Usul tahaluf siyasi: DAP jangan cepat melatah

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

USUL Tergempar yang dikemukan oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak dalam Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat pada 3 Jun lalu iaitu mencadangkan kepada Majlis Syura dan Jawatankuasa Pas Pusat untuk memutuskan kerjasama Tahaluf Siyasi dengan DAP cukup menggemparkan dunia politik negara.

Usul ini bukan difikirkan oleh seorang sahaja  tetapi secara berhati-hati dan berhemat dan dikemukan oleh kesemua Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat dengan 9 hujah yang kukuh yang bersifat syarie dan dipersetujui sebulat suara oleh 644 perwakilan ulamak dari setiap kawasan. (Sila rujuk Usul Dewan Ulamak Pas Pusat untuk melihat 9 sebab dan hujah.)

Bahkan usul ini tiada berkepentingan yang lain melainkan melihat masa depan survival perjuangan Islam dan Parti PAS sebagai satu amanah agama ke atas orang Islam yang mungkin tidak difahami oleh sebahagian masyarakat bahkan mungkin sebahagian kecil ahli PAS sendiri terkeliru.

Usul ini juga sudah tentu menimbulkan reaksi daripada pihak DAP yang sepatutnya mampu menjangkakan bahawa dengan beberapa bilangan tindakan mereka sebelum ini adalah provokasi negatif terhadap PAS sehingga timbulnya usul ini.

DAP sewajibnya menoleh ke belakang sedikit melihat telahan dan keceluparan tindak tanduk dan sikap mereka yang telah mencalarkan persepakatan bersama dalam Pakatan Rakyat.

DAP lah yang memulakan kekeruhan ini apabila  menunjukkan segala penentangan terhadap prinsip dasar Parti PAS dalam isu EKJS II Kelantan secara terbuka dalam media dan umum. Begitu juga serangan bertubi-tubi terhadap Presiden PAS serta penglibatan secara tidak beradab dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat baru-baru ini. Bukankah dalam perjanjian persefahaman Pakatan Rakyat di sana ada perkara yang dipersetujui dan perkara yang tidak dipersetujui diterima oleh ketiga-tiga parti dengan berlapang dada?.

Lim Guang Eng telah bertindak secara tidak profesional dan menunjukkan amarahnya apabila dengan serta merta meminta kesemua ahli PAS yang memegang jawatan di Pulau Pinag agar meletakkan jawatan masing-masing atas alasan bahawa Kerajaan Pulau Pinang dipimpin oleh DAP.

Lupakah Lim Guang Eng kerajaan Pulau Pinang adalah dimenangi secara bersama dalam Pakatan Rakyat dan kerajaan itu adalah kerajaan bersama? Jangan bertindak seperti Umno-BN yang tidak mampu membezakan antara kerajaan dan parti politik. Adakah DAP sudah lupa indentiti dirinya sendiri yang pernah mendakwa diri mereka sebagai perjuang demokrasi dalam negara ini?.

Sekiranya DAP benar-benar ingin melihat PAS tiada dalam kerajaan Pulau Pinang, lebih senang, cepat dan lebih profesional Lim Guan Eng sendiri sebagai Ketua Menteri memecat semua Ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan.

Kepada Ahli PAS, PAS telah menegaskan bahawa keputusan penerimaan Usul Dewan Ulamak Pas Pusat akan dibawa ke Mesyuarat Syura dan JK Pas Pusat untuk diperinci dan diperhalusi. Oleh itu, ahli PAS dan pimpinan PAS tidak perlu menjadi panik, berilah mandat dan kepercayaan kepada pimpinan JK PAS PUSAT yang baru dilantik sebagaimana sebelum ini.

PAS masih bersama Pakatan Rakyat, dengan menegaskan kerjasama dan tahaluf siyasi parti dalam Kerajaan Pakatan Rakyat yang terjalin dengan begitu baik di Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat PKR tidak akan terjejas dengan usul ini. Segala urusan kerajaan di Selangor hendaklah diteruskan seperti biasa demi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Parti PAS seharusnya diberi hak laluannya sendiri dan dan bebas untuk menentukan halatujunya tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Jangan ada pihak yang cuba untuk mencucuk hidung PAS agar mengikut segala karenah dan kehendak pihak lain khususnya DAP. – HARAKAHDAILY 10/6/2015

Ustaz Muhammad Najhan Halim ialah Setiausaha Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor

Share on Myspace