruskan.

Bagaimanapun ada beberapa permasalahan yang perlu digarap dalam organisasi PAS;

Keahlian secara besar-besaran sehingga sukar untuk mengawal standard  keahlian yang diharapkan
Set-minda pengurusan parti
Pengurusan konflik yang lemah
Program kepimpinan pelapis yang tidak jelas
 
Keahlian Besar-Besaran
 
Model keahlian PAS ialah  keahlian besar-besaran (massive membership) , oleh itu tidak menghairankan jikalau PAS berhadapan dengan pelbagai masalah. Maksud masalah bukan semestinya soal disiplin semata-mata tetapi ia termasuk dalam soal kurang berkesan mencapai matlamat kerja parti serta kelembapan aktiviti sehingga ada sesetengah kawasan atau cawangan yang “hidup segan mati tak mahu”. 
 
Kelemahan di peringkat kawasan menjejaskan pengaruh parti di kawasan yang terbabit. Walaupun bukan semua faktor organisasi boleh dikatakan sebab parti tidak bergerak tetapi ia merupakan antara penyumbang yang utama. Tujuan penyertaan juga tidak sangat didorong untuk menjadi aktivis tetapi kerana menyokong dasar PAS ataupun menyatakan hasrat menolak parti lawan seperti Umno.
 
Sistem pengkaderan dan latihan bimbingan secara berstruktur dan terancang untuk membina kekuatan ahli perlu dilakukan supaya parti dapat mengawal kesan negatif kepada keahlian besar-besaran.

Set-Minda Pengurusan
 
Maksud set-minda pengurusan menggambarkan bagaimana kepimpinan parti melihat cara parti diuruskan. Suasana hari ini menuntut supaya set-minda pengurusan parti perlu cara baru dengan melihat organisasi parti dalam kerangka Sumber Manusia yang menghubungkan antara matlamat parti dan latihan kepada kepimpinan dan ahli untuk mencapai matlamat tersebut.
 
Salah satu ketidakberkesanan organisasi parti ialah kepimpinan lebih berminat untuk tertumpu kepada isu politik daripada melihat isu pengurusan parti. Sebab itu pengurusan parti seolah-olah diserahkan sepenuhnya kepada setiausaha agung yang memainkan peranan rutin seperti memanggil mesyuarat, mengeluarkan surat ataupun membuat arahan-arahan dari pihak atasan sahaja. Aspek mengemaskini kualiti keahlian, cawangan, kawasan dan negeri serta memperbaiki sistem komunikasi seolah-olah terabai kerana tidak ada satu visi dan misi pengurusan organisasi parti.
 
Tanpa visi pengurusan, parti terpaksa membuat kerja ala “ahli bomba memadamkan api” (fire fighting) setiap kali timbul masalah dan ia berlaku berulang kali tanpa pendekatan sistem yang lebih berstruktur dengan visi pengurusan yang jelas. 
 
Pengurusan Konflik
 
Kejayaan kepimpinan bukan sahaja terletak kepada matlamat parti dapat dicapai tetapi jugak kemampuan kepimpinan menguruskan konflik atau khilaf yang berlaku dalam usaha mencapai matlamat tersebut. Konflik bukan semuanya negatif jika kepimpinan bijak menguruskannya. Ia memberi peluang kepada satu keadaan baru yang lebih baik muncul hasil dari konflik yang berlaku. 
 
Antara isu konflik dalaman parti ialah dua atau tiga kelompok yang bertentangan antara satu sama lain bersaing khususnya menjelang pemilihan parti. Memburukkan keadaan ialah kelemahan kepimpinan untuk berhadapan dengan fenomena ini sehingga menyebabkan ahli berasa tidak puas hati. 

Ini tidak termasuk kenyataan-kenyataan yang dibuat secara terbuka dan budaya labeling yang kronik antara kelompok yang bersengketa dalaman. Konflik dalaman adalah umpama api kecil yang jika tidak ditangani akan menjadi api besar yang berupaya merosakkan parti.
 
Perndekatan penyelesaian konflik oleh kepimpinan ialah minta semua pihak patuh atau wala’ kepada parti sedangkan isu yang berlaku bukan soal tidak setia atau wala’ kepada parti tetapi masalah pertembungan dua atau tiga kelompok yang mempunyai pandangan tersendiri bagaimana parti harus digerakkan dan bukan menentang dasar parti.

Program Pelapis
 
Parti bergantung kepada pelapis untuk meneruskan cita-citanya. Hari ini PAS boleh berbangga kerana pelapisnya ramai dan kepimpinannya datang silih berganti. Walaupun demikian satu mekanisma tersusun diperlukan untuk melahirkan kepimpinan pelapis melalui program yang berstruktur.
 
