Istiqamah VS ‪#‎harapanbaru

IZWAN ABDUL HALIM | .

Bicara juzuk ke-28 pada 28 Ramadhan

Keimanan sering berkembar bersamanya keyakinan, keazaman tekad serta keredhaan. Berbeza dari perkataan ‘harapan’ yang masih bersamanya unsur ketidakpastian, kabur, menjangkakan, serta lebih banyak padanya sifat manusiawi. Malah, ‘harapan’ yang membuak dan bermotif madiyah, akan cenderung menjadi kepasrahan, putus asa, kebebalan dan pemberontakan; apabila tidak tercapai.

Istiqamah secara ringkas dari makna yang terdapat di dalam al-Quran adalah keteguhan tauhid, kekal di atas manhaj Islam dan melaksanakan perintah, serta menjauhi larangan Allah. Manakala dalam hadis Rasulullah SAW, ia merujuk kepada beramal secara sederhana dan bersikap tidak melampaui batas, memastikan amalan benar mengikut syariat Allah dan konsisten; iaitu berada di atas landasan yang digariskan. Istiqamah tergambar dengan sifat yakin dan berpandangan jauh, selain di sana adanya jaminan Allah.

Segala yang selama ini kononnya label, buruk sangka, adu domba dan fitnah; tersembunyi dan dilindungi; akhirnya terbongkar umpama bangkai gajah dilancarkan atas nama ‘Gerakan Harapan Baru’ (GHB) atau #harapanbaru pada tanggal 27 Ramadhan 1436 Hijrah.

Namun, dengan rahmat Allah yang mengurniakan taufiq dan hidayah, akan tetap ada golongan beriman; dengan ketinggian keyakinan dan pergantungan kepada Allah, mereka tidak merasa pelik dan terkejut menerima perkhabaran itu. Namun, ada juga golongan lemah iman; mereka menghidapi keraguan dan tatkala datang pengisytiharan mengenai GHB, dirinya menjadi resah dan tidak keruan.

Kembalilah kepada pedoman Allah, andai terenjat dengan berita pelancaran itu pada 27 Ramadhan, masuki 28 Ramadhan dengan lembaran kalam-Nya di juzuk 28 bermula dari surah al-Mujaadalah, diikuti al-Hasyr, al-Mumtahanah, as-Saff, al-Jumu’ah, al-Munafiqun, at-Taghaabun, at-Talaq dan diakhiri at-Tahrim.

Saat ramai memberi ulasan dan analisis yang spekulatif dan sensasi berhubung kemunculan #harapanbaru, jawapan Allah adalah wacana paling bernas dan menyingkap segala tabir serta ruang kerana Dia Maha Mengetahui.

Dirakamkan pada juzuk ini kisah mereka yang berbisik untuk merencana perbuatan dosa dan pencerobohan. Pelancaran GHB membuktikan perbuatan sulit itu berlaku selama ini.

“Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang-orang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.” (al-Mujaadalah: 10)

Allah menceritakan bahawa antara kejahatan golongan ini ialah mereka bersahabat karib dengan kaum yang dimurkai Allah. Tetapi mereka bukanlah dari golongan orang mukmin mahupun dari golongan kaum tersebut dan antara sifat mereka adalah banyak bersumpah dan berdusta. Mereka menjadikan sumpah sebagai perisai dan menjadikannya penghalang orang lain dari jalan Allah.

Juga mereka yakin anak pinak (keanggotaan) dan harta benda sebagai pertolongan untuk mereka, sedangkan Allah menyatakannya sebagai azab.

“Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.” (al-Mujaadalah: 19)

Allah berjanji akan mengalahkan mereka yang menentang ini, selain mengisytiharkan bahawa orang beriman tidak akan berkasih mesra dengan golongan penentang perintah Allah dan Rasul. Hatta penentang itu ialah bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka.

“Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (al-Mujaadalah: 21&22)

Allah turut membongkar rancangan mereka hendak memerangi Rasulullah. Malangnya mereka yang dilanda rasa cemas hingga membinasakan tempat mereka sendiri hingga terkeluar dari kampung halaman mereka.

Kepada orang beriman diperingatkan mengenai harta dan keduniaan agar ia diurus bagi tujuan agama serta diagihkan kepada pihak yang telah ditentukan. Juga ketetapan untuk mematuhi pemimpin terhadap segala keputusan dan larangannya. Serta disuruh bertaqwa dengan ancaman azab lebih berat sekiranya mengingkari. Kisah Muhajirin dan Ansar dinaqalkan untuk menjadi contoh ikutan.

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan Rahmat-Mu." (al-Hasyr: 10)

Sikap sebenar pakatan jahat itu didedahkan Allah, hakikatnya mereka tidak akan membela rakan sekutu mereka apabila rakannya itu ditimpa musibah atau penentangan. Hati mereka memusuhi secara keras sesama mereka dan mereka sebenarnya tidak bersatu padu.

Surah al-Mumtahanah di awal ayatnya melontar ingatan kepada orang mukmin berhubung sempadan tahaluf siyasi. Juga memperihalkan betapa penguasaan mereka ke atas orang mukmin adalah membahayakan serta perbuatan dan ucapan mereka adalah kejahatan kepada orang mukmin. Mereka mahu menjadikan orang mukmin seperti mereka.

Allah menyuruh orang mukmin mencontohi usaha dakwah Nabi Ibrahim AS iaitu terus berusaha berdakwah, tetapi soal hidayah terserah kepada-Nya. Turut ditegaskan adalah perihal penyaksian atau baiah melibatkan kaum Muslimat.

Pada juzuk ini terdapat banyak peringatan Allah agar orang mukmin menjaga dan memerhatikan amalannya masing-masing, selain tidak memanifestokan perkara yang tidak dilaksanakan, serta diseru menyusun kemas tanzim perjuangan.

Dinyatakan hakikat sifat mereka yang ingkar itu adalah lumrah dihadapi Nabi Musa dan Nabi Isa AS dan orang mukmin mesti terus bangkit berjuang hingga diberi kemenangan dengan menjadi penolong-penolong agama Allah.

Allah turut mengangkat darjat kerasulan Nabi Muhammad SAW dengan pengiktirafan tertinggi sebagai kepimpinan yang wajib diikuti. Namun, turut menyatakan sikap golongan yang enggan mengiktiraf kepimpinannya.

Surah al-Munafiqun memperincikan lagi sikap mereka:
• Mengaku beriman di depan, kafir di belakang
• Hati mereka telah dimeterai
• Memiliki penampilan menarik
• Pandai berucap dan berbicara
• Umpama batang kayu bersandar
• Menyangka setiap jeritan membahayakan diri
• Berpaling dari peringatan taubat

Oleh itu, Allah memperingatkan agar berjaga-jaga dengan mereka ini kerana merekalah musuh yang sebenar.

Diakhir juzuk banyak disentuh mengenai ikatan suami isteri. Secara prinsip boleh dijadikan panduan betapa hubungan seerat itupun terhukum dengan panduan syarak, apatah lagi tahaluf siyasi.

Allah turut memimpin orang beriman kepada hakikat, bahawa di kalangan ahli keluarga atau mereka yang ada pertalian hubungan erat juga boleh jadi adalah musuh perjuangan sebagaimana isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut AS.

Dengan situasi politik sedang berlaku ketika ini, juzuk 28 yang bertepatan dibacanya pada hari ke-28 Ramadhan ini seakan sedang membicarakan kepada kita satu pedoman untuk ditadabburi dan dihadamkan secara keimanan dan akhlak.

Moga-moga sirnalah keraguan yang bersarang dan semakin mantaplah keimanan kepada Allah, serta kekal istiqamah kita kepada perjuangan Islam dibawa PAS.

Allahuakbar! – HARAKAHDAILY 14/7/2015

Share on Myspace