PR: Hanya kerjasama atau gabungan dasar dan prinsip?

HUZIR SULAIMAN | .

DS Wan Azizah mengakui bahawa PR adalah Tahaluf Siyasi (Kerjasama Politik). Kerjasama Politik hanya wujud selepas persefahaman (MOU - 'Memorandum Of Understanding') dimeterai antara tiga parti komponen PR. Kerjasama dalam isu yang disepakati sahaja seperti isu Ketirisan Kewangan Negara, isu Rasuah, isu Keselamatan/Kesihatan, isu Ekonomi/Pelaburan dan lain-lain yang tidak bercanggah dengan Dasar serta Prinsip parti komponen yang terlibat.

PR bukanlah penyatuan atau gabungan dasar serta prinsip setiap parti komponen. Ini tidak berlaku diperingkat awal penubuhan PR. Sesuatu yang mustahil buat setiap parti komponen untuk mengubah atau mengorbankan dasar serta prinsip masing-masing yang menjadi teras atau asas kewujudan mereka.

Disebabkan inilah, saya menentang kenyataan pihak tertentu bahawa PAS telah mencabuli persefahaman (MOU) itu apabila melibatkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II 1993 serta perbahasan Rang Undang-undang (RUU) persendirian Hudud Kelantan di Parlimen kerana kedua-duanya ada kaitannya secara langsung dengan dasar serta prinsip PAS. Lebih-lebih lagi butiran mengenainya  telah pun dibentangkan kepada Majlis Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 yang lalu.   

Dasar serta prinsip PAS bukanlah sesuatu yang dipandang ringan oleh Ahli serta Pemimpin PAS. Ia berkait secara langsung dengan garis sempadan yang sudah digariskan Majlis Syura Ulamak ketika menjalinkan Kerjasama Politik (Tahaluf Siyasi) dengan parti komponen PR yang lain. Merentasi garis sempadan Tahaluf Siyasi itu bermakna terbatallah Kerjasama Politik itu.

Oleh sebab itulah, ahli serta pemimpin PAS akan bermati-matian untuk tidak merentasi garis sempadan Tahaluf Siyasi itu kerana sayangkan PR. Kerana sayangkan PR lah, kita sangat-sangat tidak suka apabila adanya segelintir ahli serta pemimpin PAS yang mengambil jalan mudah untuk merentasi/mencabuli garis sempadan itu.

Mungkinkah tindakan perwakilan PAS di muktamar baru-baru ini yang merubah majoriti barisan kepimpinan PAS Pusat yang lalu ada hubungkaitnya dengan sikap mereka untuk mempertahankan Kerjasama politik itu dalam kerangka Tahaluf Siyasi yang digariskan parti? Saya melihat itulah sebab utamanya.

Parti komponen PR juga perlu memahami dan menghormati bahawa perlaksanaan syariah buat ahli serta pemimpin PAS ada hubungkaitnya dengan akidah serta displin ahlinya. Menafikan hak itu bermakna akidah serta displin mereka sebagai ahli PAS serta umat Islam bakal dipersoalkan nanti.

PR tidak boleh ada dasar serta prinsipnya sendiri, PR boleh ada polisi bersama yang dirangka dari persefahaman (MOU) tadi. Yang pasti, polisi yang tidak bercanggah dengan dasar serta prinsip setiap parti komponen PR yang bersetuju untuk bekerjasama di atas titik persamaan yang saya sebutkan tadi.

Saya bersetuju dengan Azmin, “PR masih boleh diselamatkan jika semua parti komponen PR menghormati Dasar serta Prinsip parti komponen masing-masing.”

Seperti kata Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, "Kita menghormati dasar parti lain. Cuma saya nak tanya DAP, Susah sangatkah buat anda untuk menghormati Dasar PAS?" – HARAKAHDAILY 18/6/2015

Share on Myspace