Kita semua worih blako

DR AZMAN IBRAHIM | .

Foto hiasan

Di antara keindahan Islam ialah, Islam mengajar kita bahawa semua manusia ada worih-waroh belaka. Worih-waroh dengan makna ada ikatan susur galur keturunan. Sebab apa saya kata semua manusia adalah worih-waroh belaka? Sebabnya, baik orang Melayu, Cina, Kadazan, Iban, Murut, Dayak, India, Jepun, Negro, Rusia, Mongolia, Vietnam, Uzbekistan, Kazakhastan, Arab Iraq, Syria hatta orang eskimo sekalipun, datuk dan nenek moyang kita ialah Adam dan Hawa. Bila kita berasal dari datuk dan nenek yang sama, maknanya kita ini worih. Bezanya mungkin worih jauh atau worih dekat. Adakah mungkin manusia yang berasal dari datuk dan nenek yang sama, tiba-tiba dia tak jadi worih? Ini pelik!

Ajaran Islam anti dengan perkauman, boikot itu dan ini lalu membenci atas nama bangsa. Semua bangsa adalah ciptaan Allah dan kita semua adalah makhluk Allah.

Ketika negara dilanda tragedi 13 Mei 1969, negeri-negeri Melayu yang rakyatnya kuat berpegang dengan agama seperti Kelantan dan Terengganu, tak ada sebarang rusuhan kaum yang berlaku. Orang Melayu, Cina dan bangsa-bangsa lain boleh hidup dengan harmoni.

Berkawan dengan orang-orang Cina di Kelantan menghadirkan pengalaman menarik…

Bersebelahan dengan klinik saya di Kubang Kerian Kelantan, saya berjiran dengan seorang peniaga Cina berusia lewat 50-an, saya panggil mereka Unti dan Uncle yang menjalankan perniagaan menjual pinggang mangkuk dan beberapa barangan lain. Anaknya pula menguruskan perniagaan menjual alat-alat besi grill pintu juga di premis yang bersebelahan.

Saya menilai mereka jiran yang sangat baik dan lebih prihatin berbanding dengan pemilik premis perniagaan berbangsa Melayu lain yang bersebelahan. Setiap pagi menyapa saya dengan senyuman. Ada ketikanya bila pembekal menghantar barangan dan saya tiada di klinik, saya selalu pesan supaya tinggalkan di kedai Cina tersebut.

Ada suatu hari ketika klinik ditutup lantaran saya menghadiri program parti, TNB datang nak buat operasi pemotongan bekalan elektrik. Nasib tak baik kerana ada sedikit tunggakan bayaran, klinik saya juga menjadi sasaran pekerja TNB. Memang tak beretika kerana datang nak potong elektrik kerana hanya tunggakan tak melebihi RM300. Datang pula ketika klinik tak beroperasi. Unti Cina itulah yang pergi halang pekerja TNB dari potong bekalan dan minta supaya pekerja TNB datang semula semasa saya ada di klinik.

Pernah motosikal milik seorang pekerja saya dicuri di hadapan klinik. Keesokan harinya, topik motor kena curi menjadi bualan orang ramai yang sedang minum di sebuah warung bawah pokok berhampiran klinik. Saya diam saja. Seorang daripada pelanggan yang sedang minum juga merupakan pemilik sebuah kedai tak jauh dari klinik saya bercakap… “Ambo tengok doh kelmarin ada budak nampak macam pelik duduk main kat motor tu, tapi ambo tengok saja jah! Mugo bukan motor ambo.” Hehehe… tak malu pula dia mengaku sikap ketidakprihatinannya dengan persekitaran. Untuk makluman, yang sedang minum itu semuanya Melayu.

Suatu malam klinik saya dipecah masuk pencuri. Kejadian ini disedari oleh Unti Cina jiran saya. Dialah yang menelefon saya di waktu dinihari dan mereka anak-beranak yang membantu mengawasi premis klinik saya sehinggalah saya sampai. Malah pernah ada ketikanya, saya amanahkan Unti Cina ini untuk simpan kunci klinik saya.

