Kekeliruan ketika hurai hadis jemaah Islam

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

SAYA perhati penuh teliti huraian Dr Asri terhadap soalan audien berkenaan maksud Jemah Islam (جماعة المسلمين) sebagaimana riwayat daripada Huzaifah R.A. Video ini saya lihat mempengaruhi minda pembaca yang tidak mempunyai asas memahami fiqh hadis dan hukum yang berkaitan. Sekalipun ada banyak komen yang saya rasa boleh dibuat, tetapi bagi menjimatkan pena supaya pembaca tidak jemu, saya nak fokuskan kepada dua poin sahaja.

POIN PERTAMA: Dalam ulasan Dr Asri, saya melihat kecelaruan tafsiran maksud perkataan (جماعة المسلمين) sehingga dilihat seolah-olah menidakfungsikan (Ihmal/dysfunctional) hadis tersebut apabila menafsirkannya dengan mengnekankan maksud jemaah itu merujuk kepada jemaah sahabat di zaman nabi SAW. Pendapat ini adalah pendapat yang tidak masyhur justeru ia dinukilkan oleh Imam Syatibi tanpa menyebut nama yang jelas siapakah yang berpendapat begitu.

Imam Tabari, Imam Syatibi dan lain-lain menukilkan ada pendapat yang menyatakan bahawa Jemaah itu bermaksud ‘hanya zaman sahabat dan bukan selainnya, tetapi itu bukan pendapat terpilih atau pendapat yang kuat justeru ia menukilkan dalam bentuk “ada kumpulan yang berkata”.

Imam Tabari selepas menukilkan pendapat yang pelbagai kemudiannya membuat kesimpulan:

“والصواب أن المراد من الخبر لزوم الجماعة الذين في طاعة من اجتمعوا على تأميره ، فمن نكث بيعته خرج عن الجماعة"

Maksudnya: Dan yang benar dikehendaki daripada maksud hadis ialah beriltizam dengan jemaah yang ditaati oleh kesepakatan ramai untuk mematuhi arahannya. Barangsiapa yang enggan memberikan baiahnya (sokongannya) maka ia telah terkeluar daripada jemaah. (Rujuk Al-Fathul Baari: 13/37).

Tarjih menggunakan perkataan الصواب (dan yang benar) menunjukkan pendapat yang dinukilkan oleh Dr Asri itu adalah pendapat yang lemah (atau boleh dikatakan salah). Berbeza dengan sesetengah khilaf yang mana pendapat yang pelbagai semuanya betul seperti isu had sapu rambut adakah sebahagian rambut atau keseluruhan rambut.

Maka khilaf ini digambarkan dengan والراجح (yang lebih kuat) bagi menggambarkan kedua-dua pendapat itu adalah betul. Tetapi dalam bab ini, pendapat yang ditarjihkan dengan والصواب (sebetulnya) menunjukkan pendapat itu salah dari perspektif Imam yang mentarjihkan.

Begitu juga Imam Syatibi di dalam kitab Al-Iktisam (2: 260-265) membuat kesimpulan setelah menukilkan pelbagai pendapat berkenaan tafsiran Jemaah Islam dengan menyebut:

وحاصله أن الجماعة راجعة إلى الاجتماع على الإمام الموافق لكتاب الله والسنة ، وذلك ظاهر في أن الاجتماع على غير سنة خارج عن الجماعة المذكورة في الأحاديث المذكورة

Maksudnya: “Kesimpulannya, maksud jemaah merujuk kepada kesatuan (orang ramai untuk mentaati) pemimpin yang selari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Yang demikian itu jelas bahawa kesepakatan berdasarkan selain sunnah adalah terkeluar daripada jemaah yang disebut di dalam hadis tersebut.”

Apabila Dr Asri menukilkan dan mengulas pendapat yang tidak masyhur dari kaca mata ulama muktabar berkenaan maksud sebenar Jemaah Islam tanpa menyebut dan mengulas pendapat yang muktabar seperti Imam Syatibi, Imam Tabari, Imam Ibn Hajar dan lain-lain, maka sikap ini amat mengelirukan orang ramai. Ia boleh mendorong kepada menidak fungsikan hadis tersebut di kalangan pembaca yang tiada asas ijtihad dan pemahaman syariat.

Untuk mengetahui sesuatu hukum berkaitan dengan jemaah tidak boleh hanya merujuk kepada satu hadis dan syarah lafaz sahaja. Untuk mengetahui hakikat hukum dan tuntutan syariat berkenaan dengan berjemaah mestilah dirujuk kepada nas-nas yang lain di dalam al-Quran dan Sunnah secara menyeluruh, justeru nas-naslah yang membentuk rukun-rukun jemaah seperti siapakah pemimpin dan syarat-syaratnya, siapakah pengikut dan syarat-syaratnya serta apakah agenda Islam yang hendak di bawa dan ditegakkan.

