Apabila DAP mahu PR hanya ada satu dasar

HUZIR SULAIMAN | .

SEPERTI yang saya katakan dalam tulisan saya sebelum ini di Harakahdaily (Kesatuan Fikrah - PR: Hanya Kerjasama atau Gabungan Dasar dan Prinsip?). Survival PR bergantung kepada rasa hormat setiap parti komponen PR kepada dasar dan prinsip parti masing-masing yang berbeza.

PR tidak boleh wujud dengan gabungan dasar atau satu dasar yang mewakili ketiga-tiga parti komponen PR kerana tindakan ini bercanggah dengan asas kewujudan setiap parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

PR tidak boleh memacu setiap parti komponen tetapi setiap parti komponen boleh memacu PR melalui titik persamaan yang ada.

Walaupun parti komponen PR mengakui wujudnya 95% titik persamaan itu, kenapa DAP menggunakan perbezaan 5% itu untuk menghancurkan Pakatan Rakyat?.

Adakah ia disengajakan atau tidak disengajakan?

Mungkin kerana Dasar PasMa @ Parti Baru dilihat lebih mesra dengan Dasar DAP dan Dasar PKR (tidak Islam), maka besar kemungkinan satu dasar untuk memacu ketiga-tiga parti komponen dalam Pakatan baru itu akhirnya boleh juga diwujudkan.

Jika satu dasar itu berjaya dibentuk pakatan baru, maka sebuah parti besar yang dianggotai tiga  parti kecil (tanpa PAS) bakal ditubuhkan dengan harapan tiada lagi pertembungan dalam hal-hal yang berkaitan dengan syariah khususnya Hudud seperti yang berlaku dengan PAS sebelum ini.

Satu tindakan sedikit demi sedikit untuk mengekang perkembangan dakwah Islam yang dibawa PAS agaknya pada pandangan peribadi saya.

Satu konflik yang mungkin sengaja dibentuk untuk memenuhi matlamat di atas dan juga satu persiapan buat parti politik yang terlibat untuk menang dalam PRU yang ke-14.

Sebab itulah konflik ini dicipta sekian awalnya kerana tempoh tiga tahun tidaklah panjang.

Bagaimanakah agaknya sebuah negara yang dihuni majoriti umat Islam diperintah oleh mereka yang tiada dasar Islamnya.

Jika inilah wayang mereka, Umno/BN yang Islam bukan dasarnya akan diganti juga oleh 'Umno/BN Baru' yang juga tidak Islam dasarnya.

Kenapa pinggirkan dasar Islam sebagai penyelamat rakyat dan negara?

Kita tunggu dan lihat. – HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace