Perjalanan kita masih jauh

NASRUDIN HASSAN | .

Perjuangan yang sedang kita kenderai ini sedang meluncur di lebuh raya utama menuju destinasi. Semua kita mesti fokus kepada pemanduan di posisi masing-masing untuk selamat sampai ke destinasi. Ambil lorong yang betul dengan disiplin pemanduan yang berhemah. Jangan sekali-kali memandu secara merbahaya. Sama ada bahaya kepada diri sendiri, mahu pun bahaya kepada orang lain.

Gunakan kelajuan yang munasabah, tidak perlu tergopoh gapah dan kelam kabut. Memandu dengan tahap ketenangan yang tinggi, optimis untuk tiba ke destinasi dan apa yang paling penting ialah fokus ke hadapan.

Cuaca mutaakhir ini tidak menentu. Hujan lebat di beberapa lokasi dan sesekali rerenyai sepanjang petang. Permukaan jalan menjadi licin terutama di selekoh dan kawasan menurun. Kawal kenderaan kita dengan tenang dan berhati-hati. Jangan panik dan gusar, cuaca ini akan pulih dan kembali normal. Tingkatkan tumpuan pemanduan dalam iklim sedemikian rupa. Maksimumkan penggunaan fungsi kenderaan dengan disiplin yang betul dan menepati piawaian pemanduan selamat dan berhemah.

Ramai orang dan banyak pihak terutama keluarga tersayang sedang menanti kita dengan penuh harapan dan doa agar kita tiba dengan selamat. Berkali-kali mereka hubungi kita untuk bertanya khabar keadaan kita setelah menyedari betapa kita terpaksa memandu dalam cuaca yang tidak menentu. Mereka menanti dengan harapan yang menggunung dan kerinduan yang mendendam. Terdapat juga sebahagian mereka yang mendesak supaya kita pandu selajunya agar segera sampai ke pangkuan mereka.

Kita faham kerinduan mereka, tetapi ingat semua bahawa kita sedang memandu dalam cuaca yang berisiko. Kita boleh lihat sesekali kemalangan kecil berlaku di lokasi tertentu. Jangan biarkan emosi mempengaruhi pemanduan kita. Tarik nafas, hembuskan perlahan-lahan dan ingat serta tawakkal kepada Allah swt lalu mohon kepadaNya agar dikurniakan kekuatan, ketenangan dan keselamatan kepada kita. Insyaallah, kita akan tiba dengan selamat tanpa perlu tergopoh gapah dan kita akan tiba jua pada masa yang betul dan sesuai tanpa lengah dan lalai di perjalanan.

Secara teknikalnya, saya adalah ketua agensi pemanduan delegasi kita. Saya sedang memantau kedudukan kita dengan perisian GPS terkini bagi memastikan perjalanan kita tidak tergendala. Beberapa arahan semasa akan dimaklumkan kepada semua dan aturan tindakan akan disusun sebaiknya.

Kita akan terus memandu di lebuh raya ini. Lihatlah cermin belakang sesekali untuk memastikan kedudukan kita selamat. Gunakan cermin sisi saat perlu terutama ketika memotong, kemudian fokus ke hadapan. Perjalanan kita masih jauh. Stamina perlu tinggi, emosi hendaklah dikawal sebaiknya. Saya berdoa dan harapnya semua kita berdoa agar kita berjaya mengenderai perjuangan ini dengan jayanya.

Tunggu saya di hentian berikut, kita akan retreat seketika untuk meredakan minda, menyusun strategi serta mengamati operasi terkini setelah mengambil kira beberapa cabaran dan halangan semasa hasil kajian pemetaan GPS, justeru kita mahu yang terbaik dalam perjalanan ini.

Namun ingat semua, paling pokok ialah jangan lupa doa naik dan memandu kenderaan kerana kita ada Allah swt yang memegang kuasa takdir dan pesan saya kepada semua yang menanti ketibaan kami agar turut beri semangat motivasi kepada kami serta doakan keselamatan kami.

"Istiqamah Hingga Kemenangan"

Share on Myspace