Ia seumpama wudhu, sebagaimana resam al-Quran dalam banyak perkara, ia tidak menyebut istilah Wudhu tetapi hanya menyebut rukun-rukun kepada wudhu’ di dalam firmannya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Setiap rukun ini pula dinyatakan had dan sebagainya di dalam hadis yang pelbagai. Ayat ini tidak menyebut dengan jelas kita wajib berwuduk, tetapi datang arahan supaya kita basuh muka, tangan, sapu kepala dan basuh kaki.

Maka himpunan kewajipan basuhan dan sapuan ini membentuk rukun wuduk menurut syariat. Sebab itu, apabila kita bercakap tentang hukum wuduk, kita tidak boleh mengulas apa yang perlu kita buat berdasarkan pemahaman bahasa arab yang wuduk boleh bermaksud sapu dada sahaja.

Maka untuk memahami apa tanggungjawab kita sebagai seorang muslim bukan hanya menafsirkan lafaz جماعة المسلمين, bahkan kita perlu merujuk kepada ayat-ayat Quran dan Hadis yang mewajibkan kita taat kepada pemimpin, cirri-ciri pemimpin yang wajib kita taat, bila kita boleh gulingkan dan sebagainya.

Dari situ datangnya penafsiran Jemaah Islam dari perspektif fiqh dan syarak, iaitu dengan merujuk rukun-rukun jemaah seperti ketua (imam), pengikut (jundi) dan agenda kepada serta cara pergerakannya yang dikenali sebagai siasah syariyyah seperti tahaluf siasi, penegasan dakwah dan seumpamanya.

Setiap rukun ada perbahasan Fiqh seperti bilakah boleh bantah ketua, bila kena sabar sekalipun tidak bersetuju, bila wajib gulingkan ketua dan sebagainya. Hukum jemaah yang terdiri daripada rukun-rukunnya bukan ilmu yang sempit, bahkan apabila kita pergi kepada isu siasah syariyyah menurut sunnah nabawiyyah maka perbahasannya jauh lebih luas berbanding hukum berkaitan puasa atau wudhuk. Kalau hukum puasa kita perlu merujuk ulama, bagaimana pula dengan hukum hakam siasah dan jemaah yang lebih luas daripada hukum puasa itu sendiri.

Dr Asri juga dilihat menyempitkan penafsiran jemaah (dengan merujuk di zaman sahabat dan khalifah) hanya berhujah dengan dua alasan; iaitu (1) kewujudan banyak kumpulan yang mendakwa Islam sebagaimana pada minit 1:18 sehingga minit 2:10 dan (2) takut diheret hadis-hadis ancaman pada minit 2:11 sehingga minit 2:23. Saya tak pasti imam mana dan mazhab usul mana yang mengguna pakai dua hujah ini sebagai pentarjihan atau penafsiran sesuatu hadis.

Yang saya tahu, maksud hadis dirujuk kepada nas al-Quran dan as-Sunnah yang lain sebagai penafsir, bukan realiti sekarang dan bukan akal. Realiti dilihat untuk perlaksanaan bagi mengetahui syarat-syaratnya sudah cukup atau belum, tetapi ia bukan penafsir kepada nas Quran mahupun Hadis.

Jika ada hadis ancaman, maka para fukaha akan lebih halusi kerana dibimbangi terkena ancaman oleh hadis. Tambahan pula menyebut hadis tentang keluar jemaah boleh dibunuh pada minit 2:23 adalah terjemahan hadis yang sangat ekstrim justeru hadis-hadis yang berkaitan tidak memaksudkan demikian pada hakikatnya.

POIN KEDUA: Apabila beliau menafsirkan Jemaah Islam dengan menyebut bilangan mufrad (singular / tunggal) apabila berkata pada minit ke 3:49: “Jamaatul Muslimin dia singular, satu jemaah sahaja, jemaah kaum muslimin”.

Dalam kaedah bahasa arab, Idhofah (perkataan sandaran) dalam keadaan kata namanya bukan Isim Alam, maka mufradnya tidak menunjukkan bilangan. Maka perkataan جماعة المسلمين tidak menunjukkan bilangan satu jemaah atau banyak, juga tidak menunjukkan Jemaah Daripada Kaum Muslim justeru perkataan من yang dihazafkan (dibuang) pada Mudhof bukan huruf jar dengan maksud sebahagian (من للتبعيض) tetapi mustatir (kata sendi tersembunyi) pada Idhofah Bayaniyyah.

Dengan maksud, Idhofah perkataan “Jemaah” kepada “muslimin” menunjukkan jemaah itu adalah jemaah Islam menurut syariat, justeru jemaah juga boleh diberikan kepada kumpulan musafir, kumpulan bola, kumpulan nasyid semuanya boleh dipanggil Jemaah dari segi bahasanya.

