Henti segera perlombongan bauksit, ambil tindakan

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. DUPP memandang serius dengan masalah pencemaran bauksit yang berlaku di sekitar jalan menghala ke Pelabuhan Kuantan dan kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan sehingga mengakibatkan para penduduk mengalami masalah kegatalan kulit, batuk dan demam serta berdepan dengan masalah kualiti udara yang terjejas teruk di kawasan tersebut.

2. Pencemaran ini dikatakan berpunca daripada aktiviti perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh. Lebih teruk lagi, lori-lori yang sering keluar masuk dalam keadaan yang sangat kotor, berhabuk dan tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, juga telah menyebabkan jalan menjadi rosak. Kekotoran yang berlaku juga boleh dilihat dengan jelas di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) iaitu dari Plaza Tol Kuantan ke Plaza Tol Jabor gara-gara lori yang beroperasi tanpa kawalan.

3. DUPP juga ingin melahirkan kebimbangan terhadap nasib para peneroka Felda Bukit Goh yang memberi keizinan kepada syarikat tertentu untuk melombong di tanah milik mereka setelah ditawarkan pulangan sejumlah RM1.8 juta seorang daripada 10 ekar tanah milik mereka yang dilombong.

4. Walaupun khabar angin yang tersebar pada Ramadan tahun lalu tentang penemuan bauksit di kawasan tersebut tidak diendahkan oleh penduduk pada mulanya, namun setelah ada syarikat melombong mula mengadakan pertemuan dengan mereka dan menerangkan cadangan untuk melombong di kawasan itu serta perkiraan perkongsian keuntungan antara mereka dan syarikat tersebut, mereka mula membuat keputusan terhadap perjanjian yang ditawarkan itu. Persoalannya adalah adakah mereka juga telah diterangkan risiko serta implikasi daripada aktiviti perlombongan itu; termasuklah terhadap diri dan alam sekitar.

5. DUPP juga ingin mempersoalkan adakah aktiviti perlombongan bauksit di kawasan tersebut telah mendapat kebenaran Kerajaan Negeri Pahang dan adakah ia telah mengikuti dan mematuhi prosedur yang sepatutnya seperti pemilik tanah perlu memohon lesen terlebih dahulu, mendapatkan tanda tangan setiap penama pemilik tanah dan mendapatkan laporan daripada konsultan cari gali mineral sebelum tanah itu diberikan hak untuk dilombong.

6. Sekalipun sekiranya semua prosedur ini telah dipatuhi, DUPP juga ingin melahirkan kekesalan terhadap Kerajaan Negeri Pahang kerana gagal menguruskan dan mengambil tindakan terhadap pencemaran yang berlaku akibat aktiviti perlombongan bauksit ini. Sedangkan sebelum ini, YAB Menteri Besar Pahang, DS Adnan Yaakob telah menyatakan komitmen untuk menghentikan semua kerja-kerja perlombongan tersebut jika masalah pencemaran tidak juga diselesaikan.

7. Pada awal Februari tahun ini juga, DS Adnan Yaakob telah mengumumkan ketetapan bahawa pengusaha bauksit di negeri ini hanya dibenar menggunakan Jalan Gebeng-Bypass sahaja bagi mengangkut bauksit dan bijih besi ke pelabuhan serta telah mengumumkan bahawa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan membersihkan kawasan berkenaan dengan kos pembersihannya ditanggung oleh pengusaha kira-kira RM130,000. Malangnya, sehingga hari ini tiada apa-apa perubahan yang dilihat berlaku.

8. Oleh itu, DUPP mendesak supaya Kerajaan Negeri Pahang bertindak tegas dengan membatalkan atau menggantung semua kebenaran kerja-kerja perlombongan itu, megambil tindakan undang-undang ke atas semua pengusaha yang terlibat dan menyegerakan usaha-usaha membersihkan semula jalan-jalan dan kawasan-kawasan yang telah tercemar. Majlis Tanah Negara yang diurusetiakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga mesti memberikan perhatian serius terhadap isu ini. - HARAKAHDAILY 3/7/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Share on Myspace