Angin dan ribut dalam gerakan Islam

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

Firman Allah SWT;

وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالًا سُقْنَاهُ لِبَلَدٍ مَيِّتٍ فَأَنْزَلْنَا بِهِ الْمَاءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِ مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُون

“Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” - (Surah al-A'raf ayat 57)

مَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ ۖ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ ۖ لَا يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا عَلَىٰ شَيْءٍ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الضَّلَالُ الْبَعِيدُ

“Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran.” - (Surah Ibrahim ayat 18)

Kedua-dua ayat dalam surah al-A'raf dan Surah ibrahim di atas ada menyebut perkataan الرياح dan الريح yang salah satunya dalam bentuk singular (mufrad) dan plural (jamak) yang membawa maksud angin.

Tetapi Allah SWT dalam surah al-A'raf menggunakan perkataan الرياح dalam bentuk plural untuk menggambarkan maksud angin yang membawa khabar berita yang baik dan gembira iaitu angin yang mengirimkan hujan membasahi bumi yang kontang serta menghidupkan tanaman yang sudah mati dan reput.

Berbanding perkataan الريح dalam surah Ibrahim disebut dalam bentuk singular untuk memberi maksud angin yang kencang yang membawa khabar berita yang buruk iaitu ribut yang membinasakan segala yang berada di hadapannya, menghancurkan rumah dan tanaman serta hartabenda.

Allah al-A'raf ingin menyatakan bahawa keadaan dua bentuk angin yang dijadikan oleh Allah SWT adakalanya membawa manfaat dan adakalanya membawa mudarat.

Adapun angin yang bersifat الرياح yang dihantar oleh Allah SWT kepada orang yang beriman adalah dalam bentuk khabar baik dan gembira semata-mata untuk membawa hujan agar dibasahi bumi yang sedang kering kontang dan mereput. Setelah angin ini dikirim oleh Allah, bumi mula menjadi subur dan digantikan dengan tanaman yang baru dan menghijau. Maka bermulalah buah-buahan berputik dan ranum untuk dinikmati oleh mereka yang mendapat manfaat darinya.

Di sebaliknya angin yang bersifat الريح dikirimkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dalam bentuk khabar buruk adalah disebabkan pengingkaran dan kekufuran mereka kepada Allah SWT Lalu Allah mengirimkan angin ribut menghancurkan segala amalan mereka sehingga menjadi debu-debu yang berterbangan. Amalan mereka disia-siakan oleh Allah SWT dan tidak memberi apa-apa kebaikam kepada diri mereka di akhirat kelak.

Inilah perumpamaan yang ingin dikiaskan kepada apa yang berlaku kepada Parti Islam SeMalaysia PAS pada waktu kini. Angin yang bertiup dalam jemaah yang berusia lebih daripada separuh abad ini sudah tentu adalah perkara yang ditakdirkan oleh Allah SWT dalam pengetahuan dan susunan-Nya.

Allah SWT sedang meniupkan angin الرياح kepada jemaah ini dengan membawa angin yang berat yang mengandungi air hujan yang banyak yang menampakkan awan berkelabu dan gelap sebenarnya adalah satu rahmat Allah SWT untuk membasahi bumi jemaah ini yang sedang kering kontang dan agar ia kembali segar bagi yang reput dan menghidupkan bagi yang sudah mati daripada tanaman-tanaman.

Angin yang membawa air hujan yang berat ini telah menghasilkan tanaman-tanaman dan buah-buahan segar yang ranum dan enak setelah sekian lama tiada berbuah. Angin yang bertiup dalam PAS telah melahirkan tenaga dan ahli yang bersifat lebih segar dan bugar dari kalangan pejuang-pejuang yang muncul di tengah-tengah krisis kepimpinan dan prinsip.

Angin yang dikirimkan ke dalam jemaah PAS ini sebenarnya adalah satu rahmat daripada Allah SWT kepada jemaah kerana ia telah menghidupkan pejuang-pejuang dan ahli yang lebih berprinsip dan teguh dengan perjuangan Islam yang lebih segar dan konsisten bersikap dalam mempertahankan matlamat perjuangan yang hampir dikikiskan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menggadaikan prinsip Islam dan halatuju mencapai keredhoan Allah SWT yang merupakan cita-cita murni setiap perjuangan Islam.

Buktinya sejak mulanya angin yang bertiup kuat dalam jamaah PAS ini, kelihatan wajah-wajah baru dalam PAS muncul dan bangkit mempertahankan keizzahan dan asolah PAS. Mereka yang datang dari kepelbagaian latarbelakang pendidikan dan pekerjaan samada dari kalangan ulama, profesional dan aktivis.

Anak-anak muda dari kalangan aktivis dan profesional dalam PAS juga lebih bersifat berani dan tegas mempertahankan jemaah ini daripada unsur-unsur yang cuba menggugat dan mengharubirukan PAS. Buktinya dengan sambutan hebat dalam program anak muda PAS seperti Ijtimak Tarbawi yang menggambarkan keadaan anak muda PAS amat mencintai jemaah ini dan sanggup mempertahankannya.

Begitu juga dilihat dengan kemunculan ulama-ulama muda dalam PAS yang proaktif mengemukakan hujah-hujah Islam dan idea kreatif serta melibatkan diri dengan kepelbagaian isu dan krisis nasional melalui lajnah-lajnah dan dewan-dewan dalam PAS menampakkan bahawa PAS mendapat kebaikan disamping angin yang bertiup kencang yang sebenarnya angin yang bersifat membawa rahmat menyuburkan jamaah ini yang pernah satu ketika hampir tandus.

Manakala golongan yang cuba membuat onar dalam jamaah PAS kini maka ingatlah pesanan Allah SWT seperti seperti ayat dalam surah Ibrahim yang menyebut tentang angin yang kencang yang menghancurkan segala usaha mereka. Amalan-amalan mereka diumpamakan habuk dan debu yang berterbangan yang dihempas oleh angin apabila dibawakan di akhirat kelak.

Firman Allah dalam ayat yang lain,

"... وقدمنا إلى ما عملوا من عمل فجعلناه هباء منثورا ..."

Golongan yang buat onar dalam gerakan Islam ini sebenar telah dinyatakan oleh Allah SWT. Walaupun kelihatan mereka seperti kuat akan tetapi sebenarnya jiwa dan hati mereka sentiasa berkecai dan pecah.

بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ ۚ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

“(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik) keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).

Marilah sama-sama kita menginsafikan diri kita, untuk kembali kepada prinsip perjuangam berteraskan kefaqihan Islam dan ilmunya. Bukannya dengan mengikut nafsu diri dan duniawi yang senantiasa menghiaskan dan menampakkan dirinya indah tetapi sebenarnya adalah perangkap dan jurang kebinasaan terhadap mereka yang terperdaya.

Perbanyakanlah taubat dan istighfar serta munajat kepada Allah agar ditetapkan diri kita di atas jalan kebenaran. – HARAKAHDAILY 2/6/2015

Penulias ialah Setiausaha Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor

Share on Myspace