Pendakian seseorang dalam parti PAS sebahagiannya dinilai melalui kelantangannya bersuara dalam isu politik, kepetahan berpidato yang dimiliki dan keaktifan menggerakkan kerja parti. Latarbelakang pendidikan adalah bonus kepada perkara-perkara di atas. Dalam PAS ada kategori ahli ilmuawan, aktivis dan ulama. Selain itu PAS mendapat sumber kepimpinannya daripada sayap Dewan Pemuda dan Dewan Ulama serta Dewan Muslimat dari beberapa tokohnya yang dilihat berpotensi menjadi kepimpinan masa depan PAS. 

Tiada cara berstruktur yang disepakati ramai dan setiap ahli yang ingi menjadi pemimpin mengetahuinya melalui amalan dan budaya dalaman parti dengan terpaksa melalui karier ahli yang tidak ada petunjuk khusus. 
 
PEMIKIRAN ORGANISASI KE ARAH ISLAH

Siri ini akan menjelaskan bagaimana PAS boleh melakukan usaha memperbaiki organisasi parti melalui pendekatan organisasi bagi menjawab kekurangan dan kelemahan yang ada dengan mengambil kira pengalaman panjang yang telah dilaluinya.

Model Pendekatan Organisasi
 
Ada banyak cara model organisasi yang dipakai dalam melakukan perubahan menyeluruh dalaman parti. Bagi membantu untuk melakukan cadangan islah atau baikpulih kita memerlukan model pendekatan kepada organisasi bagi merasionalkan apakah aspek-aspek yang diperlukan keutamaan dan perlu diberi tumpuan oleh kepimpinan parti. 
 
Model Empat Tingkap
 
Model yang dicadangkan ialah model empat tingkap organsiasi. Model ini sesuai bagi sesebuah organsiasi yang mahu melakukan inisiatif perubahan dalamannya hasil daripada permasalahan yang dialami. Ini adalah kerana, model Empat Tingkap organisasi ini menggambarkan suasana organisasi khususnya parti politik iaitu dari dua tingkap bawah, Politik Dalaman dan Budaya. Manakala dua tingkap lagi yang dipanggil tingkap atas adalah dari elemen Struktur Parti dan Sumber Manusia Parti. 
 
Dari keempat-empat tingkap ini kita boleh melihat ke dalam organisasi parti dan mengenali elemen-elemen yang perlu diberikan perhatian mengikut keutamaan dan kemampuan untuk mengendalikannya. 

Setelah mengenalpasti elemen-elemen keutamaan yang perlu diperbaiki, satu jangka masa diperlukan untuk memungkinkan satu bentuk organisasi yang mampu menampong keperluan semasa parti. Perlu dijelaskan baahwa usaha ini tidak menyentuh dasar dan prinsip parti, ia hanya melihat dalam aspek pengurusan parti semata-mata.
 
Penjelasan Empat Tingkap
 
Ia dinamakan tingkap sebab kita boleh melihat dari tingkap-tingkap tersebut bagaimana pengurusan parti digerakkan. Organisasi adalah sesuatu yang hidup dan dinamik, ia bertindakbalas dengan apa yang berlaku disekelilingnya. 

Empat tingkap organisasi dapat menjelaskan dua lapisan organisasi. Lapisan di atas dapat dilihat oleh orang awam kerana sifatnya yang telus dan boleh dirujuk manakala lapisan di bawah adalah yang tersembunyi dari penglihatan orang ramai dan hanya dapat dihayati oleh ahlinya sahaja.
 
Tingkap di atas mewakili Struktur dan Sumber Manusia manakala tingkap di bawah mewakili Politik Dalaman dan Budaya. Di bawah adalah model tersebut.
 
STRUKTUR (Keputusan)
1. Carta organisasi (kuasa)
2. Pembahagian kerja (aktiviti)
3.   Hubungan (komunikasi)          
4.   Dasar (polisi), perlembagaan 

SUMBER MANUSIA (Matlamat )
1. Aspek sosio-sikologi (keperluan)
2.   Peningkatan ahli (latihan/pembelajaran)
3.   Pencapaian matlamat dan penilaian (objektif kerja)

POLITIK DALAMAN (Persaingan)
1.   Persaingan jawatan (perebutan)
2.   Perundingan (memelihara kepentingan)
3.   Kelompok (Kumpulan kumpulan berkonflik)

SIMBOL BUDAYA (Budaya)
1.   Aspek sosio budaya (tradisi organisasi)
2.   Kebiasaan dan amalan (tiada tercatat) 
3.   Metos/kebanggan (kisah kisah, cerita cerita, kehebatan ahli dan tokohnya)

Struktur
 
Untuk struktur asas utama yang menentukan perjalanannya ialah bagaimana keutusan-keputusan dibuat. Keputusan adalah simbol autoriti yang memberi kuasa kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan-keputusan harian dan strategik parti. Ia boleh difahami dari carta organisasi di mana di dalam PAS kuasa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah yang menentukan perjalanan parti dari sudut dasar dan perlaksanaannya.
 
Pembahagian kerja dalam struktur memahamkan kita bagaimana parti menjalankan aktivitinya mengikut peruntukan dan amalan yang biasa dilakukan. PAS menggerakkan aktivitinya melalui Lajnah yang dibahagikan mengikut bidang-biang yang telah diputuskan oleh PAS Pusat. Manakala saluran komunikasi juga dapat menjelaskan bagaimana keputusan-keputusan disalurkan dalam jentera parti. PAS mempunyai jalur komunikasinya di mana Pusat akan berhubung dengan Negeri-negeri yang kemudiannya menjadi penghubung kepada Kawasan-Kawasan dan kemudian diturunkan kepada cawangan-cawangan.
 
PAS perlu memperbaiki cara keputusan dibuat dengan kejelasan premis bidang kuasa-bidangkusa Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan muktamar supaya pertikaian keputusan tidak lagi menjadi polemik dalaman, Selain itu, kuasa presiden perlu dibuat secara telus mengikut ketetapan yang ada pada perlembagaan parti supaya keputusan boleh dipertahankan bersama. Keputusan parti perlu diturunkan melalui saluran resmi untuk menghindari sabotaj oleh pihak tertentu. Ketelusan dari semua tahap amat diperlukan sulaya teori-teori menjatuhkan presiden dan lain-lain tidak menjadi umpan untuk pihak tertentu menggunakannya dalam keghairahan berebut jawatan.
 
Sumber Manusia
 
Sumber Manusia (human resource) memastikan keputusan strategik parti terlaksana dengan baik kerana ia mengendalikan organisasi manusia yang mempunyai berbagai keperluan sosio-ekonomi dan budaya. Jaringan kompleks sosio budaya dan keperluan menguruskan keseimbangan antara kepentingan peribadi dan keperluan parti adalah tugas sumber manusia yang utama. Untuk mencapai maksud tersebut sumber manusia melihat peningkatan ahli melalui latihan dan bimbingan supaya mereka dapat mencapai tujuan dan matlamat parti. PAS mempunyai pendekatannya dalamm aspek ini tetapi ia dilaksanakan oleh Lajnah Tarbiyah yang lebih menjuruskan kepada penekanan meyakini doktrin perjuangan PAS.
 
Sumber Manusia juga memastikan setiap objektif kerja lajnah tercapai supaya satu bentuk Penilaian Prestasi Kerja (KPI) terhasil untuk membaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Kesemua aktiviti sumber manusia mestilah disejajarkan dengan kepentingan strategik parti agar Matlamat Utama parti tidak tersasar. Jikalau tidak ahli meelakukan sesuatu yang tidak menuju kepada pencapaian strategik yang diinginkan.

Tiba masanya PAS menginstitusikan sumber manusia parti dengan mengikut disiplin pengurusan sumber manusia. Unsur strategik parti mesti disesuaikan dengan perkembangan parti. Sebuah pejabat sumber manusia parti hendaklah ditubuhkan dan  seorang ketua pengarah sumber manusia melihat keperluan sumber manusia dari keahlian, pengkaderan, latihan, pentadbiran dan pengurusan lujnah-lujnah.
 
Politik Dalaman
 
Politik dalaman menggambarkan persaingan yang berlaku dalam parti bagi mendapat tempat atau jawatan dalam parti. Persaingan dalaman bukanlah negatif jika semua pihak berlumba-lumba untuk membuktikan pencapaiannya akan menguntungkan parti. Namun persaingan yang negatif seperti menjatuhkan peribadi lawan dengan tohmahan peribadi dan fitnah seterusnya merosakkan parti. Pertandingan dalam jawatan-jawatan tertinggi PAS kecuali jawatan presiden telah menjelaskan bahawa PAS tidak dapat lari daripada politik dalaman.
 
Persaingan melahirkan rundingan-rundingan dalaman sesama pesaing untuk mencapai kata sepakat atau trade off dalam sesuatu jawatan yang disaingi. Hasil daripada ini wujudnya kelompok-kelompok dalam organisasi yang mempunyai misi untuk memperkemaskan dan memperkasakan parti. Bagaimana kumpulan dan kelompok ini bertembung antara satu sama lain adalah merupakan dinamika sebuah parti politik, dan ini tidak terkecuali bagi sebuah parti Islam seperti PAS.

