Siri 7: PAS dan hak asasi manusia

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

Komitmen PAS kepada usaha membela mangsa kezaliman dan penindasan sememangnya termaktub dalam perlembagaan parti. PAS tidak pernah mengabaikan isu Hak Asasi Manusia (HAM) kerana ia sebahagian dari perjuangan yang ditekankan dalam syariat Islam. Walaupun demikian PAS senantiasa menegaskan bahawa isu hak asasi tidak boleh diheret mengikut acuan Barat yang mempunyai intepretasinya tersendiri. 

Isu HAM 

PAS mengusung istilah “mustadha'fin” sebagai menggambarkan perjuangan golongan tertindas manakala istilah “mustakbirin” adalah watak golongan penindas yang lazimnya menyalahgunakan kuasa yang ada. Perjuangan Kelantan di bawah pemerintahan PAS memperjuangkan haknya dalam hubungan Negeri dan kerajaan Persekutuan apabila mereka tidak diberi bantuan yang ditetapkan, malah PAS Kelantan zaman Dato’ Mohd Asri Muda pernah mengheret kerajaan Persekutuan ke mahkamah atas tuntutan haknya. 

PAS banyak membela golongan petani yang tertindas serta isu-isu setinggan dan permasalahan FELDA dalam konteks hak mereka yang ditindas oleh golongan penguasa. Banyak isu yang dilihat PAS agak ke hadapan dalam erti kata membela golongan tertindas, termasuklah isu pemecatan Dato’ Seri Anwar pada penghujung 90an sehingga melahirkan GERAK yang dipacu oleh PAS.

Isu rentas kaum seperti mempertahankan SJK Cina Damansara, mempertahankan bahasa ibunda dalam pendidikan dan polisi kerajaan Kelantan yang membela hak beragama bukan Islam adalah sebahagian manifestasi HAM yang diperjuangkan oleh PAS.

Perkembangan Isu HAM

Hari ini isu HAM menjadi semakin terserlah dengan asakan yang lebih universal dari masyarakat antarabangsa melalui konvensyen yang menekan negara-negara Islam supaya menerimanya. Malaysia tidak terkecuali dari menjadi sebahagian dari masyarakat antarabangsa memberikan sikapnya kepada isu HAM.

PAS juga tidak terkecuali dari terpaksa membentuk sikap kepada isu HAM yang lebih spesifik seperti hak kebebasan beragama, hak orientasi seksual dan lain-lain isu yang berada dalam daerah sensitiviti jika tidak ditangani dengan baik.

Dari sudut kebebasan beragama yang termaktub sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia, tanpa satu panduan yang jelas dari sudut pandangan Islam ia akan ditafsirkan secara longgar dan tidak berperinsip, sebab itu adalah penting untuk PAS memutuskan sikapnya dengan ilmu dan  bijaksana.

Asas Perbahasan

Kebebasan beragama mesti ditegaskan dalam bentuk ia tidak memudaratkan hak asasi agama Islam itu sendiri kerana khuatir umat Islam akan mengambil kesempatan meninggalkan agama Islam sedangkan ia dilarang oleh syariat.

Sebab itu walaupun Deklarasi Hak Asasi Manusia oleh PBB pada tahun 1946 menyatakan hak untuk memilih agama, satu lagi Konvensyen kemudiannya dikenali sebagai ICCPR (1976) atau International Covenant Civil and Political Rights mengecualikan dengan perkataan:

“Freedom to manifest one's religion or beliefs may be subject only to such limitations as are prescribed by law and are necessary to protect public safety, order, health, or morals or the fundamental rights and freedoms of others”

(Kebebasan untuk melaksanakan agama seseorang atau keyakinannya hanya tertakluk kepada batasan yang ditentukan oleh oleh undang-undang atas keperluan memlihara keselamatan awam, kesihatan, moral atau hak fundamental dan kebebasan orang lain).

Kita berhak untuk menentukan kehendak agama kita namun ia perlu dibawa dan dihujahkan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh.

Memperhalusi Isu Orientasi Seksual

Begitu juga tentang perbahasan kebebasan orientasi seksual, walaupun ianya sensitif tetapi PAS harus mempunyai sikapnya yang memperhalusi perbezaan antara soal hak mendapat keadilan  di sisi undang-undang dan hak untuk dilindungi dari dicederakan atau disakiti kerana orientasi seksual mereka.

Sebagai sebuah parti politik yang satu hari mengharapkan ia akan berkuasa dengan izin Allah, PAS harus berfikir satu tahap lagi dalam konteks ia sebagai negara yang terpaksa berhadapan dengan isu seperti hak orientasi seksual.

PAS tidak perlu menyokong amalan sonsang seksual tetapi PAS perlu melihat soal hak untuk mendapat keadilan disisi undang-undang dan hak untuk dipelihara dari dicederakan atau disakiti kerana orientasi mereka.

Adapun kesalahan amalan mereka, ia seperti kesalahan dan jenayah yang lain jika disabit kesalahan, maka mereka harus dikenakan tindakan dengan undang-undang yang ada. Jadi ada beza antara memberikan keadilan perundangan kepada mereka dengan menyokong amalan songsang mereka.

Menggarap Isu HAM

Bagi PAS yang mahukan sebuah Malaysia yang lebih maju ke hadapan, isu HAM termasuk isu sensitif perlu ditangani melalui beberapa pendekatan;

1. Mengenalpasti Fiqh Hak Asasi Manusia supaya dipandu dengan kejelasan syariat demi memelihara prinsip perjuangan PAS

2. Membentuk indeks HAM berpandukan syariat Islam dan memperincikan antara hak mendapat keadilan sebagai fundamental walaupun sesetengah amalan seperti seks bebas dan songsang mesti dilarang melalui undang-undang dan pendidikan.

3. Mendidik orang ramai mengenai HAM melalui dialog dan forum dengan masyarakat sivil yang mungkin mempunyai pandangan berbeza.

4. Meneliti konvensyen antrabangsa yang ada tentang HAM dan mencadangkan kepada pihak berwajib apa yang boleh disesuaikan dengan keperluan agama dan persekitaran tempatan dan apa yang tidak boleh disesuaikan.

Menolak sama sekali isu sensitif HAM seperti di atas dengan bersikap terlalu umum tanpa pendetailan boleh menampakkan keterbatasan PAS untuk memimpin negara dan keupayaan PAS bersama masyarakat antarabangsa. 

Nantikan siri kelapan akan datang yang berjudul PAS dan Perlembagaan Persekutuan.

Al Faqir Ilallah
Mujahid Yusof Rawa

Share on Myspace