Tak pernah lekang dengan hadiah dan pemberian setiap kali menyambut Tahun Baru Cina. Ada ketika bila anak-anak mengikut saya ke klinik, selalu Unti Cina ini menghulurkan buah tangan kepada anak-anak saya.

Seorang kawan Cina, Mr Lee yang berniaga alat ganti kereta di Kota Bharu sekadar berseluar tiga suku dan berbaju T sahaja. Kedainya menjadi tumpuan orang ramai. Sepanjang saya berurusan bagi mendapatkan alat ganti kereta dengannya, tak pernah beliau kata alat ganti yang diminta tak ada dikedainya. Mesti dia akan ikhtiar cari sampai dapat. Begitu sekali dia menjaga hati pelanggan tetapnya.

Walaupun banyak lagi kedai alat ganti kereta lain yang lebih dekat, saya memilih untuk berurusan dengannya. Nampak saja saya muncul di depan kedainya, Mr Lee akan menyapa, “Hai Doktor! Apa Khabar? Macam mana keadaan politik sekarang?”

Agak menarik bila semua pekerja di kedainya memakai T-shirt hijau. Pernah saya terserempak dengan seorang pelanggan yang bermulut celupar menegur. “Bakpo pekerja kedai mung pakai baju hijau? Tak dok warna lain ko??”

Jawab tokey Cina ni, “Ikut suka akulah pekerja aku! Mung nak beli spare part ko nak beli baju??” Hahaha… berlalulah dengan tersipu-sipu pelanggan yang bermulut tak ada insuran tersebut.

Ketika mendapat tahu bahawa saya dicalonkan oleh parti untuk bertanding dalam PRU13 yang lepas, berkali-kali Mr Lee memberikan semangat sambil menghulurkan sedikit sumbangan buat belanja pilihanraya.

Saya pernah tanya, “Tokey dah berapa lama jual spare part?”

“Ooo.. lama sangat dah. Kalau nak kira jual secara kecil-kecilan dari akhir tahun 50-an lagi. Ada kedai sendiri dari tahun 70-an lagi.”

“Wah! Lama betul tokey berniaga spare part. Patut saya tengok expert betul dengan komponen kereta.”

Melihat pelanggan yang keluar masuk kedainya tak putus-putus, saya tahu beliau seorang peniaga berjaya. Antara kunci kejayaannya adalah kerana kepuasan pelanggan yang berurusan dengannya. Tapi gaya beliau biasa-biasa saja. Tak ada pun nampak dia pakai jam Rolex atau Rado atau baju jenama mahal.

Suatu hari kira-kira 5 tahun dulu, pernah cermin hadapan kereta saya retak. Saya bawa kereta buruk saya itu ke sebuah kedai cermin milik seorang peniaga yang sebangsa dengan saya.

“Kos RM1,200 boh!” Wah! Boleh tahan jugok mahalnya.

Baru teringat, dulu ada seorang pelanggan klinik saya seorang Cina pemilik kedai cermin. Saya cari balik bisnes kad yang diberinya dulu dan menelefon Cina ini untuk temujanji. Ternyata mengejutkan, kosnya hanya RM650 dan cermin tersebut telah berkhidmat di kereta saya merentasi perjalanan ke seluruh Malaysia sejak dari 5 tahun lalu sehingga sekarang dan masih berkhidmat dengan sempurna. Maknanya itu cermin ori!

Tulisan ini saya catatkan bukan untuk membela orang-orang Cina kerana saya Melayu dan masih Melayu sehingga sekarang serta tanpa menafikan akan kebaikan dan kejujuran orang-orang Melayu. Tetapi saya berhasrat untuk menyiram air sejuk yang mampu mendinginkan panasnya bahang perkauman yang cuba dibakar sehari dua ini. - HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace