Tiga langkah segera

NASRUDIN HASSAN | .

1. Muktamar Tahunan PAS ke-61 telah berakhir. Saya percaya semua para muktamirin telah berlabuh di kediaman masing-masing untuk menyempurnakan istirehat pada hujung minggu. Sehari dua ini pula, tentu sahaja berita mengenai kepimpinan baru PAS akan menjadi headline pelbagai agensi berita. Kebetulannya, muktamar kali ini mendapat liputan media yang agak luar biasa.

2. Saya ucapkan selamat beristirehat kepada semua guna mengembalikan tenaga untuk terus bangkit memacu perjuangan suci yang kita dukung ini. Perjuangan Islam ini memerlukan kita aktif mendukung agenda dan aktivitinya berpaksikan amal jamaei. (kerja secara kolektif bertunjangkan kekuatan dalaman yang mantap)

3. Pilihan raya Negeri Sarawak sudah hampir. Pilihan raya Umum pula tidak lama lagi. Kerja-kerja pemerkasaan dalaman dan luaran parti makin mencabar. Isu-isu rakyat dan negara perlu segera ditangani. Sementara harapan ahli begitu tinggi kepada saff kepimpinan PAS yang baru agar dapat menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan cemerlang. Tidak ketinggalan pemerhati dan pemantau bebas sedang mengekori perkembangan dari dekat. Ayuh! bangkit semua dan move foward kerana apa yang lebih pasti ialah Allah swt juga sedang audit segala kerja tindak kita.

4. PAS adalah milik kita semua secara bersama. Marilah kita pacu perjuangan ini tanpa mengira di mana posisi kita. Tenangkan jiwa yang resah, sejukkan hati yang panas, damaikan sikap yang bertelagah, satukan fikrah yang bercanggah dan rapatkan saf yang renggang. Bina kepercayaan sesama kita dan pastikan kita segera membina firewall untuk membentengi jamaah dan seluruh warganya dari serangan fitnah yang merosakkan.

5. Mengatur langkah segera sebelum langkah jangka panjang dirangka rapi melalui pemukiman strategik AJK PAS Pusat kelak. Langkah segera yang saya maksudkan ialah:

Pertama: Satukan saf selepas pembentukan kabinet kepimpinan yang seimbang dan sepadu melalui gerakan amal tarbawi yang efektif.

Kedua: Segera tangani isu yang membelenggu rakyat. Pantas turun padang untuk meneruskan tradisi parti, berbakti dan menyantuni mereka. Contohi Tuan Guru Presiden, sejurus tamat sidang muktamar lewat petang semalam, jam 9.00 malam tanpa rehat beliau terus berangkat ke Ranau Sabah bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohd Abduh dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairudin at-Takiri untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di sana.

Ketiga: Merencana gerakkerja penerangan dan dakwah parti untuk membina persepsi positif dan menyampaikan risalah yang benar mengenai perjuangan yang kita dukung kepada semua pihak termasuk non muslim dengan kerjasama erat Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Langkah berikutnya insyaallah akan diperincikan secara strategik melalui retreat yang akan diadakan oleh PAS Pusat sedikit masa kelak. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

Share on Myspace