DAP tidak sekuat mana tanpa PR di Sarawak

JOFRI JARAIEE PAS SARAWAK | .

Sebelum kewujudan gabungan tiga parti dalam Pakatan Rakyat setiap parti mempunyai dasar perjuangan masing-masing. Dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar. Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta ljmak dan Qias yang terang dan nyata.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berdasarkan komitmen mereka yang sama terhadap Reformasi, menentang ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa.

DAP terkenal dengan konsep "Malaysian Malaysia" (Malaysia untuk semua rakyat Malaysia). Parti ini komited kepada perjuangan untuk sebuah Malaysian Malaysia yang bebas, berunsur sosialisme demokratik, berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesamarataan, keadilan sosial dan ekonomi, dan berasaskan institusi demokrasi parlimen

Pakatan Rakyat merupakan gabungan PKR, DAP dan PAS. Penubuhan Pakatan Rakyat bermula pada 1 April 2008 berikutan gelombang refomasi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

PKR, DAP dan PAS mencipta sejarah dengan memenangi empat kerajaan negeri selain Kelantan yang dipimpin PAS sejak 1990 dan turut menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga di dalam Parlimen Malaysia. Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama telah diadakan pada 19 Disember 2009 di Shah Alam. Pada acara ini, Dasar Bersama Pakatan Rakyat dilancarkan dengan menyentuh 4 elemen utama:
• Demokrasi Telus dan Tulen
• Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
• Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
• Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

Dengan dasar sepakatan itu, setiap parti masih berhak untuk memperjuangkan dasar perjuangan masing-masing tanpa perlu meninggalkan dasar utama parti masing-masing.

Maka perjanjian persefahaman dibuat agar setiap perkara yang melibatkan dasar parti masing-masing boleh terus dipertahankan. Setuju untuk tidak bersetuju dalam sesuatu perkara perlu dihormati oleh setiap parti dalam PR agar matlamat utama untuk menjatuhkan kerajaan BN tercapai tanpa menjejaskan dasar perjuangan masing-masing.

Tujuan utama gabungan tiga parti dalam PR adalah untuk menggantikan kerajaan Umno dan BN (Barisan Nasional) yang memerintah Malaysia selama ini.

Antara isu hangat yang menyebabkan DAP meninggalkan PR di Sarawak adalah isu Hudud. Isu hudud telah dijadikan sebab utama mengapa DAP menolak kerjasama dengan PAS di Sarawak sedangkan mereka tahu bahawa Islam adalah minorti di Sarawak maka tidak timbul isu tentang perlaksanaan hukum Hudud di Sarawak. Mengapa pemimpin utama DAP Sarawak perlu mendesak rakan pakatan dari PKR untuk bersama-sama mereka meninggalkan PAS sebab Hudud.

Dalam konteks Sarawak memang sukar hendak melaksanakan perlaksanaan hukum Hudud walaupun PR menang di Sarawak sebab PAS dan umat Muslim di Sarawak adalah minoriti. Yang menjadi kemusykilan, mengapa mesti DAP Sarawak mendesak PAS Sarawak supaya tidak menyokong hudud? Mereka sepatutnya lebih tahu realiti kedudukan umat Muslim di Sarawak tanpa perlu mengeluarkan isu yang tidak releven dengan penduduk Sarawak.

Apa sebenarnya agenda utama DAP Sarawak? Kalau mereka merasa sudah kuat, mereka tidak perlu bergabung dengan mana-mana parti dan mereka boleh bertanding di semua kerusi di Sarawak tanpa perlu berunding dengan mana-mana parti komponen di Sarawak. Buktikan yang mereka mampu menguasai setiap kerusi yang mereka tandingi tanpa kerjasama dalam PR seperti sebelum ini.

Sekarang pemimpin DAP Sarawak pula mendesak PKR sama-sama meninggalkan PAS dalam PR semata-mata ingin memenuhi hasrat DAP. Adakah pemimpin DAP merasa diri mereka berkuasa boleh mengarah sesiapa saja ikut kehendak mereka sehingga boleh menjejaskan dasar perjuangan parti masing-masing?

DAP perlu sedar mereka baru berjaya memerintah Pulau Pinang dalam sepenggal lebih, janganlah mereka menunjukkan kuasa mereka dengan mengarahkan rakan-rakan dalam PR untuk ikut arahan dan kehendak mereka saja. Setiap parti dalam gabungan PR berhak untuk melaksana dasar perjuangan masing-masing tanpa menjejaskan hasrat rakyat untuk menukar kerajaan BN sekarang kepada yang lebih baik.

Tanpa gabungan dalam PR belum pasti DAP dapat memerintah semula Pulau Pinang sebab mereka juga yang akan rugi atas keangkuhan dan kesombongan mereka. Sepatutnya masalah Hudud bukan isu utama yang boleh jadi punca perpecahan dalam PR tetapi kita perlu menghormati dasar perjuangan masing-masing kalau mahu PR dilihat sebagai alternatif kerajaan Malaysia baru pada masa akan datang.

Desakan DAP Sarawak terhadap PKR dan PAS Sarawak memang tidak rasional. Kita harap PKR boleh menilai sendiri pemintaan DAP Sarawak kalau masih mahu melihat PR Sarawak maju kehadapan sebagai alternatif kerajaan masa depan di Sarawak. PR akan dapat bersatu semula dengan syarat semua pihak dalam PR dapat menerima dasar perjuangan masing-masing serta menghormati pandangan antara satu sama lain, bersetuju untuk tidak bersetuju dalam sesuatu perkara dan tidak menyerang antara satu sama lain.

Kita serah pada penilaian parti masing-masing untuk menentukan nasib PR kerana rakyat mahu melihat sebuah kerajaan yang kukuh sebagai alternatif yang dapat memberi kesejahteraan dan keadilan pada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ingat musuh utama politik PR adalah Umno BN. - HARAKAHDAILY 8/6/2015

 

Share on Myspace