Progresif, inklusif, dan terbuka

HUZIR SULAIMAN | .

KESEMUA Ahli dan Pemimpin PAS adalah 'Progresif' kerana 'Progresif' pada maksudnya adalah sentiasa berkembang maju.

Selepas PAS berevolusi selama lebih 60 tahun, dari sebuah parti yang dianggotai 'single-religion', kini PAS dengan sikap 'inklusifnya', dianggotai pula oleh ahli-ahlinya yang 'multi-religion'. Dulu PAS tidak bertahaluf siasi, kini PAS sudah 'terbuka' untuk sedia bertahaluf siasi dengan kumpulan yang berada di luar parti walaupun berbeza dasar dan prinsipnya. Dari keahlian yang kecil semenjak PAS ditubuhkan, PAS hari ini sudah dianggotai hampir 1.1 juta ahlinya. Ahli yang merangkumi pelbagai latarbelakangnya tetapi memiliki fikrah yang sama.

PAS kini adalah sebuah parti 'multi-racial' dan 'multi-religion', berbeza dengan keadaannya puluhan tahun yang lalu.

Terimalah hakikat. Itulah PAS pada hari ini.

Tahukah anda bahawa PAS pada hari ini memperjuangkan isu Alam Sekitar, hak Orang Asal, golongan pekerja dan pengguna, fakir-miskin, hak asasi manusia, para petani dan peneroka, perpaduan antara kaum dan agama, pendidikan malah kebudayaan dan kesenian sekalipun?

Tidak terlintas dibenak fikiran kita bahawa PAS mampu melakukannya.

Apa sahaja yang dicapai PAS pada hari ini satu bukti jelas bahawa PAS sentiasa 'Progresif'. 'Progresif' dalam kerangka Syarak bukan merentasi garis sempadan Syarak. Sesuatu yang tidak mungkin dicapai jika PAS sebagai sebuah jemaah dan dipimpin oleh kepimpinan ulamaknya tidak bersikap 'inklusif' dan 'terbuka'.

'Progresif', 'Inklusif' dan 'Terbuka' bukanlah milik kekal sesiapa yang menuturnya. Ia milik mereka yang menyumbang ke arahnya. Dan ke semua Ahli dan Pemimpin PAS dari dahulu sehinggalah ke hari ini adalah 'Progresif', 'Inklusif' dan 'Terbuka' kerana berjaya untuk terus kekal istiqamah dalam sebuah bahtera yang sama tidak kira betapa besar ombak yang melanda. – HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace