Ramadhan bulan jihad

DR RIDUAN MOHAMMAD NOR | .

PEPERANGAN Badar yang digelar oleh Allah SWT sebagai 'Yaum al-Furqan (hari perbezaan antara haq dan batil) adalah peperangan pertama dalam Islam. Ia menjadi mercu tanda kepada pertembungan antara iman dan kufur yang menyaksikan pengorbanan Nabi SAW dan para sahabat dalam memperkasakan agama Allah. Peristiwa ini telah berlaku pada 17 Ramadhan, hari Jumaat tahun 2H, tahun pertama disyariatkan ibadah puasa Ramadhan.

Pada asalnya, peristiwa ini adalah gerakan memintas rombongan dagang Abu Sufyan bin Harb yang balik berniaga dari negeri Syam dengan barangan bernilai 50,000 dinar emas yang dibawa oleh 1,000 unta dan dikawal oleh 40 pengawal. Gerakan ini dilakukan untuk mengajar Musyrikin Makkah setelah mereka angkuh merampas harta benda sahabat yang berhijrah ke Madinah seperti Shuhaib al- Rumi, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain.

Nabi Muhammad SAW sendiri memimpin tentera Islam seramai 313 orang beserta dua ekor kuda perang dan 70 ekor unta. Sahabat-sahabat bergilir-bergilir menunggang unta termasuk Nabi sendiri begilir dengan Saidina Ali KWJ.

Sebelum berangkat, Nabi Muhammad SAW telah melantik seorang sahabat yang buta iaitu Abdullah bin Ummi Makthum menjadi imam solat mengantikan tempat Baginda. Beliau antara muqri (pengajar al-Qur'an) awal diutuskan ke Madinah selain daripada Mus'ab bin Umair.

Berita pergerakan tentera Islam telah dihidu oleh rombongan Abu Sufyan, lantas dia mengupah seorang Badwi untuk bersegera memberitahu pemimpin Makkah agar menghulurkan bantuan segera sebaik sahaja mendengar khabar itu, Abu Jahal diterjah api kemarahan lalu mempersiapkan tentera Musyrikin seramai 1,000 orang yang mana perbelanjaannya dibiayai oleh tokoh-tokoh korporat Makkah.

Dalam masa yang sama Abu Sufyan berjaya mencari jalan keluar daripada dipintas oleh Nabi SAW. Baginda mendapat maklumat bahawa tentera Musyrikin telah mara dan perkembangan ini tidak boleh dibiarkan kerana jika orang Islam berundur untuk mengelak perang, sudah tentu akan menjatuhkan integriti Islam dan dijadikan modal oleh Abu Jahal untuk menjaja kehebatan Musyrikin.

Nabi Muhammad SAW segera bermesyuarat dengan para sahabt bagi mendengar pandangan mereka sama ada untuk berperang atau berundur ke Madinah. Akhirnya Baginda mendapat jaminan komitmen yang jitu daripada pemimpi  Ansar, Saad bin Muaz.

"Demi sesungguhnya kami beriman kepadamu, kami bersaksi bahawa apa-apa yang kamu datangkan kepada kami benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan. Kami bersedia mendengar dan taat kepadamu. Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki."

Dengan ikrar para sahabat, Baginda telah menyusun strategi perang. Baginda telah membentuk dua pasukan pengintip yang ditugaskan untuk mencari maklumat logistik musuh. Antara yang terlibat ialah Ali, Sa'ad bin Abi Waqqas dan al-Zubair bin al- Awwam. Strategi lain, Nabi SAW telah menguasai mata air yang paling hampir dengan musuh dan semua mata air lain dimusnahkan bagi mengelakan musuh mendapat bekalan air.

Sahabat-sahabat turut membina tempat perlindungan untuk Nabi SAW dengan cadangan Saad bin Muaz, seorang pemimpin dalam kalangan kaum Ansar.

Pada malam peperangan itu, Allah telah menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada tentera Islam agar mereka dapat berehat bagi meneruskan pertempuran pada esok hari. Firman Allah:

Maksudnya, "(Ingatlah ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu pemberian (aman) dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu) dan (ingatlah ketika itu) ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu ganguan syaitan, dan juga menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perang).” - (Surah Al-Anfaal: ayat 11)

Menjelang berlaku peperangan, Nabi Muhammad SAW telah menadah tangan bermunajaat kepada Allah agar  tentera Islam diberi pertolongan. – HARAKAHDAILY 16/6/2015

- Penulis adalah AJK PAS Pusat dan aktivis kemanusiaan tanpa sempadan.

Share on Myspace