Impak GST perlu dinilai secara berkala

SYAHIR SULAIMAN | .

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." (Al-Baqarah: 188)

Bebanan GST

Satu kajian bebas terhadap impak pelaksanaan GST kepada pekerja dan majikan telah dijalankan oleh sebuah firma pencarian pekerjaan terkenal negara, JOBSTREET.COM, dan mendapati GST memberikan kesan negatif kepada hampir 90% rakyat Malaysia dalam urusan perbelanjaan harian.

Kajian yang dijalankan ke atas lebih 1,454 pekerja dan 490 majikan tersebut memberikan gambaran awal tentang bebanan yang ditanggung rakyat kesan daripada pelaksanaan GST. Antaranya, 76% responden mengharapkan kenaikan gaji pada kadar 10% hingga 50% bagi menampung kesan GST, manakala sekitar 35% pekerja mula berfikir untuk menukar kerja dan 33% mula mencari kerja sampingan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat.

Sebahagian pekerja terpaksa mengubah corak perbelanjaan mereka, dengan sejumlah 56% responden mengurangkan makan tengahari dengan rakan sepejabat, hampir 47% pekerja mula membawa bekal dari rumah, dan 23% sudah beralih kepada pengangkutan awam dan berkongsi kenderaan.

Di pihak majikan pula, sejumlah 41% syarikat menyatakan sudah menerima tekanan daripada pekerja untuk kenaikan gaji, dan sekitar 19% majikan telah memberikan kenaikan gaji pada kadar yang minima. Sewajarnya beberapa imbuhan dan kemudahan dapat dipertimbangkan oleh pihak majikan, antaranya pemberian elaun petrol dan parkir kenderaan, kemudahan perubatan yang lebih meluas dan fleksibiliti bekerja dari rumah sebagai beberapa pilihan yang boleh diberikan kepada pekerja.  

Kajian Impak GST

Kajian bebas yang dijalankan ini memberi signal kepada kerajaan untuk menjalankan kajian yang lebih menyeluruh selepas tiga bulan GST dilaksanakan bermula 1 April 2015.

Pihak kerajaan diingatkan agar melaksanakan janji yang pernah dinyatakan sebelum pelaksanaan GST, antaranya dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, dan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan Perdana Menteri dalam meneliti dasar cukai kerajaan dan rasionalisasi subsidi negara.

Justeru, sebuah kajian pasca satu penggal pelaksanaan GST wajar dilaksanakan secara berkala, dan dijadikan input penting bagi merangka Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada bulan Oktober ini.

Skop kajian yang boleh dijalankan secara kajian lapangan dan secara online ini perlu mengambil kira aspek kesan kenaikan harga, bentuk bantuan kepada rakyat dan peniaga kecil, di samping menilai semula kadar cukai pendapatan dan cukai-cukai berkaitan, serta merangka program subsidi yang lebih menyeluruh kepada golongan sasar, khususnya golongan B40 yang diberikan keutamaan oleh kerajaan dalam RMK-11.

Dengan kutipan GST melebihi RM6 bilion sehingga Jun dan sasaran kutipan RM20-RM30 bilion sepanjang tahun 2015, rakyat perlu sedar bahawa setiap ringgit yang dipungut kerajaan datangnya daripada poket rakyat, yang terpaksa membayar 6% daripada setiap ringgit pembelian barangan runcit dan keperluan harian.

Situasi yang berlaku di Malaysia kini mengiayakan apa yang pernah diungkapkan oleh Benjamin Franklin (1789), “Tiada yang pasti di dunia ini, kecuali cukai dan mati”. - HARAKAHDAILY 7/7/2015

Penulis adalah Pengarah Strategi DPPM.

Share on Myspace