Istiqamah dengan PAS, usah terpedaya hasutan syaitan

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. Dewan Ulamak PAS Pusat meneliti dengan penuh keprihatinan tindakan sebahagian ahli dan bekas kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia PAS yang sedang mengusahakan wadah politik baru dan secara terbuka berkempen mengajak ahli-ahli PAS keluar daripada parti untuk bersama dengan wadah baru bagi memecah-belahkan kesatuan PAS.

Sementelah pula premis parti juga digunakan untuk melancarkan kempen keluar daripada parti oleh mereka yang masih memegang jawatan-jawatan dalam parti.

2. Sunnah kejadian seumpamanya telah berlaku dalam sejarah kehidupan Baginda saw yang dirakamkan oleh al-Quran iaitu pembinaan "Masjid Dhirar dan Tafriq" yang bermaksud masjid yang menimbulkan mudharat dan kerosakan serta perpecahan.

3. Masjid adalah tempat sujud kepada Allah. Pembinaannya tentulah secara zahirnya memberi kebaikan kepada Islam. Namun, niat disebalik pembinaan masjid tersebut adalah untuk menimbulkan kemudharatan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Maka dengan perintah Allah masjid tersebut diarahkan untuk dirobohkan oleh baginda dan umat Islam dilarang oleh Allah untuk solat di dalamnya.

4. Pembinaan "Masjid Dhirar dan Tafriq" diusahakan oleh golongan munafikin yang menjadi musuh dalam selimut Nabi saw. Ia pula ditaja dan dibiayai di belakangnya oleh musuh Islam dan Nabi iaitu Rom yang beragama Kristian. Tujuannya agar ia menjadi tapak untuk mereka melancarkan serangan serta melemahkan kekuatan Nabi saw dan Islam di Madinah.

5. Al-Quran merakamkan cerita ini dan memberi beberapa panduan bertindak kepada Nabi saw dalam surah Taubah ayat 107-108;

( وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ( 107 ) لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ ( 108 ) 

Maksudnya; "Dan mereka yang menjadikan masjid bertujuan memudaratkan (dhirar), keengkaran (kufur), perpecahan di kalangan orang-orang beriman dan sebagai mata-mata tinjauan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan mereka pasti bersumpah "tidak ada yang kami hasratkan melainkan kebaikan" sedangkan Allah memberi kesaksian bahawasanya mereka adalah sebenar-benar pembohong. Janganlah kamu berdiri (solat) di dalamnya selama-lamanya. Pastinya masjid yang dibina atas asas taqwa daripada hari pertamanya lagi lebih layak untuk kamu berdiri (solat) di dalamnya (kerana) di dalam masjid itu terdapat lelaki-lelaki yang sentiasa mahu menyucikan diri sedang Allah sangat cintakan golongan yang sentiasa menyucikan diri".

Antara pedoman yang perlu diambil daripada ayat di atas ialah;

1. Meskipun pembinaan masjid selalunya bertujuan untuk menjadi tempat perhambaan diri kepada Allah namun ada yang dibina dengan tujuan yang salah dan jahat iaitu;

i) bertujuan memudharatkan Islam, umat Islam dan kepimpinan Nabi saw serta negara Islam.

ii) bertujuan kufur kepada Allah dan engkar terhadap Nabi saw.

iii) bertujuan memecah-belahkan kesatuan orang-orang yang benar-benar beriman dan mengikut perintah Allah bersama Nabi saw.

iv) bertujuan menjadi tapak kepada musuh yang memerangi Allah dan Rasul-Nya untuk mereka meninjau dan memerhatikan pergerakan Islam dan kekuatannya.

2. Golongan yang bertindak mengusahakan "Masjid Dhirar" ini sentiasa bersumpah untuk meyakinkan orang lain bahawa mereka berniat baik. Tak ada tujuan lain melainkan kebaikan. Sumpah selalunya menjadi benteng bagi orang-orang yang diragui kebenaran mereka.

3. Namun, Allah menegaskan bahawa mereka sebenarnya adalah sebenar-benar pembohong dan pendusta. Maka segala kenyataan dan pengakuan mereka yang disertakan dengan sumpah tidak boleh dipercayai.

4. Mereka yang mengusahakan Masjid Dhirar berkempen agar orang Islam solat di dalam masjid mereka. Maka Allah Taala melarang keras Nabi saw mengerjakan solat di dalamnya.
لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ
"Janganlah kamu berdiri (solat) di dalamnya selama-lamanya."

5. Alasan yang ditegaskan oleh Allah ialah masjid mestilah dibina daripada awal lagi atas dasar ketaqwaan. Masjid yang sebegini lebih layak dan berhak dimakmurkan.

Allah berfirman;

لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا

"Pastinya masjid yang dibina atas asas taqwa daripada hari pertamanya lagi lebih layak untuk kamu berdiri (solat) di dalamnya (kerana) di dalam masjid itu terdapat lelaki-lelaki yang sentiasa mahu menyucikan diri "

6. Masjid yang dibina seawalnya atas asas takwa mempunyai tonggak dan tunjang yang kuat serta pendokong tegar iaitu golongan yang sentiasa cintakan Allah yang tergambar menerusi amalan seharian mereka. Golongan ini disayangi dan dicintai oleh Allah. Golongan ini tentulah mempunyai aqidah dan syariat pegangan Islam yang jelas berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

NASIHAT

1. PAS sebagai sebuah gerakan Islam sedari awal penubuhannya pada 1951 adalah bertujuan menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran serta memperjuangkan politik dan kuasa Islam. Ia tidak pernah berganjak daripada matlamat tersebut. Ia lebih layak dan berhak untuk dimakmurkan berbanding wadah baru yang dibina atas dasar kekecewaan semata-mata. Sementelah jika ia didalangi pula oleh mereka yang menentang keras usaha-usaha menegakkan undang-undang Allah.

2. Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru ahli-ahli PAS untuk terus ISTIQAMAH SEHINGGA MENANG dengan bahtera PAS yang terbukti tegas dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam dalam menentang kemungkaran politik pemerintah dan menegakkan pemerintahan Islam yang adil lagi berkebajikan.

3. Ahli-ahli PAS tidak perlu terpedaya dengan bisikan syaitan-syaitan yang mengajak keluar dari perjuangan politik Islam menerusi Parti Islam Semalaysia PAS yang berpandukan al-Quran dan al-Sunah, Ijma' dan Qiyas dengan pelbagai janji hiasan kejayaan yang palsu sama ada oleh syaitan di kalangan jin mahupun manusia kerana menjadi sunnah para Nabi dimusuhi oleh syaitan-syaitan jin dan manusia sebagaimana firman Allah dalam surah al-An'aam ayat 112;

( وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ ( 112 )

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi musuh iaitu Syaitan-syaitan jin dan manusia yang mengilhamkan antara satu sama lain kata-kata indah dengan tujuan memperdayakan. Dan jika Rabb kamu mahu mereka tidak melakukannya maka biarkanlah mereka beserta rekaan cerita dan pembohongan mereka."

Sekian.

"ISTIQAMAH SEHINGGA MENANG"

Disediakan oleh;
Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Rabu 28 Ramadhan 1436 H / 15 Julai 2015

Rujuk; www.drtakiri.blogspot.com - HARAKAHDAILY 15/7/2015

Share on Myspace