Orang bermatlamatkan dunia akan gagal

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

BERSAMA AL-QURAN DI 4 RAMADHAN 1436H (JUZ 4)

Perbincangan pada hari 4 Ramadhan ini adalah sekitar huraian pada juz keempat dalam Al-Quran. Juz keempat mempunyai dua surah iaitu surah Aal-Imran yang bermula pada ayat 93 dan surah Al-Nisa' daripada awal surah sehingga ayat 23.

Secara umumnya juz ini memberi keutamaan kepada beberapa perkara utama iaitu betapa wajibnya umat Islam bersatu hati dalam memperkukuhkan kesatuan ummah.

Umat Islam juga mestilah melaksanakan amar makruf dan nahi munkar bagi membangunkan ummah yang sejahtera dan kuat. Allah membuat contoh kisah perang Badar dengan memberi anugerah kemenangan kepada mereka sekalipun golongan pejuang umat Islam bilangannya agak sedikit dan tidak mempunyai persenjataan yang sama seperti musuh.

Kemenangan tersebut disebabkan mereka mempunyai kekuatan iman dan tidak berpecah.

Allah juga menyuruh manusia bersegera memohon keampunan kepada-Nya kerana dengan maghfirah Allah sahaja manusia akan terselamat daripada hukuman akibat dosa dan noda. Allah pasti akan mengtamhiskan atau menyucikan segala karat jahiliyah dalam jiwa orang beriman.

Dalam kalangan mereka ada yang berkehendak kepada dunia dan di kalangan mereka yang sangat menagih kehidupan sejahtera di akhirat.

Orang yang bermatlamatkan dunia dalam apa jua tindakan akan gagal sebagaimana contoh yang Allah nyatakan dalam peristiwa perang Uhud.

Di akhir surah Aal-Imran, Allah menegaskan ganjaran mereka yang ikhlas berjuang di jalan Allah dan jika mati dalam perjuangan itu, mereka pasti memperolehi syahid. Orang syahid akan hidup di alam barzakh dengan pelbagai nikmat yang tiada diduga.

Mengakhiri juz keempat, dinyatakan beberapa hukum sekitar berbuat baik dan mengurus harta anak yatim termasuklah adil dan mesti mengikut syariat dalam urusan pembahagian harta pusaka. Syariat Islam secara terperinci telah menjelaskan kadar pembahagian yang tertentu kepada waris-waris si mati.

Setiap manusia tidak boleh melanggari hukum ini walaupun dirasakan kurang bersesuaian mengikut perkiraan ahli keluarga. Hukum Allah tidak boleh mengikut citarasa manusia akan tetapi berdasarkan kehendak dan keputusan Allah sahaja!

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim

Share on Myspace