Cadangan mengurangkan lobi-melobi secara tidak sihat ini ialah dengan diadakan perdebatan terbuka bagi membincangkan tajuk yang lebih objektif seperti halatuju parti, peranan parti dalam negara, strategi menghadap isu dan hasrat jika PAS menjadi kerajaan persekutuan. Serangan peribadi dan label-melabel serta fitnah media sosial harus dikengkang melalui ketegasan pemimpin paling atas memastikan persaingan menjadi sihat dan kalau perlu jawatankuasa disiplin kempen diwujudkan secara lebih berkesan. 

Budaya
 
Budaya merupakan satu elemen organisasi yang memerlukan jangka masa yang panjang untuk terbentuk. Ia melambangkan retorik organisasi dari amalan-amalan dan ritual parti yang menjadi kebanggaan ahli. Budaya adalah simbol kepada kebangggan parti yang terbentuk dari kisah-kisah legenda tokoh-tokoh parti dan aktivis parti. Ia cuba memahamkan ahli aspek pengorbanan dan komitmen daripada tradisi-tradisi parti dan mitos yang diulang setiap kali ada pertemuan dalaman bagi menyuntik semangat kepada ahli.
 
PAS mempunyai tradisinya tersendiri seperti konsep taat kepada keputusan parti dan sanggup berkorban untuk mencapai matlamat parti. Kisah keberanian mempertahankan prinsip menjadi dendangan ahli PAS seperti kisah Ustaz Ibrahim Libya tentang keberanian tokoh PAS yang sanggup dipenjara, kepimpinan inklusif Dr Burhanuddin Al-Helmy, kepetahan berpidato Prof. Zulkifli Muhammad dan Dato’ Asri Muda, keterampilan kepimpinan Haji Yusof Rawa serta kebijaksanaan percaturan politik Ustaz Fadzil Noor. Cerita-cerita yang diperturunkan kepada setiap ahli senior kepada yang junior melahirkan satu rasa sense of belonging sehingga tokoh-tokoh ini menjadi idola kepada semua generasi parti hari ini.

Budaya melalui modul latihan kepimpinan yang menegaskan adab-adab berjemaah perlu digerakkan. Keperibadian seorang muslim menjadi asas kepada piawaian ahli PAS yang perlu diterima sebagai keputusan bersama. Membentuk tahap keahlian khusus dan umum akan mengurangkan segala gosip dan label-melabel kerana syarat menjadi ahli PAS yang khusus ialah ciri keperibadian muslim dengan piawaian tertentu yang perlu dicapai. Semua ini memerlukan kerjasama dengan pejabat sumber manusia parti yang akan menyediakan modul piawaian ahli mengikut kesesuaian dan keperluan PAS.
 
Inisiatif dan Visi Pengurusan
 
Visi dan misi pengurusan akan lebih mudah dibentuk melalui kefahaman model empat tingkap di atas. Kepimpinan mesti mempunyai fahaman bagaimana sebuah organisasi digerakkan dan tidak cukup hanya berbekalkan konsep “Jamaah” tanpa pendekatan organisasi yang terkini. Landasan masa juga perlu dalam mengisi komponen visi dan misi organsiasi PAS. 

Kita bukan sahaja perlu mengetahui apakah isu-isu pengurusan tetapi sebagai sebuah organisasi kita juga perlu tahu bagaimana hendak mendepani masalah supaya pendekatan kita akan lebih objektif dan spesifik. Model empat tingkap turut membantu meletakkan landasan masa yang diperlukan dengan mengandaikan tingkap atas lebih pendek jangka waktu yang diperlukan berbanding dengan tingkap bawah yang memerlukan masa yang lebih panjang. 

Konflik mempertikaikan dasar parti contohnya perlu dikembalikan kepada penjelasan keputusan-keputusan strategik yang dibuat dengan cara memperkemaskan cara parti membuat keputusan dan menyampaikannya kepada ahli. Isu ini duduk dalam tingkap Struktur. Kelemahan gerak kerja dan keaktifan parti perlu dirujuk kepada tingkap Sumber Manusia melalui pengukuhan matlamat kerja yang jelas dan peningkatan kualiti ahli dalam semua bidang kemahiran softkills dan hardskills.
 
Politik Dalaman ditangani melalui kejelasan matlamat dan penjurusan kepimpinan kepada mengimbangi potensi diri dan sumbangan kepada parti. Menggalakkan persaingan yang sihat melalui reformasi cara-cara pencalonan dan pemilihan parti dibuat. Manakala Budaya perlu dipertingkatkn budaya kerja yang membina dan bertanggungjawab selain daripada menghindari pelabelan negatif yang menimbulkan permusuhan dan kebencian antara ahli.

Nantikan siri ketujuh akan datang yang berjudul PAS dan Hak Asasi Manusia.

Al Faqir Ilallah
Mujahid Yusof Rawa

HARAKAHDAILY 2/6/2015

Share on Myspace