Tentera Talut dengan ujian sungai

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

SEMALAM saya telah coretkan tentang golongan Maadiyyah dan Ghaibiyyah. Hari ini saya ingin panjangkan tentang kisah kumpulan Maadiyyah dan Ghaibiyyah di dalam tentera Talut. Mereka mempunyai matlamat yang sama, iaitu menentang tentera Jalut yang jahat dan zalim tetapi metodologi fikir mereka berbeza.

Di dalam surah al-Baqarah, ayat 249 menceritakan kisah ini dengan firmannya bermaksud:

"Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Kedua-dua kumpulan Maadiyyah dan Ghaibiyyah ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu menentang tentera Jalut yang zalim. Golongan Maadiyyah mengukur arahan 'jangan minum air' ini dengan 'cara untuk mencapai matlamat'. Secara faktanya, berperang memerlukan tenaga yang kuat. Tidak meminum air di panas terik boleh menyebabkan badan lemah, lesu dan tidak bermaya.

Jika ini berlaku, mereka tidak mampu menempuh peperangan yang besar dan berhadapan dengan tentera Jalut yang besar, kuat dan berpengalaman. Bagi mencapai matlamat kemenangan, maka arahan Allah supaya jangan minum air itu diabaikan.

Bukan kerana derhaka kepada perintah Allah, tetapi mencapai kemenangan itu adalah matlamat paling besar dan utama. Matlamat yang besar dan utama ini pada fikiran mereka membolehkan mereka mengabaikan perintah 'jangan minum air'. Dengan bahasa lain, matlamat menghalalkan cara, justeru matlamat dan cara diukur dengan neraca maadiyyah.

Dalam masa yagn sama, di sana terdapat segolongan yang beriman serta berilmu, mereka tetap menjunjung perintah Allah SWT untuk tidak meminum air melainkan semaksimum setapak tangan sahaja, bukan sampai puas. Mereka akur bahawa pada faktanya, jika tidak minum akan menyebabkan kelesuan dan lemah untuk mengharungi peperangan yang besar, tetapi perintah Allah SWT itu lebih penting dan besar.

Secara iman dan keyakinan, mereka tidak akan disia-siakan dengan kekalahan jika mereka menurut perintah Allah SWT sekalipun pada zahirnya jika menurut perintahnya, seolah-olah mereka akan kalah.

Tetapi mereka lebih percaya kepada yang ghaib yang dijanjikan oleh Allah SWT berbanding percaya dengan maadiyyah, iaitu fakta bahawa tidak minum air akan lemah seterusnya menyebabkan mereka akan kalah. Bagaimana mereka boleh menang? Itu kerja Allah, bukan kerja mereka. Kerja mereka merancang menurut batasan syarak. Mereka faham itu.

Akibat ujian ini, dariapda 80,000 bala tentera Talut, yang meminum air sungai seramai 74,000 dan yang menurut perintah Allah SWT hanya seramai 6,000 sahaja. Tak sampai 10% yang tinggal daripada keseluruhan tentera Bani Israel. Kehilangn lebih 90% tentera bukan kehendak Talut, bukan kehendak Nabi Syam'un dan bukan kehendak Nabi Daud (bersama-sama dalam tentera ini tetapi pada masa itu beliau belum diangkat menjadi rasul). Ini semua adalah ujian daripada Allah swt. Sebab itu ayat itu menyebut: “...Allah menguji dengan sungai...”

Golongan al-Ghaibiyyah yang sedikit tetapi yakin dan percaya kepada janji Allah meneruskan perjalanan untuk berjihad menentang Tentera Jabbaarin yagn dipimpin oleh Jalut. Dua kumpulan yang tidak seimbang, tentera Jalut mempunyai bilangan hampir 100,000 bala tentera (menurut sebahagian riwayat) ditentang oleh tentera Talut yang hanya berbaki 6,000 bala tentera.

Bukan setakat 6,000 bala tentera menentang hampir 100,000, tetapi tentera Talut tidak berpengalaman kerana mereka kebanyakan para petani dan tok lebai berbanding dengan tentera Jalut yang berpengalaman lama dan luas dalam bidang peperangan.

Maadiyyahnya (fakta, statistik, figur dan lain-lainnya) menunjukkan mustahil mereka boleh menang. Pun begitu, keyakinan kepada janji ghaib bahawa Allah bersama golongan yang benar dan sabar itu dipahat di dalam sanubari mereka.

Dalam keadaan maadiyyahnya tipis untuk mereka menang, tetapi dengan semangat dan keyakinan yang tinggi mereka melaungkan: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar."

Akhirnya, 6,000 golongan yang beriman ini diberikan kemenganan oleh Allah SWT bukan dengan fakta, angka dan statistik, tetapi kemengan ini adalah kemengan dengan izin Allah SWT, iaitu kemenangan dengan izin ini akan melangkaui statistik, fakta dan angka. Firman Allah SWT, bermaksud:

"Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah," (Al-Baqarah: 251).

Oleh sebab itu, kita yakin dan percaya kepada janji Allah bahawa izzah dan kekuatan Islam tidak bergantung kepada sokongan bukan Islam. Tetapi Allah yang memberikan izzah dan kekuatan kepada kita dengan akhirnya bukan Islam akan bersama-sama memberikan sokongan kepada kita.

Dua perkara yang berbeza. Firman Allah SWT bermaksud:

"(Orang munafik ialah) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya)." - (An-Nisa: 139)

Itulah perkara ghaib yang kita yakini. – HARAKAHDAILY 25/6/2015

Share on Myspace