Ramadhan: Allah disiplinkan kita dengan masa

NASRUDIN HASSAN | .

1. Sahabat Seperjuanganku

Ramadhan mendisiplinkan kita. Tepat waktu berbuka dan tepat waktu bersahur. Tidak boleh berbuka sebelum masuk waktu Maghrib dan tidak boleh bersahur selepas masuk waktu subuh. Ini contoh Allah SWT mendisiplinkan kita terhadap masa.

2. Sahabatku
Masa sangat penting dalam kehidupan seorang muslim bahkan seorang pejuang. Sedikit kita abaikan masa kita, maka kesan ruginya sangat besar. Sementara musuh pantas bergerak untuk menghalang perjuangan Islam yang kita dukung. Mereka tidak pernah leka. Allah telah tegaskan perkara ini.

Firman Allah swt: وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا
dan mereka (musuh) sentiasa memerangi kamu hinggalah mereka memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka mampu (melakukan yang demikian). (Surah al Baqarah: 217)

3. Sahabatku
Jangan suka bertangguh. Sudah banyak tugas dan kerja perjuangan yang longgokkan. Bila kita nak selesaikan? Makin banyak kita tangguh makin terbebanlah kita dengan tugas yang banyak. Sudahlah kerja Islam ini jauh lebih banyak dari masa yang ada. Kita pula berlebih kurang dengan masa. Berbual kosong di meja makan sampai berjam-jam lamanya, tidur pula mengalahkan bayi, akhirnya berapa masa untuk Islam? Berapa masa untuk ibadah? Agaknya berapa banyak masa yang kita bazirkan begitu sahaja?

4. Sahabatku
Sebahagian masyarakat kita leka diperdaya fatamorgana dunia yang penuh maksiat dan mungkar. Hanyut dibawa arus sekular dan ideologi ciptaan manusia. Apakah kita masih tega berpeluk tubuh? Bila kita nak bertindak? Bila kita nak aktif? Bila kita nak menyumbang? Bila kita nak berkorban?

Sabda Nabi s.a.w: اغْتَنِمْ خَمْساً قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ : قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سُقْمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شُغُلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Manfaatkanlah 5 masa sebelum datang 5 masa yang lain. Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu. Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu. Masa kaya kamu sebelum datang masa faqir kamu. Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu. Masa hidup kamu sebelum datang masa mati kamu. (Riwayat al Hakim dan Al Baihaqi)

5. Sahabat Seperjuanganku
Hayatilah ayat yang selalu kita baca apabila menutup majlis pertemuan kita. Ayat yang menegaskan betapa manusia dalam kerugian akibat mempersiakan masa kecuali mereka manafaatkan masa untuk beriman, beramal soleh, menegakkan yang haq dan bersabar mendepani cabaran.

Firman Allah swt: وَالْعَصْرِ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al-Asr: 1-3) - HARAKAHDAILY 26/6/2015

Share on Myspace