Kisah PAS pasca muktamar

ABU IMAN MUHAMAD HAKIMI | .

MUKTAMAR PAS Pusat telah pun melabuhkan tirai. Ada yang gembira dan tidak kurang ada yang kecewa, yang gembira meraikannya dengan lafaz tasbih, syukur dan istighfar sebagaimana yang diajar oleh Allah di dalam surah Al-Nasr,

“Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya.” (Al-Nasr: 3)

yang kecewa ada yang sinis dalam ucapan, menolak lantikan dari Presiden partinya, merancang menubuhkan parti dan pakatan baru bahkan ada yang terus meninggalkan partinya.

TINGGAL PAS, PAS RUGI?

Tindakan segelintir pimpinan dan aktivis PAS keluar dari PAS menimbulkan tanda tanya. Adakah tindakan itu bersifat populis agar ada yang menjejaki langkahnya atau hasil muhasabah selepas kalah dan kecewa di dalam muktamar yang lepas.

Andai ia bersifat populis, rasanya silap kerana tidak kedengaran pun ribuan ahli PAS yang mengikuti langkahnya dan andai ia muhasabah, rasanya ia bertentangan dengan sunnah perjuangan kerana Allah merakamkan di dalam al-Quran,

"(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Muhammad: 38)

Jelas Allah sebut Islam dan perjuangannya tidak pernah rugi. Andai ada yang berpaling keluar daripada jalan ini maka akan diganti dengan orang yang lebih baik daripadanya. Paling dibimbangi, apabila diasingkan diri maka syaitan dan tenteranya akan menerpa ke arahnya.

Pesanan ini juga pernah disebut oleh Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang juga menjadi ikon dan idola sepanjang waktu kempen pemilihan yang lepas. Andai benar pengidolaan tersebut, ambil masa dan fikir semula dengan tindakan itu. Andai difikirkan tindakan memisahkan diri dengan PAS itu merugikan PAS,ia silap kerana Allah telah membenarkan janji-janjinya sama seperti yang dirakamkan di dalam kitab-Nya.

Sungguh janji Allah itu pasti.

SIFAT TERGESA-GESA DI TEGUR OLEH NABI SAW

Kisah Khabbab al-Munzir seharusnya dijadikan pengajaran supaya tidak wujud perangai “isti’jal” (gopoh) untuk mencapai kemenangan sehingga membuat tindakan yang memalukan diri sendiri. Khabbab Al-Munzir pernah ditegur oleh Nabi SAW kerana permintaannya supaya Nabi SAW bermohon kepada Allah agar diberikan kemenangan terhadap Islam. Lalu baginda SAW menegurkan agar tidak terlalu gopoh untuk mencapai kemenangan.

“Kesabaran itu daripada Allah, tergesa-gesa itu dari syaitan.”

Nabi SAW juga mempraktikkan kesabaran tersebut sehingga memakan masa 23 tahun sebelum diberikan kemenangan walaupun “kemenangan segera” pernah ditawarkan oleh pembesar Quraish di Mekah. Baginda menegaskan andai bulan dan bintang diletakkan di tangan kiri dan kanannya untuk ditinggalkan perjuangan Islam tidak sesekali akan baginda lakukan. Semuanya demi keredhaan Allah. Sunnah itulah yang diamalkan oleh Tuan Guru Presiden walaupun 14 negeri di Malaysia menjadi pertaruhannya.

AL-HAQ DAN AL-BATIL MENGIKUT NERACA SYARAK, BUKAN AKAL

Ramadhan bulan mulia menyaksikan darah syuhada mengalir di bumi Badar. Pertempuran dahsyat yang menyaksikan kemuliaan berpihak kepada mujahidin Nabi SAW. Yang menarik dalam kisah Badar ini menyaksikan bagaimana Abu Jahal berdoa kepada tuhannya agar diberikan kemenangan kepada tentera Jahiliah. Hapuskan Muhammad kerana dia telah memutuskan persaudaraan dan mencabul agama nenek moyang.

Walaupun pada sudut akalnya, Abu Jahal menentang Nabi SAW kerana mempertahankan kepercayaan dan amalan warisan nenek moyangnya, namun ia tetap batil kerana bertentangan dengan seruan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Muktazilah menjadi salah apabila menilai baik dan buruk dengan kadar akal kerana baik dan buruk itu ditentukan sifatnya oleh Allah dan Rasul-Nya.

RAMADHAN BULAN KESATUAN

Justeru dengan hadirnya Ramadhan, bulan diturunkan al-Quran yang menjelaskan kebenaran dan kebatilan agar semua umat Islam bersatu mempertahankan manhaj Rabbani yang telah sekian lama menjadi dasar perjuangan PAS semenjak zaman awal penubuhannya. Jangan terlalu gopoh untuk menebuk dan terjun daripada bahtera ini kerana yakinlah bahawa pelayarannya akan sampai ke tepian.

“Dan ingatlah bahawa pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Ali-Imran: 126)

Beristiqamahlah hingga kemenangan kerana kemenangan yang hakiki hanya lahir daripada perjuangan yang suci. – HARAKAHDAILY 3/7/2015

Share on Myspace