Jangan tipu had garis kemiskinan

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

PADA Isnin lalu, 8 Jun 2015, sebagai menjawab soalan yang saya kemukakan, DS Abdul Wahid Omar menyatakan bahawa kadar kemiskinan telah berkurang daripada 49.3% pada 1970 kepada 0.6% pada 2014 dengan semua negeri mecatatkan penurunan bilangan isi rumah yang miskin.

Berikutan kesan kejatuhan nilai mata wang Ringgit dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan semasa, boleh saya sifatkan angka yang dikemukakan ini tidak menunjukkan realiti sebenar kemiskinan yang dihadapi oleh masyarakat.

Indikator yang menentukan angka ini ialah pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.

Bagi miskin tegar pula, indikatornya ialah PGK makanan iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi nutrisi makanan yang minimum yang membolehkan setiap ahlinya mempunyai tubuh badan yang sihat.

Berdasarkan kepada penyiasatan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah tahun 2014 purata pendapatan garis kemiskinan untuk Malaysia secara keseluruhan adalah RM950 untuk miskin dan RM600 untuk miskin tegar.

Merujuk kepada item keperluan asas ‘bukan makanan’ yang disenaraikan – pakaian; sewa, minyak, elektrik; perkhidmatan asas; pengangkutan dan komunikasi; dan lain-lain – sahaja pun, jelas bahawa adalah tidak munasabah nilai RM950 dijadikan garis pemisah untuk membezakan golongan berkemampuan dan tidak berkemampuan.

Bank Negara di dalam data kepenggunaan isi rumah (household consumption) bagi tempoh 2000 – 2009 menyatakan bahawa perbelanjaan untuk makanan ialah 23% daripada jumlah perbelanjaan isi rumah (household expenditure), untuk perumahan sebanyak 18.9% dan untuk pengangkutan pula sebanyak 13.4%.

Berdasarkan peratusan ini dan jika RM950 dijadikan rujukan, bererti untuk setiap item tersebut bernilai RM220 untuk makanan, RM180 untuk perumahan dan RM130 untuk pengangkutan. Jika diteliti secara kasar pun nilai-nilai ini bolehlah dianggap terpesong daripada realiti sebenar.

Hal ini kerana, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia ketika membuat penerangan tentang kewajaran rasionalisasi subsidi minyak menyatakan bahawa golongan berpendapatan rendah menggunakan minimum 150 liter iaitu membelanjakan RM307.50 sebulan untuk penggunaan petrol (RON95). Ia kemungkinan akan meningkat lagi kepada RM322.50 pada bulan hadapan apabila diunjurkan harga petrol itu bagi Jun 2015 ialah RM2.15 seliter.

Dalam suatu kajian membandingkan harga sewa bulanan rumah, mendapati ia bernilai RM700 di Kuala Lumpur, RM500 di Klang, RM400 di Kuala Terengganu, RM800 di Kuching, RM600 di Johor Bharu, dan RM350 di Alor Setar atau secara puratanya ialah RM560 sebulan. Boleh dikatakan tiada lagi harga sewa bulanan rumah berada di bawah paras RM350 apatah lagi RM180.

Jika kita kembali menggunakan data Bank Negara sebagai rujukan dan membuat ketetapan baru iaitu 18.9% bersamaan RM560 supaya lebih dekat dengan realiti, maka nilai bagi makanan mestilah RM680 dan pengangkutan pula bernilai RM400 menjadikan jumlah bagi ketiga-tiga item ini sahaja ialah RM1640.

Oleh sebab itulah, saya merasakan takrif kemiskinan ini harus dikaji dan dibuat semula sesuai dengan perspektif Islam. Takrif dan nilai bagi setiap item bagi membuat pengiraan PGK yang digunapakai pada hari ini jelas sekali tidak lagi munasabah kerana tidak menepati keadaan sebenar kemiskinan yang ditanggung rakyat.

Sebagai contoh, mengikut PGK pada 2013 iaitu RM720 bagi miskin dan RM430 bagi miskin tegar, kadar kemiskinan di Selangor adalah 0.7% dan kadar kemiskinan tegar adalah 0.1% sahaja. Tetapi selepas ditakrifkan semula oleh Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kepada paras RM1,500, rakyat Selangor berkategori miskin ialah 30%. Angka ini dilihat lebih tepat dengan hakikat sebenar.

Takrif menurut Islam termasuklah membezakan di antara miskin dan fakir sewajarnya dijadikan panduan. Bagi menentukan PGK pula, lima item keperluan asas wajib diperkirakan iaitu makanan, kediaman, pakaian, pengangkutan dan pendidikan.

Selain itu, punca kemiskinan seperti amalan ekonomi liberal kapitalis dan monopoli yang menyuburkan jurang antara golongan kaya dan miskin; penyusutan nilai mata wang Ringgit yang dipunyai oleh golongan miskin samada akibat perubahan pada kadar pertukaran mata wang asing atau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan; dan pinjaman riba’ mestilah diberikan perhatian dan diberikan penyelesaian berpandukan Islam.

Suka juga untuk saya tegaskan ialah kelemahan utama konseptual kemiskinan konvensional ialah ialah ia menafikan hak ketuhanan sebagai salah satu komponen penting untuk mengurus fenomena kemiskinan yang berlaku dan tidak melibatkan golongan kaya sebagai satu golongan yang turut bertanggungjawab menyelesaikannya.

Jika ada sekalipun ialah konsep ‘corporate social resposibility’ (CSR) dan ‘kebajikan’ (endowment) yang baru diperkenalkan kerana ia tidak pernah wujud dalam fahaman ideologi kapitalis atau sosialis dan lain-lain sebelum daripada ini. Islam lebih awal dan lama mengemukakan penyelesaian terhadap masalah kemiskinan ini antaranya dengan pengsyariatan zakat dan pengharaman riba serta larangan monopoli dan pencatutan. – HARAKAHDAILY 16/6/2015

Share on Myspace