Amukan kami tidak di sini sahaja

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SAYA pernah menulis suatu artikel bagaimana pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau NGO berteraskan orang kurang upaya OKU diperguna oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan peribadi mereka. tidak lain tidak bukan, kepentingan peribadi tersebut adalah disebabkan peluang perolehan pendapatan yang tiada batas.

Selain apa yang diistilah “money hunter”, mereka juga dilihat menggunakan kedudukan pihak-pihak tertentu terutama dalam pengurusan sesuatu NGO berteraskan OKU untuk meraih sesuatu pendapatan. Apa yang dilakukan kumpulan ini bukan suatu kesalahan mutlak 7 Jun 2015 yang lalu.

Apa yang menjadi persoalan, sering terjadi kesempatan dalam NGO-NGO tersebut disalah guna hanya untuk kepentingan peribadi mengatasi kepentingan-kepentingan khusus kumpulan sasar NGO yang berkaitan, iaitu OKU. Hal inilah yang menjadikan warga OKU penglihatan mengadakan siri-siri demonstrasi sehinggalah ke Parlimen pada 17 Jun 2015 yang lalu.

Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia “MAB” yang telah ditubuhkan mulai 1951 telah dilihat tidak mampu menangani pelbagai isu yang didepani oleh golongan OKU penglihatan di Malaysia. Lebih malang lagi, MAB yang asalnya ditubuhkan oleh seorang bekas pegawai tentera British telah dilihat disalah guna oleh individu-individu tertentu mengatasi kepentingan OKU penglihatan itu sendiri.

Ketidakpuasan hati golongan OKU penglihatan terhadap MAB bukanlah suatu yang baru. Bahkan ia telah mulai berputik sejak tahun-tahun 90-an. Demonstrasi yang dimulai 18 Mac hanyalah satu menifestasi betapa kepincangan yang berlaku dalam MAB tidak boleh lagi dikompromi oleh OKU penglihatan.

Ketidakpedulian organisasi yang diterajui oleh mereka yang berpenglihatan terhadap suara OKU penglihatan tersebut mendorong untuk kami mengadakan demonstrasi seterusnya pada 18 Mei 2015 dengan jumlah penyertaan yang lebih ramai dan terbuka. Sikap kurang responsif dari pimpinan MAB yang dikuasai oleh mereka yang bukan OKU penglihatan ditambah pula ketidakyakinan mereka kepada keupayaan OKU penglihatan nyatanya menaikkan semangat OKU penglihatan untuk mengatur langkah lebih jauh.

Berikutan itulah satu kumpulan lebih kurang 80 orang OKU penglihatan dengan dua buah bas telah bertolak ke Parlimen pada 17 Jun 2015. Hasrat kami hanya satu iaitu bagi memastikan isu MAB secara khusus dan delema kehidupan OKU di Malaysia disampaikan kepada 222 orang Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Isu MAB dan isu OKU secara umumnya bukanlah isu parti-parti tertentu sahaja. Ia perlu dipertanggungjawabkan kepada seluruh pihak. Apatah lagi dari jumlah 222 orang Ahli-ahli Dewan Rakyat, kami tidak mempunyai seorang ahli dewan yang benar-benar fokus kepada isu OKU yang kian pelbagai dan kian kompleks.

Langkahan kami tidak terhenti di situ saja. Pada 18 Jun 2015, dengan komitmen dari pihak-pihak tertentu, satu pertemuan bersama YB Menteri KPWKM diatur di tingkat 38, Bangunan KPWKM di Putrajaya.

Pertemuan yang pada awalnya dijadualkan 30 minit berlangsung hamper tiga jam. Kesimpulan dari pertemuan tersebut, kami mengutarakan usul-usul berikut untuk diberi perhatian oleh pihak kerajaan:

1. Penyertaan OKU atau mereka yang berkepentingan seperti ibu bapa atau ahli keluarga dalam mana-mana NGO berkaitan OKU mestilah melebihi 50%. Selain 50% keahlian, ia mestilah juga merangkumi kepimpinan dan pengurusan atasan NGO berkaitan OKU.

Isu penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sebagaimana berlaku dalam Persatuan Bagi ORang Buta Malaysia (MAB) perlu dibendung agar tidak berulang.

2. Suatu Jawatankuasa penyiasatan bebas mesti diwujudkan bagi menyiasat dakwaan dan keterangan berkaitan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam MAB.

3. Elaun Pekerja Cacat (EPC):

i) Kenaikan dari RM350.00 kepada RM550.00.

ii. Had kelayakan pendapatan penerima EPC dari RM1,200 kepada RM3,000.

iii. Kaedah membaharui data penerima EPC yang perlu tidak membebankan dan menyusahkan penerima EPC.

4. Penubuhan sebuah unit/jawatankuasa/jabatan berkaitan OKU bagi menangani isu-isu OKU secara langsung dan sepenuh masa yang diletakkan terus di bawah YB Menteri.

5. Unit/jawatankausa/jabatan tersebut mestilah diketuai oleh seorang OKU atau mereka yang benar-benar memahami isu-isu yang didepani oleh OKU yang pelbagai katagori.

Apa yang pasti, suara OKU penglihatan khususnya dan OKU umumnya tidak akan terhenti di sini sahaja selagi keadaan konvensional berlarutan. Pembelaan OKU yang diasaskan kepada hak mesti dijelmakan bukan sekadar catatan di atas kertas.

Seluruh OKU penglihatan khususnya dan OKU umumnya harus menanam azam betapa tanpa penglibatan OKU dalam proses membuat keputusan di pelbagai peringkat dan kegagalan kita dalam proses politik hanya akan meminggirkan keperluan OKU yang sebenar. - HARAKAHDAILY 27/6/2015

Share on Myspace