Tuduhan WSJ: PM perlu kemuka respons konkrit

HARAKAHDAILY | .

 

Dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) berkenaan wujudnya aliran wang sebanyak hampir US$700 juta (RM2.67 bilion) melalui agensi kerajaan, bank dan syarikat yang ada kaitan dengan 1MDB ke akaun peribadi YAB Perdana Menteri adalah suatu yang serius kerana bakal memberikan implikasi yang besar terhadap persekitaran ekonomi negara dan kestabilan politik.

Terbaru dan lebih menggemparkan, lewat petang tadi WSJ sekali lagi membuat pembongkaran dengan mendedahkan sembilan dokumen yang memperincikan bagaimana RM2.67 bilion itu boleh berada di dalam akaun DS Najib Razak seperti yang didakwa portal itu pada 2 Julai lalu. (Rujuk : http://graphics.wsj.com/documents/doc-cloud-embedder/?sidebar=1#2158723-1mdb-documents)

Tuduhan ini mestilah dileraikan segera dengan sebuah penyiasatan yang adil dan telus serta menyeluruh.

Jika disabitkan benar dakwaan itu, maka tindakan undang-undang dan hukuman mesti dikenakan kepada semua yang terlibat dalam skandal yang telah mencemarkan dan memalukan negara di peringkat antarabangsa. Jika tidak benar, tindakan tegas mesti diambil terhadap pelapor tuduhan palsu kerana ia menimbulkan kekalutan dan ketidaktentuan kepada politik dan ekonomi negara.

Dakwaan ini jika benar akan menyebabkan persekitaran ekonomi dan pasaran kewangan negara kita bertambah lebih teruk.

Nilai Ringgit kini sudah pun berada berada pada paras RM3.809 berbanding US$1 akibat terkesan dengan krisis ekonomi Greek yang sangat meruncing dan ekonomi China yang sedang melemah serta diburukkan lagi dengan ketidaktentuan politik tempatan dan masalah hutang 1MDB serta hasil minyak yang lebih rendah. Ringgit kini merupakan matawang paling rendah nilainya di Asia.

Sentimen yang wujud kesan daripada isu ini juga akan menarik keluar pelabur-pelabur dari Malaysia sekaligus menjejaskan pelbagai sektor dalam negara. Pendedahan akaun peribadi seumpama ini juga bakal merosakkan kepercayaan rakyat dan dunia serta menjejaskan sistem perbankan negara.

Oleh itu, Dewan Ulmaka PAS Pusat (DUPP) mendesak YAB Perdana Menteri supaya segera tampil mengemukakan respon yang konkrit terhadap tuduhan yang telah dibuat ke atas beliau.

DUPP juga mengingatkan jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini yang terdiri daripada Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM supaya berlaku amanah dalam menguruskan kes ini kerana ia melibatkan hak rakyat dan harta negara.

DUPP menyokong desakan pelbagai pihak supaya isu ini dibawa ke parlimen dan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan ini. Sekurang-kurangnya ia melegakan sebahagian kerisauan dan keraguan rakyat terhadap kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri. Tindakan ini penting bagi menjamin keharmonian rakyat dan kestabilan politik dalam negara dapat terus dipertahankan.

DUPP mengarahkan semua DUP Negeri-negeri (DUPN) dan Urusan Ulamak Kawasan-kawasan (UUK) agar mengadakan program munajat dan solat hajat untuk bermohon semoga Allah melindungi negara kita daripada musibah pemimpin yang tidak amanah.

DUPN dan UUK juga diminta untuk mengadakan siri-siri program penerangan secara berterusan berkenaan isu-isu semasa dan penyelesaian Islam terhadap pelbagai masalah yang melanda umat manusia hari ini. - HARAKAHDAILY 8/7/2015

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan DUPP yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus
Tarikh: 8 Julai 2015 / 21 Ramadan 1436H

Share on Myspace