Belajar beradab dengan Allah

SYARHAN HUMAIZI HALIM | .

1. Jawapan spontan Tok Guru Abdul Hadi Awang dalam menjawab pertanyaan berhubung dengan Gerakan Harapan Baru dengan memetik firman Allah dari surah al Nisa ayat 104 menjadi perbahasan dan polemik banyak pihak bahkan dipanjangkan untuk dibahaskan.

2. Ketajaman politik Tok Guru dalam berdepan dengan pelbagai respons terhadap GHB ini dan pastinya akan di manipulasi oleh sebahagian pihak untuk tujuan keuntungan perjuangan mereka. Kalau diamati sebenarnya Tok Guru mengajar kita erti beradap kepada Allah. Letaklah pengharapan pada Allah dalam apa sahaja situasi.
وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ

3. Penggunaan istilah Harapan Baru seakan mensandarkan harapan politik dan masa depan negara kepada mereka. Walaupun pelaksanaannya memang akan diuruskan oleh sesebuah parti. Namun berlapiklah dalam berkata-kata. Jangan kata-kata kita menggambarkan seolah-olah Allah tidak wujud, tidak memerhati, tidak mengetahui dan Allah tidak ada perancangan. Inilah adab.

4. Allah SWT mengajar Nabi SAW dan para sahabat agar sentiasa beradap dengan Allah. Siri peperangan menyaksikan proses peradaban ini berlaku. Dua senario peperangan yang berlaku menjadi contoh dan ukuran kepada proses ta'dib dari Allah.

5. Perang Badar yang berlaku pada tahun kedua Hijrah menyaksikan pertembungan yang dimaklumi semua dengan angka kekuatan kuffar Quraisy jauh lebih besar daripada tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi.
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ. ال عمران ١٢٣
Senario Badar membuktikan bahawa adabnya ialah jangan lupa Allah dan pengharapan padanya tatkala berdepan dengan jumlah dan kekuatan yang besar.

6. Dalam ayat yang lain Allah SWT gambarkan kisah Perang Hunain yang berlaku pada tahun ke 8 Hijrah yang amat menggemparkan.
لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِين.
التوبة ٢٥
Hunain menyaksikan ketika tentera umat Islam jumlahnya mencecah angka belasan ribu orang yang hampir menyamai jumlah kuffar ketika itu. Adabnya Allah mengajar sekalipun bilangan kamu besar tapi jangan sekali melupakan Allah dan meletakkan pengharapan kepada jumlah kekuatan yang ramai tersebut.

7. Inilah adab kita dengan Allah lebih-lebih lagi sebagai para perjuang agama Allah SWT.

8. Sudah pasti isu adab ini akan disamakan setengah pihak dengan isu berjuang untuk mendapat redha Allah. Ramai dalam kalangan kita yang mempersendakan istilah "berjuang untuk mendapat redha Allah" walaupun kalah seperti penegasan yang dibuat oleh TGHH. Tok Guru tak mahu menang hanya nak redha sahaja. Namun sedikit pun tidak merunsingkan Tok Guru apabila dipersendakan begitu. Kerana Islam mengajar begitu dan PAS berpegang dengan Islam.

9. Justeru hati-hatilah dalam berkata-kata, jangan kesampingkan kata-kata dan perbuatan dari Allah. Letaklah semua sandaran hanya kepada Allah.

10. Jadilah diri mudah diajar, hormatilah keilmuan para ulama, jangan menjadi golongan yang jahil susah diajar dan ego menguasai diri dan akhirnya tenggelam dengan sifat i'jab binnafsi. - HARAKAHDAILY 22/7/2015

Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda PAS Selangor

Share on Myspace