Duduk bersama kami, kamu akan kenal kami

DR AZMAN IBRAHIM | .

Saf kepimpinan yang akan menerajui derap langkah perjuangan bahtera PAS bagi tempoh 2 tahun akan datang sudah diketahui.

Perwakilan telah menzahirkan hasrat dan harapan mereka lalu meletakkan beban amanah di atas bahu sebahagian ‘sahabat yang kurang bernasib baik’. Kurang bernasib baik kerana amanah adalah taklif (tanggungjawab) dan bukannya tasyrif (kemuliaan).

Semua pimpinan dan pendukung gerakan Islam telah cukup masak dengan istilah ini dan telah sedia menyedari akan beratnya beban taklif termasuk persoalan yang akan dipikul di hadapan manusia serta di hadapan Allah kelak. Kerana itulah tiada istilah honeymoon dalam perjuangan. Tiada juga istilah tidur lena.

Umum memaklumi, inilah dia saf kepimpinan samada Pemuda, Ulamak dan Muslimat serta susunan Jawatankuasa PAS Pusat yang cukup bersedia bersatu hati dan tekad di bawah kepimpinan ulama. Bersama mempertahankan prinsip perjuangan Islam dengan penuh izzah dan keyakinan.

Selepas berlalunya biduk, maka inilah masa untuk kiambang kembali bertaut. Episod kempen dan pertandingan atas dasar fastabiqul khairat telah berakhir.

Ada pimpinan dan calon yang kita sokong berjaya berada di atas pentas. Sebaliknya ada juga yang tidak berjaya.

Sebelum ini saya berpesan kepada kawan-kawan yang ghairah mempromosi calon-calon tertentu, “Akhie… Selepas pemilihan nanti samada calon yang akhie dokong dipilih atau sebaliknya, marilah kita terus istiqamah!”

Saya tak kisah dengan gelombang yang melanda dalam perjuangan. PAS adalah sebuah bahtera besar yang sedang belayar di lautan luas. Bukannya bersifat seperti perahu kolek sebagaimana sifat beberapa pertubuhan Islam yang banyak bergerak di tanah air. Lautan luas yang bergelombang adalah lumrah.

Memanglah sebuah perahu kolek tak akan dibadai gelombang kerana tempat belayarnya ialah di sungai dan kolam. Tapi cuba bawa perahu kolek tersebut belayar di lautan dan tengok apa akan jadi. Saya bimbang perahu kolek akan bertukar menjadi kapal selam!

Seteru politik PAS yang berhasrat untuk merayakan pesta pecah belah yang bakal melanda PAS selepas muktamar diharap dapat segera melupakan hasrat mereka.

Mereka tak memahami bagaimana kebijaksanaan pimpinan PAS mengurus krisis serta keikhlasan dan sayangnya ahli dan penyokong PAS kepada perjuangan ini. Mari duduk bersama kami dan kamu akan mengenali kami! - HARAKAHDAILY 5/6/2015

Share on Myspace