Jadi, Idhofah (sandar perkataan Jemaah kepada Muslimin) ini memberikan maksud jemaah khusus kerana Muslimin itu menerangkan maksud dan sifat jemaah. Jadi penafsirannya, perlu kepada hujah Al-Quran dan Hadis, bukan akal dan realiti.

Sebagai contoh mudah difahami dalam bahasa melayu kita, apabila seseorang berkata: “kereta orang Malaysia kebanyakannya bercermin gelap.” Idhofah (sandaran) lafaz “Kereta” kepada “orang Malaysia” sekalipun dengan lafaz mufrad (bukan kereta-kereta), ia tidak memaksudkan satu atau banyak kereta.

Tetapi Idhofah itu lebih menggambarkan dan fokus kepada poin kereta yang dipunyai oleh orang Malaysia, bukan fokus kepada bilangan kereta. Ini seni bahasa arab dalam memahami maksud Idhofah.
Habis? Kata-kata Imam Hassan Al-Banna dan pandangan Ikhwan salah ke?

Jawapan saya adalah TIDAK. Apa yang dinukilkan oleh Dr Asri daripada Imam Hassan Al Banna dan Ikhwanul Muslimin (IM) perlu dihalusi. Ketika pemimpin-pemimpin IM menyatakan demikian, konteksnya bukan menyatakan maksud hadis.

Konteks Ikhwan Al-Muslimun (Imam Hassan Al-Banna) sebagaimana yang saya faham daripada penglibatan saya di dalam Ikhwan sewaktu belajar, bahawa kami merupakan salah satu jemaah daripada jemaah-jemaah Islam dalam konteks dunia kerana di Pakistan ada Jamaat Al-Islamiah, di Indonesia ada mahsyumi, di Turki ada gerakan Islam yang ditinggalkan oleh Badiuzzaman Said An-Nursi dan sebagainya.

Konteks ini memaksudkan bahawa hubungan gerakan Islam adalah rapat dan baik antara satu sama lain menyebabkan gerakan-gerakan ini sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan tahunan sampai ke hari ini.

Ia juga bermaksud dari segi konteks kepelbagaian fokus seperti jemaah-jemaah yang bersifat NGO seperti tabligh, gerakan salafiyyah yang tidak ekstrem, tarikat-tarikat yang benar dan lain-lain jemaah di Mesir. Ia bersifat ikhtilaf tanawwu’ bukan ‘ikhtilaf tanazu’. Yang ini saya akan coretkan dalam tulisan saya selepas ini, Insya-Allah.

Kesimpulannya, saya bukan bermaksud orang Islam hanya ada perlu ada satu jemaah sahaja atau bukan juga bermaksud orang Islam harus ada banyak jemaah sesuka hati. Di sana ada tempat yang wajib ada satu jemaah sahaja dan di sana juga harus ada banyak jemaah. Tetapi kalau nak lawan zalim tak boleh banyak jemaah, nanti akan berpecah dan lemah. Yang ini saya akan coretkan dalam tulisan saya selepas ini, Insya-Alah.

Jika diizin Allah, saya akan coretkan apa pendirian saya terhadap jemaah pelbagai di Malaysia. Cuma saya nak bagi mukadimah awal bahawa kewujudan jemaah seperti IRC yang bersifat ekslusif (semua orang lain salah) dan mengambil pendekatan menyusup daripada dalam, adalah sesuatu yang tidak wajar dan memecah belahkan kesatuan gerakan Islam melawan kezaliman.

Sebagai intro awal kepada tulisan yang akan datang, IRC adalah golongan asal yang mempunyai agenda jemaah politik yang bersifat ananiyyah (keakuan – aku sahaja yang betul). Adapun JIM, IKRAM dan ISMA adalah evolusi daripada IRC yang bagi saya pendokong-pendokong jemaah ini adalah orang yang ikhlas sukakan kebenaran dan aktiviti-aktiviti Islam dan bukan sahaja tidak terlibat, tetapi mungkin langsung tidak mengetahui gerakan IRC / HIS ini.

Lebih terperinci, esok lusa saya akan coretkan apakah pandangan saya tentang kepelbagaian jemaah di Malaysia dan pendirian saya terhadap ABIM, JIM, ISMA, Tabligh dan lain-lain jemaah Islam.

Tulisan kali ini hanya sekadar menjawab beberapa penafsiran hadis Jemaah Islam oleh Dr Asri sahaja. Untuk pendirian saya terhadap kepelbagaian jemaah, ia memerlukan kepada tulisan kedua. – HARAKAHDAILY 2/7/2015

Share on Myspace