Katakan aku berpuasa

NASRUDIN HASSAN | .

1. Sahabat Seperjuanganku

Perjuangan kita untuk mendaulatkan Syariat Allah SWT di atas tanahair tercinta ini terlalu mencabar. Jalannya berliku dan sangat curam. Kita sering dipersenda dan dianggap asing di bumi sendiri. Mereka bangga melihat kita berduka dan mereka seronok menyaksikan kita bersedih.

2. Sahabatku

Kita tiada pilihan. Walau apa yang terpaksa kita hadapi, perjuangan ini mesti dipangku dan digalas berat bebannya sehingga berjaya dinobatkan sebagai sebuah syariat yang memandu hala tuju hidup ummah dan menjadi manhaj yang mendasari peraturan dan undang-undang mereka.

3. Sahabatku

Tidak mudah menghadapi situasi ini. Namun kita ditakdirkan hidup sebagai pejuang. Perjuangan ini adalah pilihan wajib kita. Samaada kita setuju atau tidak, kita terpaksa berjuang bagi menjulang kalimah Allah swt ke mercunya. Namun kita faham bahawa kita mempunyai kelemahan dari pelbagai sudut khasnya kelemahan spiritual.

4. Sahabatku

Marilah kita manafaatkan Ramadhan ini untuk membina kekuatan diri sama ada kekuatan fizikal mahupun spiritual dengan menghayati Ramadhan dan menekuni segala ibadah serta elakkan diri dari terjebak dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah apatah lagi perkara mungkar dan keji. Bebaskan diri dari hambatan dosa dan bayangannya.

Sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبه،

Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penghayatan, nescaya diampunkan dosanya yang terdahulu. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

5. Sahabat Seperjuanganku

Hari ini kita terdedah kepada dunia tanpa sempadan. Hilang sempadan dosa pahala dan tiada lagi sempadan moral akhlak. Facebook dan whatsapp group menjadi medan untuk menatah kalimah tanpa pedoman. Kasar, kesat, maki hamun, menghina, mempersenda, lucah dan segala bagai menjadi rutin yang mencemarkan media sosial tersebut. Jika kita berdepan dengan situasi ini, jangan izinkan diri terjebak. Sabar dan tahan diri.

Ingat sabda Nabi SAW:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ

Puasa adalah pelindung. Maka janganlah kamu mencarut dan melakukan perkara bodoh. Sekiranya diajak bergaduh, maka katalah: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa’ sebanyak dua kali. (Riwayat Imam Bukhari)

Ramadhan Kareem

Share on Myspace