Pemuda PAS lantik exco tambahan profesional tahap tinggi

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Perwakilan Muktamar Pemuda PAS telah memilih barisan kepimpinan yang baru, dalam sorotan lensa yang paling meriah dalam sejarahnya.

Ketuanya yang baru ustaz Nik Mohamad Abduh ialah lulusan Al Azhar dan Deoband. MP Pasir Mas ini juga mantan pelajar terbaik di maahad, juga penulis buku yang piawai.

Ustaz Khalil Abdul Hadi, timbalan Ketua mendapat pendidikan tinggi di Yaman dan juga MA dari United Kingdom. Khalil dibina konpetensinya semenjak zaman remajanya dan anak muda ini juga calon Doktorat universiti luar negara.

Naib ketua pula Ir Khairil Nizam seorang jurutera yang mesra anak muda lulusan UTP. Ustaz Fadli Shaari mantan pensyarah KIAS adalah lulusan al Azhar yang juga bekas Setiausaha Akhbar almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Ustaz Afnan Hamimi pula adalah lulusan al Azhar dan juga MA daripada universiti tempatan. Seorang tokoh ekonomi muda, Shahir Sulaiman juga dipilih perwakilan. Bekas pelajar terbaik UIA ini menjadi pakar rujuk ekonomi dalam PAS, juga calon Doktorat.

Ustaz Zawawi Hassan lulusan al Azhar, juga Adun Semanggol Perak juga dipilih perwakilan. Nurul Islam Mohamed seorang jurutera lulusan UIA yang juga mempunyai MA Sains Politik daripada UM.

Adun Sungai limau, Ustaz Azam Samad adalah lulusan al Azhar antara muka baru barisan pemuda Pusat. Ir Mokhtar Suhaili tokoh muda, lulusan kejuruteraan daripada UIA manakala Izwan Halim lulusan UPM seorang wartawan. Izwan juga mendapat pendidikan tinggi dari Indonesia.

Ustaz Syed Qader al Jofree tokoh tarbiah pemuda mempunyai MA daripada Mesir juga selebriti TV.

Ustaz Hishamuddin Karim mantan Presiden PMRAM Mesir adalah juga Adun Tepoh. Beliau melepaskan jawatan sebagai pegawai agama Petronas untuk menjadi murabithun. Hafeez Sabri lulusan UM seorang arkitek pembinaan remaja yang tersohor dan juga seorang penulis yang sedang meningkat naik. Ketua Pemuda Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi anak mantan Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Abdul Halim Arshad adalah lulusan al Azhar.

Latar belakang akademik dan penglibatan dalam gerakan sosiopolitik exco dan pimpinan pemuda sangat cemerlang dan piawai. Menjadi tradisi Dewan Pemuda Pusat melantik exco-exco tambahan daripada kalangan profesional tahap tinggi. Ini akan melengkapkan pakej Dewan Pemuda sebagai organ paling penting dalam harakatul ummah ini. - HARAKAHDAILY 6/6/2015

(Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Pusat)

Share on Myspace