Perutusan Ramadhan Al-Mubarak 1436H

, | .

بسم الله الرحمن الرحيم

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدىً لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan tentang petunjuk serta membezakan antara yang benar dan yang salah. (Al-Baqarah: 185)

Kedatangan Ramadhan setiap tahun adalah untuk membersihkan rohani manusia supaya menjadi manusia yang taat dan tidak lupa kepada Allah. Bila kita sentiasa mengingati Allah dan taat kepada segala perintahnya maka sudah tentu kita akan merancang hari-hari hadapan dengan memenuhi segala perintah Allah. Ramadhan merupakan bulan yang paling istimewa kepada sekalian umat Islam di seluruh dunia. Sebagaimana disebutkan di dalam Al-Quran, Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran. Ramadhan juga dipilih oleh Allah SWT sebagai bulan terjadinya peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah kebangkitan Islam, seperti Perang Badar dan Fathu Makkah. Selain itu, keutamaan Ramadhan yang sangat penting kepada kita ialah kewajipan berpuasa dan tuntutan untuk merebut kelebihan Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Al-Quran yang menjadi sumber perundangan kita yang diturunkan pada bulan Ramadhan mesti diutamakan dan sentiasa dibaca setiap hari. Antara sifat Al-Quran ialah hudan linnas atau memberi petunjuk kepada manusia, maka kita kena merujuk dalam apa jua perkara yang kita lakukan kepada tuntutan Al-Quran ini. Kita mesti membina akidah yang sejahtera dan kuat dalam menghadapi cabaran Ghazwatul fikri yang dahsyat pada hari ini. Peningkatan amal ibadah juga mesti di jadikan agenda penting dengan menjaga roh puasa agar tidak sia-sia amalan yang dilakukan sepanjang kita berpuasa. Sabda Rasulullah SAW:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ

Yang bermaksud : Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar sahaja.
(Riwayat Ibnu Majah)

Ramadhan juga adalah bulan tarbiyah, jihad, penghayatan Al-Quran dan bina tautan ukhuwwah. Justeru, untuk memastikan segala tuntutan Ramadhan tersebut dipenuhi, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan kepada kita semua untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin. Perbanyakkanlah bersedekah, berkebajikan untuk mereka yang memerlukan, insya-Allah akan diperluaskan lagi rezeki kepada kita kerana setiap sumbangan yang diberikan tidak akan berkurangan bahkan sentiasa bertambah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

Maksudnya : Tidak akan berkurang sedikitpun setiap sedekah yang dikeluarkan daripada harta. (Riwayat Muslim)

Dalam menelusuri perjalanan ibadah di sepanjang Bulan Ramadhan nanti, suatu perkara yang tidak harus kita lupakan ialah penghayatan ibadah puasa sebagai suatu konsep pengabdian yang menyeluruh kepada Allah. Untuk mencapai maksud tersebut, ibadah puasa tidak sewajarnya dilihat daripada sudut luaran sahaja, iaitu sekadar menahan diri daripada makan dan minum, bersahur sera berterawih. Sebaliknya penghayatan Ramadhan mesti diolah lebih daripada itu dengan turut menghayati penderitaan saudara kita yang lain serta membantu kesusahan yang dialami oleh mereka seumpama saudara kita di Rohingya yang dizalimi, umat Islam di yaman, di Syiria yang diperangi termasuklah penderitaan di Palestin yang tidak berkesudahan. Wajib kita membantu mereka dengan keupayaan yang kita ada dan khususnya di bulan Ramadhan ini, maka sumbangan kita terhadap mereka hendaklah juga dipertingkatkan.

Semoga Ramadhan 1436H memberi kelapangan dan kemenangan kepada seluruh umat Islam khususnya kepada rakyat di negeri Kelantan ini dalam membangunkan agenda Islam dan kebajikan. Saya berdoa agar Allah memberkati kerajaan negeri dalam mendasari Merakyatkan Membangun Bersama Islam sehingga Kelantan Darulnaim lahir sebagai Baldah Toyyibah dan Allah SWT merahmati serta mengampuni sekalian penduduknya.

“SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK BAGI TAHUN 1436 HIJRIYAH”

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim
28 Syaaban 1436H/15 Jun 2015M

Share on Myspace