Menelusuri kemenangan yang dijanjikan

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

Ramadhan merupakan bulan kemenangan kepada umat Islam. Ianya adalah kejayaan melawan hawa nafsu sehingga sanggup mengabaikan kenikmatan makan dan minum. Bahkan lebih besar dari itu, ia adalah kemenangan dalam pertembungan hak dan batil sama ada di medan perang mahupun politik.

Tinta emas sejarah mencatatkan, Allah mengurniakan kemenangan Islam pada Perang Badar, berlakunya pembukaan Makkah dan pembukaan Sepanyol, serta kemenangan dalam Perang Ain Jalut ke atas tentera Tatar yang ganas. Semuanya berlaku dalam bulan Ramadhan.

Dalam sejarah moden, mujahidin Afghanistan berjaya membuka Bandar Jalalabad dari cengkaman kuasa besar Soviet Union. Bukit Banjaluka berjaya ditawan oleh mujahidin Bosnia dari rampasan tentera Serbia yang kejam. Manakala umat Islam Libya berjaya menguasai ibu negara Tripoli dari tangan diktator Muammar Qaddafi. Semuanya terakam dalam diari Ramadhan.

Ini hanyalah beberapa contoh dari sejarah kemenangan di bulan Ramadhan kepada umat Islam yang terlakar di kanvas ummah dan dunia.

Kemenangan ini dialami berulang-ulang oleh umat Islam zaman berzaman dari generasi ke generasi, hinggalah ke zaman ini. Pun begitu umat Islam juga pernah dirundung zaman kegelapan. Agama ini menjadi dagang di kalangan penganutnya serta hidangan ratahan musuh-musuh dari Barat atau Timur.

Berbicara soal kemenangan Islam, kita pasti dihamparkan perihal tiga golongan dari kalangan umat Islam yang mempunyai pendirian berbeza.

Pertama ialah golongan yang tidak yakin kepada kemenangan Islam hingga sanggup menggadai perjuangan dengan pelbagai helah. Mereka bimbang untuk menzahirkan perjuangan bagi mendaulatkan Syariah Islam dengan seribu alasan.

Kedua ialah golongan yang terlalu gopoh untuk melihat kemenangan Islam hingga sanggup melakukan tindakan-tindakan menconteng arang ke wajah Islam.

Manakala golongan ketiga ialah mereka yang yakin akan kemenangan Islam, tanpa mempersoalkan bila dan bagaimana ianya akan berlaku. Mereka terus mara penuh istiqamah mengorak langkah perjuangan dengan usaha dan komitmen berlandaskan Syariah Islam. Mereka inilah yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran:
"Di antara orang yang beriman itu lelaki-lelaki yang membenarkan janji mereka kepada Allah. Di kalangan mereka ada yang gugur syahid dan ada di kalangan mereka yang menunggu giliran. Dan mereka sekali-kali tidak merubah janji." (Al-Ahzaab)

Kemenangan Islam pasti berlaku kerana ianya adalah janji Allah. Bagaimana dan bila ianya akan berlaku? Segalanya itu terserah dalam ilmu Allah. Sebagai pendokong gerakan Islam, kita wajib beriman kepada hakikat ini kerana ia adalah sebahagian daripada aqidah perjuangan.

Jangan sekali-kali kita terpedaya kononnya kemenangan itu akan membuah hasil dari perencanaan kita. Juga jangan sekali-kali kita sempitkan, kemenangan hanya sekadar beroleh kerusi pilihan raya. Walhal kita mengabaikan pergantungan harap mencari kurniaan kemenangan dari Allah, apatah lagi andai memesongkan ketulinan perjuangan dari teras aqidah kepada-Nya, nauzubillahiminzalik.

Peristiwa Pembukaan Makkah harus menjadi iktibar yang sangat jelas dalam menerobos pandangan futuristik kita. Betapa para Sahabat RA membuat telahan bahawa Makkah akan dibuka dengan peperangan atas perkiraan pengalaman lalu di dalam Perang Badar dan lain-lainnya. Terbayang oleh mereka akan berlakunya pertumpahan darah, musuh ditawan dan harta dirampas.

Namun, sebaliknya berlaku di bawah percaturan Allah yang Maha Agung. Kemenangan Pembukaan Makkah bermula dengan kejayaan politik hasil perjanjian damai Hudaybiyyah. Pengaruhnya telah membuka ruang besar kepada Nabi SAW melebarkan dakwah ke serata jazirah Arab; menambahkan jumlah umat dan meluaskan wilayah Islam, termasuk menggugat kuasa dunia Rom dan Parsi.

Lantaran Musyrikin Makkah mengkhianati perjanjian ini; Nabi SAW memimpin ketumbukan kaum Muslimin untuk menguasai Kota Makkah hingga akhirnya berjaya dibuka. Pembukaannya berlangsung dengan aman damai, tanpa ada sebarang pertumpahan darah.

Kejayaan gemilang seperti itu pasti akan berulang kepada generasi umat ini. Asalkan saja kita berpegang teguh keimanan kepada Allah dan beramal dengan sunnah Rasulullah, serta berkebajikan kepada sesama manusia.

Maka pohonlah doa kepada-Nya, dambakanlah kurniaan ke hadrat-Nya, lapangkanlah tawajjuh diqiblat-Nya, khusyukkanlah sujud dalam keredhaan-Nya, moga-moga Ramadhan ini menyempurnakan ketaqwaan kita pada-Nya.

Agar bila berakhir perginya segala kehebatan Ramadhan nanti, kita sudah dibekali kekuatan ruhiyah untuk istiqamah menempuh mehnah perjuangan ini sehingga kemenangan. Allahuakbar! - HARAKAHDAILY 12/7/2015

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace