Ramadan dan pembukaan kota Makkah

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

PERISTIWA Fath Makkah adalah satu sejarah besar umat Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan tahun 8H. Peristiwa ini telah membuka mata kuasa besar seperti Rom bahawa telah muncul satu kuasa baru di Semenanjung Tanah Arab. Ini terbukti apabila selepas Fath Makkah berlaku peperangan terhadap Rom dalam perang Mu'tah (tahun 8H) dan perang Tabuk (tahun 9H)

Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Bhuti menerangkan bahawa Fath Makkah berlaku apabila Musyrikin Makkah melangar perjanjian Hudaibiyah yang telah dimeterai dalam tahun 6H diantara Suhil bin Amru mewakili Musyrikin Makkah dan Nabi SAW mewakili kerajaan Islam Madinah.

Perjanjian ini mengesahkan bahawa mana-mana kabilah boleh bersekutu sama ada dengan kerajaan Islam Madinah atau kerajaan Makkah. Dua kabilah iaitu Bani Khuzaah telah memilih untuk bersekutu dengan kerajaan Madinah dan Banu Bakar bersekutu dengan kafir Makkah.

Pada tahun 8H, Banu Bakar telah menyerang Bani Khuzaah dengan mendapat sokongan daripada pihak Makkah. 20 orang Bani Khuzaah telah terbunuh. 40 orang daripada Bani Khuzaah telah menemui Nabi SAW di Madinah untuk melaporkan apa yang berlaku kepada mereka. Nabi SAW melihat ini kesempatan yang baik untuk mengajar sikap angkuh Musyrikin Makkah.

Baginda mengatur persiapan perang dengan sahabat-sahabat bersemangat tinggi lantaran menyedari bahawa janji kemenangan Allah seakan makin tiba dan mereka baru sahaja memenangi perang Khaibar pada tahun 7H menewaskan tentera Yahudi dan pada tahun  itu juga, dua tokoh Musyrikin Makkah iaitu Khalid bin Al-Walid dan 'Amru bin Al-'As telah beriman dengan kebenaran Islam. Firman Allah Taala:

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata." (Surah al-Fath: Ayat 1)

Setelah segala persiapan telah dilakukan, Nabi SAW bersama-sama 10,000 orang sahabat menuju ke Makkah dengan diam. Pada peringkat awalnya, kehadiran mereka ke Makkah tidak berjaya dihidu oleh kafir Makkah, tetapi mereka menjangkakan serangan kerana usaha perundingan Abu Sufyan tidak berjaya mengendurkan cita-cita orang Islam. pada malam sebelum Fath Makkah, Nabi SAW memerintahkan sahabat  menyalakan obor api yang banyak ditapak perkhemahan orang Islam dan taktik ini berjaya dan menakutkan Musyrikin Makkah.

Peristiwa ini telah menyebabkan Abu Sufyan yang selama ini memainkan peranan utama mengarak panji penentangan terhadap Islam telah memeluk Islam. Pengislaman ini menyebabkan penyertaan berbondong-bondong pengikutnya ke dalam Islam dan peristiwa ini dirakamkan oleh Allah SWT didalam al-Qur'an FirmanNya:

Maksudnya: Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai  Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah secara berbondong-bondong."  (Surah Al-Nasr: Ayat 1-2)

Nabi SAW telah mengeluarkan arahan kepada tentera Islam supaya jangan menumpahkan darah kecuali jika mereka diperangi dan 6 orang lelaki dan 4 orang wanita diperintahkan dibunuh jika ditemui mereka ini.

Baginda menuju ke arah Ka'bah dan dengan menggunakan kayu, Baginda menghancurkan berhala-berhala sembahan Musyrikin Makkah al-Lata , al-Hubbal, al-Manat dan al-Uzza tersembam menyembah bumi. Maka berakhirnya penyaksian bumi Makkah kepada segala kebejatan akhlak dan pusat memerangi Islam.

Nabi SAW akhirnya memanggil Uthman bin Talhah untuk diberi amanah memegang kunci Ka'bah dan memerintahkan Sayyiduna Bilal bin Rabah naik kebumbung Ka'bah untuk melaungkan azan membesar Allah. Peristiwa ini cukup meruntun perasaan orang Makkah yang pernah mengenali siapa Bilal, yang suatu masa dahulu diperlakukan seperti binatang oleh mereka untuk mencabut akidah Islam daripada Bilal dengan diketuai oleh tuannya, 'Umayyah bin Khalaf. Akhirnya Bilal dibeli oleh Abu Bakar RA dan dimerdekakan.

Pada hari itu Nabi SAW telah membaca kepada khalayak yang hadir akan firman Allah:

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kami jadikan kamu berasal dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudia kami jadikan beberapa keturunan dan puak-puak supaya kamu saling berkenalan, sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: Ayat 13)      
                                      
Selepas daripada itu maka berbondong-bondonglah orang Makkah turut serta untuk berbai'ah kepada Nabi SAW, berjanji untuk taat setia hanya kepada Allah dan Rasul-Nya. – HARAKAHDAILY 19/6/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat

Share on Myspace