Pejuang yang bertaqwa

NASRUDIN HASSAN | .

1. Sahabat Seperjuanganku

Ramadhan juga dimasyhurkan sebagai Bulan Taqwa. Justeru ayat tema Ramadhan juga berobjektifkan Taqwa.

Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi insan yang bertaqwa. (Surah Al Baqarah: 183)

2. Sahabatku

Pejuang yang bertaqwa akan dikurniakan kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan oleh Allah swt di dunia dan di akhirat.

إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا

Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa beroleh kemenangan (disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.) (Surah An Naba': 31)

قُل لَّا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (Surah Al Maaidah: 100)

3. Sahabatku

Kejayaan atau kemenangan ini adalah suatu yang amat didambakan oleh semua pejuang. Kuncinya adalah taqwa. Namun apa yang lebih penting dari itu ialah taqwa membawa kepada pengampunan dosa. Sayugianya para pejuang bebas dari hambatan dosa yang meresahkan jiwa dan menumpulkan minda.

Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah Al Anfaal: 29)

4. Sahabatku

Liku - liku perjuangan ini juga semakin sukar. Musuh tidak pernah leka untuk mengambil tindakan ke atas kita para pejuang agama Allah swt. Kita sangat memerlukan pengawasan dan pertolongan Allah swt. Maka sekali lagi taqwa akan menjadi jambatan penghubung untuk mendapatkan nusrah (pertolongan) dari Allah swt.

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.(Surah At Taubah: 36)

5. Sahabat Seperjuangaku

Bertaqwalah kita kepada Allah swt. Insyaallah, kita akan tenang, bertenaga dan yakin untuk mengenderai perjuangan sukar ini. Pejuang bertaqwa akan senantiasa diberi jalan keluar oleh Allah swt dari kemelut, polemik dan krisis yang berlaku.

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). (Surah At Thalaq: 2)

Ramadhan Kareem

Sekian.

Share on Myspace