Tol: Kerajaan aniaya rakyat

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. Ura-ura kenaikan kadar tol pada tahun 2015 bagi 16 hingga 20 lebuhraya bukanlah suatu yang baru. Awal Mei lalu, portal Free Malaysia Today telah mendedahkan suatu laporan menyatakan bahawa 19 syarikat konsesi lebuhraya akan menaikkan kadar tol antara 50% hingga 100% pada Ogos ini. Sehari kemudian, laporan ini dinafikan oleh Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh dengan mengatakan bahawa kadar tol di semua lebuhraya masih kekal pada kadar semasa.

2. Sejak Jumaat, 12 Jun lalu pula tersebar laporan di media sosial menyatakan bahawa kadar tol bagi 16 hingga 19 lebuhraya akan dinaikkan sebanyak 30%. YAB Perdana Menteri dalam pada menyatakan kekesalan beliau terhadap anggota Kabinet yang membocorkan maklumat berhubung isu kenaikan kadar tol, beliau bererti tidak menafikan tentang kenaikan itu, cumanya ia belum dimuktamadkan.

3. Hakikat yang pasti ialah sebahagian duit rakyat tetap akan digunakan untuk memberikan keuntungan kepada syarikat konsesi lebuhraya; samada dibayar oleh rakyat secara langsung di kaunter-kaunter tol ditambah lagi dengan kenaikan kadar atau dibayar oleh Kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi lebuhraya melalui bayaran pampasan atau ganti rugi.

4. Berikutan negara berhadapan dengan masalah hutang yang bertambah, pendapatan yang berkurang, nilai Ringgit yang jatuh ditambah pula dengan pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang pincang, saya berpandangan tidak mustahil Kerajaan sekali lagi akan memindahkan beban ini kepada rakyat melalui kenaikan kadar tol seperti yang diuar-uarkan.

5. Ini kerana, pada tahun lalu sahaja Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM458 juta sebagai pampasan kepada 20 syarikat konsesi kerana tidak menaikkan kadar tol ditambah pula kenaikan kadar tol bagi tahun 2015 adalah dibenarkan mengikut perjanjian yang telah ditermeterai. Kenyataan saya berkenaan isu ini telah saya keluarkan sebelum ini dan boleh dirujuk di : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/tol-sudah-wajar-dihapuskan-1.249470.

6. Samada berlaku kenaikan kadar tol atau tidak bagi tahun 2015, keadaan sedia ada dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga minyak yang sekaligus memberi kesan berantai kepada kenaikan pelbagai barangan dan perkhidmatan pasti sekali akan menambah beban kewangan rakyat.

7. Kenaikan kadar tol pula jika tetap dibuat – berikutan perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini – adalah amat tidak wajar dan membelakangkan kepentingan rakyat.

8. Peningkatan jumlah kenderaan yang pesat dan ketara saban tahun di negara ini tidak memungkinkan jumlah pengguna lebuhraya bertol merosot sekaligus merugikan pemegang konsesi. Syarikat konsesi lebuhraya juga tidak menerima kesan ketara oleh faktor-faktor lain seperti kenaikan kadar elektrik dan harga bahan api, turun naik mata wang dan lain-lain seperti apa yang dialami oleh industri-industri lain terutamanya dalam sektor pembuatan.

9. Keadaan ini menjadikannya sentiasa untung atau mengalami kerugian sifar. Lebuhraya Utara Selatan pula sebagai contoh telah mengumpul kutipan tol berjumlah RM23.5 bilion ditambah RM735.2 juta pampasan daripada Kerajaan sedangkan kos pembinaannya hanya mencecah RM6 bilion.

10. Oleh itu saya menggesa dan mendesak Kerajaan supaya:

(i) Segera memuktamadkan bahawa tiada kenaikan kadar tol bagi tahun 2015.

(ii) Menurunkan kadar tol di semua lebuhraya utama di Malaysia khususnya di lebuhraya yang digunakan oleh pengguna untuk berulang-alik dari tempat kediaman ke tempat kerja pada setiap hari bekerja.

(iii) Menyemak semula dan mendedahkan butiran perjanjian dengan konsesi lebuhraya serta mengemukakan perancangan pengambilalihan konsesi lebuhraya ke arah tol sifar bagi semua lebuhraya dapat direalisasikan.

11. Pembinaan jajaran lebuhraya yang dapat memendekkan jarak dan mengsingkatkan masa perjalanan dengan jaminan keselamatan dan penyediaan pelbagai perkhidmatan untuk memudahkan serta keselesaan para pengguna adalah tanggungjawab Kerajaan dan sesuai dengan saranan al-Quran berikut:

Maksudnya : "Dan Kami jadikan antara mereka (Yaman) dan negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya (Syam), beberapa negeri yang muncul dan Kami singkatkan antara negeri negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam hari dan siang hari dengan dengan aman." (Surah Saba’ 34:18)

12. Tetapi, mengenakan tol pada kadar yang tinggi, kenaikan pada kadar yang tidak berpatutan dan selama tempoh yang sangat panjang adalah tindakan yang sangat menganiaya rakyat dan bercanggah dengan tuntutan Islam.

Sekian.

Tarikh: 16 Jun 2015 / 29 Syaaban 1436H

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat juga AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Share on Myspace