Siri 8: PAS dan Perlembagaan Persekutuan

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

Sebagai sebuah parti politik, PAS tidak dapat lari dari memberikan sikapnya kepada aspek perundangan yang mengambil semangatnya dari Perlembagaan Persekutuan. Isu semasa dalam konteks perundangan memerlukan pandangan PAS yang praktikal apabila berhadapan dengan situasi konflik dengan prinsipnya. Begitu juga bagaimana PAS hendak membawa ke dalam bingkai perundangan hasrat dan cita-citanya untuk menjadikan hukum dan undang-undang negara menuju kepada keredaan Allah. 

Pendekatan Politik

Dalam konteks pendekatan politik sikap PAS amat jelas bahawa ia meyakini sebarang usaha perundangan mestilah dengan cara penglibatan dalam politik dan bahawa segala perundangan yang dilihat berkonflik dengan dasar dan prinsip parti ataupun mana -mana perundangan yang hendak dikemukakan harus melalui pendekatan demokratik. Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa cara PAS membawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) (2015) adalah mengikut saluran demokratik melalui penguasaan politik ke atas badan perundangan negeri.

Kritikan PAS terhadap undang-undang sedia ada yang dilihat bercanggah dengan prinsipnya turut dibahaskan melalui wakilnya di Parlimen. Begitu juga sebarang undang-undang yang perlu kepada pembaikan atau penghapusan atas sebab ianya bercanggah dengan prinsip Islam yang PAS yakini diterjemahkan melalui proses demokrasi. 

Realiti Perundangan

Malaysia mengamalkan sistem perundangan sivil dan syariah mengikut kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Perdebatan mengenai samada undang-undang sivil atau syariah yang lebih superior dilihat dalam kedudukan had kuasa yang ada dan peringkat mahkamah yang mengadili kes-kes. Akta Mahkamah Syariah 1965 menetapkan had hukuman kepada tiga tahun penjara, RM 5,000 denda dan enam kali sebatan adalah sebahagian dari sekatan had untuk mahkamah syariah. Selain itu pindaan perlembagaan tahun 1981 dalam klausa 121(A) menetapkan bahawa keputusan mahkamah syariah tidak boleh dibatalkan oleh mahkamah sivil sebagaimana sebelumnya berlaku. Dari satu segi Mahkamah Syariah diberi kebebasannya dari campurtangan sivil.

Selain daripada usaha PAS untuk meminda akta ini yang dilihat menghadkan hukuman ke atas jenayah syariah dan memperkukohkan kedudukan mahkamah syariah, PAS juga tidak sepatutnya membataskan usaha di bidang syariah sahaja malah PAS perlu meletakkan sasaran untuk memastikan undang-undang sedia ada adalah patuh syariah (syariah compliance) walaupun tanpa menyebut nama Islamnya.

Usaha Reformasi Undang-Undang

Sebagai parti yang mementingkan keutamaan nasional, PAS juga harus bersikap pro-aktif melalui inisiatif pembaharuan perundangan atau law reform initiative. Pihak LUHAM atau JUHAM PAS perlu membuat semakan kepada undang-undang yang sedia ada untuk dibaiki dan dibawa kepada pihak yang berkepentingan untuk dibuat rundingan serta menerima cadangan-cadangan untuk dibaiki. PAS juga mesti tegas memperjuangkan isu hak asasi manusia melalui komitmen menentang undang-undang yang menafikan kebebasan hak asasi manusia, kebebasan memberikan pandangan dan hak untuk berhimpun. Sebahagiannya telah dibuat seperti menentang ISA, Akta Hasutan 1948 akta GST dan lain-lain yang dilihat tidak mempunyai piawaian hak asasi manusia.

Usaha Kesedaran Undang-Undang

Kekuatan PAS melalui dakwah dan penerangan harus meletakkan kempen literasi perundangan negara sebagai sebahagian aktivinya supaya awam dapat melihat komitmen PAS kepada kerangka perundangan negara seperti termaktub dalam perlembagaan parti fasal cita-cita PAS. Ini juga bermakna PAS senantiasa bersikap pro-aktif melalui konsultasi awam, perbincangan meja bulat dan menyertai seminar-seminar yang membolehkan PAS membawa sikapnya pada perundangan negara untuk dibaiki.

Sebagaimana setiap ahli mesti diisi dalam program pengkaderan aspek Perlembagaan Persekutuan supaya ahli PAS dapat menghayati komitmen PAS yang menyatakan dalam perlembagaan parti bahawa ia bergerak mengikut panduan undang-undang yang sedia ada.

Menggunakan Siyasah Syariah

Siyasah Syariah membina segala tindakan dan sikap PAS melalui pemahaman bahawa proses tindakan dan kesan perlu diambil kira dalam melihat hasil yang diinginkan samada kepentingan terbesar terjejas atau tidak. Ia bukan sekadar sesuatu masalah secara terasing tetapi perlu melihat kesan dan efek tindakan dan sikap.

Kajian para pakar usul dalam hal ini dikenali sebagai maalatul afa’al bertujuan untuk memastikan tindakan dalam perkiraan maslahah yang terbaik. PAS mengambil kira antara maslahah dan mafsadah dalam tindakan politiknya supaya mencapai maksud tersirat yang lebih besar dalam syariah iaitu memelihara nilai keadilan, rahmah dan kesejahteraan.

Maslahah utama dalam melaksanakan cita-cita PAS ialah ia terikat dengan perundangan negara dan realiti politik pelbagai bangsa dan agama. Memelihara kepentingan maslahah ini adalah utama dalam tindak tanduk PAS dan sudut apakah kesan daripada tindakan yang diambil, adakah ia membawa keburukan atau kebaikan.

PAS juga terpaksa membuat penelitian dalam tindak-tanduknya antara maslahah dan mafsadah manakah yang kurang dan yang lebih kesannya. Dalam menentukan situasi ini soal niat tindakan atau keputusan tidak menjadi pertikaian tetapi adalah untuk melihat apa yang lebih baik bagi mengelakkan apa yang lebih buruk. PAS bergerak dalam kefahaman ini dalam tindak tanduknya berasaskan siyasah syariah.

Nantikan siri kesembilan akan datang yang berjudul PAS dan Masyarakat Majmuk.

Al Faqir Ilallah
Mujahid Yusof Rawa

Share on Myspace