Menyantuni Rohingya di Aceh

| .

Telah menjadi perbualan umum dan dokumentasi rasmi bahawa Aceh sebuah negeri yang dijadikan tuhan, kaya dengan hasil alamnya tetapi dikuras oleh kerajaan pusat tanpa membangunkan kembali Aceh seimbang dengan pulangan yang diperolehi Jakarta. Suasana dan realiti ini telah menjauhkan kepercayaan masyarakat Aceh terhadap Jakarta sehingga akhirnya telah melahirkan pertembungan berdarah di Aceh.

Kemerdekaan Indonesia yang dicapai pada tanggal 17 ogos 1945 dengan janji Soekarno yang berjaya meyakinkan tokoh-tokoh Aceh untuk bergabung dalam negara kesatuan Indonesia, antara lain menjanjikan pelaksanaan syariat Islam dan pembangunan Aceh. Ternyata janji ini tidak ditepati dan masyarakat Aceh mulai berprasangka terhadap kerajaan pusat terutama apabila ramai orang dari luar Aceh ditempatkan di pejabat-pejabat kerajaan di Aceh.

Tengku Daud Beureuh telah mengisytiharkan negara Islam Indonesia (NII) pada bulan September 1953 yang mengakibat krisis yang hebat sehingga pada 1957. Perlawanan ini berakhir dengan sekali lagi Aceh dipujuk dengan janji-janji manis iaitu boleh membangunkan sendiri autoriti agama dan pendidikan. Namun janji ini tetap tidak menjadi kenyataan.

Aceh dilantari dengan kemiskinan yang menyayat hati sedangkan buminya terkandung dengan emas hitam (mungkin berkat doa ulama silam). Semasa zaman regim Soeharto sebuah syarikat gergasi minyak Amerika iaitu Exxon Mobil telah dibawa masuk untuk membangunkan sektor carigali minyak di Arun, Lhokseumawe dengan kerjasama PERTAMINA. Aceh hanya menikmati hanya satu peratus daripada hasil minyak ini, bangsa Aceh hanya berputih mata melihat emas hitam diangkut keluar dari Aceh dan ini telah menambah pandangan serong terhadap Jakrta.

Gerakan Aceh merdeka telah diisytiharkan pada tahun 1976 dan telah menyebabkan Aceh medan pertempuran di antara ABRI (kini TNT) dengan GAM. Tidak sedikit darah yang tumpah di kedua-dua belah pihak ataupun kes-kes penculikan dan jenayah seksual yang berlaku. Semua ini memahat sejarah hitam bagi Indonesia terutama apabila operasi militer yang dilaksanakan secara agresif seperti operasi jaring merah sejak tahun 1989 sehingga 1998. Operasi ini telah menyebabkan Aceh digelar Daerah Operasi Militer' ( DOM).
Acheh mencuat kembali namanya apabila berlaku tsunami pada 26 Disember 2004 ,dimana 161 000 nyawa telah terkorban. Penulis menjadi saksi mata bagaimana kesedihan warga Aceh pasca tsunami apabila terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan. Aceh dibangunkan kembali daripada puing-puing runtuhan termasuk kesedaran Islam yang pernah memuliakan sejarah moyang mereka.

Pasca reformasi 1998 pula memberikan Aceh ruang yang besar untuk mewajahkan kembali mereka sebagai negeri "Serambi Mekah". Mutakhir ini nama Acheh mula menggema ke seluruh belahan dunia apabila warga Aceh membantu menyelamatkan pelarian Rohingya yang terapung di Laut Andaman.

Nelayan Aceh Utara yang mencari rezeki di laut Andaman adalah wira yang tak didendang, mereka terserempak dengan manusia hanyut yang kelaparan. Manusia hanyut dengan wajah kusam serta terpampang kejerihan. Bot yang sendat seperti bergoncang dengan laungan memberi salam. Ada kanak-kanak yang menangis kelaparan, ada lelaki tua yang keuzuran, juga wanita sedang merayu.

Manusia hanyut itu telah berbulan menggodam nasib di laut Andaman, terusir dari tanah Arakan yang mereka diami daripada satu generasi ke satu generasi.

Penulis mengikuti misi kemanusiaan membantu pengungsi Rohingya bersama Muslim care, AFMY, IMBnet minggu ini, melihat dan menyantuni mereka daripada dekat. Tim seramai 17 orang dengan pelbagai kepakaran turun ke penempatan pengungsi kuala Langsa Aceh Utara. Hati terasa sebak melihat kegembiraan pelarian ini makan walaupun hanya nasi berlaukkan telur rebus. Kanak-kanak Rohingya seakan mendapat kegembiraan daripada kotak pandora. Puluhan NGO menyantuni pelarian ini termasuk dari United Kingdom. Penulis berkesempatan menemubual petugas UNHCR, beliau melahirkan kebimbangan nasib pelarian ini selepas tempoh tiga bulan kerana isu kemanusiaan hanya hangat seketika. Kebanyakan negara dalam dunia tidak mahu menerima pelarian politik atau pelarian ekonomi.

"Apa pun kita membantu mereka atas alasan manusiawi apatah lagi dengan akidah yang mereka anuti password kita ialah lafaz Assalamualaikum maka itu titik tolak mengapa kewajipan itu wajib dipikul," tegas Pak Ardi, petugas UNHCR. - HARAKAHDAILY 11/6/2015

(Penulis adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan Muslim Care yang mengikuti misi Bantuan ke Aceh)

Share on Myspace