Peristiwa Ahzab serlah diri orang munafik

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

PERISTIWA perang Ahzab ini kekal dalam ingatan umat Islam dan disuburkan ingatan ini setiap kali kita menyambut Hari Raya. Ini menjadi hujah mengapa peristiwa ini sangat signifikan dalam sejarah Islam. Perang ini juga diletakkan sebagai tajuk surah dalam al-Quran, iaitu surah al-Ahzab yang mana Allah telah menceritakan peristiwa ini daripada ayat 9 hingga ayat 23.

Menurut as-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, ayat 9 hingga ayat 23 surah al-Ahzab ini memulakan penerangannya mengenai peristiwa peperangan Ahzab dengan mengingatkan orang-orang beriman supaya mengenangkan nikmat Allah yang telah menghalau tentera-tentera bersekutu yg berniat untuk menghapuskan mereka, jika tidak kerana pertolongan Allah dan kekuasaan-Nya yang halus.

Justeru, di dalam ayat yang pertama ini al-Quran hanya menerangkan tabiat, permulaan dan penghabisan peristiwa itu dengan ringkas sahaja dengan tujuan untuk menonjolkan nikmat yang besar itu sebelum menceritakannya denan terperinci. Ia mengingatkan mereka dengan nikmat dan meminta mereka, yakni orang mukmin mengingati-Nya di samping bertujuan mengingatkan orang-orang beriman agar menurut perintah Allah  yang meminta mereka mengikuti wahyunya, berserah kepadanya dan tidak mengikut orang-orang kafir dan munafiq. Allah juga yang melindungi orang-orang yang bertugas mengembangkan dakwah dan agamanya daripada pencerobohan orang-orang kafir dan munafiq.

Firman Allah Taa'la bermaksud:

"Wahai orang-orang beriman, Ingatlah nikmat Allah yg dikurniakan kepada kamu ketika kamu diserang oleh tentera-tentera Ahzab, lalu Kami hantarkan kepada mereka ribut yg kencang dan tentera-tentera malaikat yg kamu tidak dapat melihatnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yg kamu lakukan." (Al-Ahzab: 9)

Demikianlah dalam ayat permulaan yang ringkas ini al-Quran menyebut permulaan dan penghabisan peperangan itu, iaitu kedatangan pasukan-pasukan tentera musuh dan bagaimana Allah melepaskan angin ribut dan tentera-tentera yang tidak dapat dilihat oleh orang-orang beriman. Juga berkenaan pertolongan Allah yang ada kaitannya dengan ilmu Allah yang mengetahui keadaan mereka dan melihat perbuatan-perbuatan yang mereka lakukan.

Kemudian selepas peperangan secara umum itu barulah al-Quran memulakan penceritaan yang terperinci.

Firman Allah Taa'la yang bermaksud:

"Iaitu ketika mereka menyerang kamu dari atas dan bawah, dan ketika mata (kamu) memandang liar dan hati (kamu) sebak sehingga ke kerongkong (kerana cemas) dan kamu menaruh berbagai-bagai sangkaan terhadap Allah."(al-Ahzab: 10)

Firman Allah Taa'la yang bermaksud:

"Di sanalah orang-orang Mukminin diuji dan digoncangkan hati mereka dengan goncangan yang kuat."(al-Ahzab: 11)

Firman Allah Taa'la yang bermaksud:

"Dan kenangilah orang-orang munafiqin dan orang-orang yang mempunyai penyakit di dalam hati mereka berkata: "Tiada yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita melainkan palsu belaka."(al-Ahzab: 12)

Firman Allah Taa'la yang bermaksud:

"Dan kenangilah ketika segolongan dari mereka berkata: Wahai penduduk Yathrib! Bukan tempatnya bagi kamu berjuang di sini, oleh itu baliklah! Segolongan yang lain dari mereka pula meminta izin hendak balik daripada Nabi sambil berkata: sesungguhnya rumah-rumah kami terdedah kepada serangan-serangan musuh sedangkan sebenarnya rumah-rumah itu tidak terdedah. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri sahaja." (al-Ahzab: 13)

Menurut as Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, itulah gambaran ketakutan dan kesusahan yang menyelubungi kota Madinah. Tiada seorangpun penduduknya yang terselamat daripada ketakutan itu, kerana dikepung segenap sudutnya oleh tentera-tentera musyrikin Quraisy, Ghatfan dan orang-orang Yahudi Bani Quraizah dari hulu dan hilirnya. Rasa cemas dan takut ini tidak berbeza-beza di dalam hati setiap mereka.

Cuma yang berbeza ialah cara mereka menyebut peristiwa itu, sangkaan masing-masing ketika menghadapi kesusahan dan tanggapan terhadap nilai-nilai sebab-sebab dan natijah menghadapi sesuatu peristiwa. Justeru, ujian ini merupakan satu ujian yang sempurna dan halus. Ia dapat membezakan di antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang munafiq dengan perbezaan yang tegas dan tidak diragui.

Pada hari peperangan ini, dapat dilihat situasi orang-orang munafiq meliputi ciri-cirinya, segala emosi dan lintasan fikiran dan segala gerak geri mereka. Semuanya terbentang di hadapan kita seperti yang diceritakan oleh al-Quran. Gambaran kekalutan mereka, ketakutan, kecemasan dan kesusahan yg dipamerkan melalui wajah-wajah dan debaran-debaran di dalam jantung mereka. Ini dijelaskan oleh ayat 10 surah al-Ahzab.

Muhammad Ibn Maslamah menyebutkan - Pada malam kami mengawal parit pertahanan itu sama seperti siang. Panglima-panglima perang tentera kaum Musyrikin bergilir-gilir di antara mereka. Sehari dipimpin oleh Abu Suffian Ibn Harb, hari yang lain oleh Khalid Ibn Walid, kemudiannya oleh Amr Ibn al-'Ash diganti pula oleh Ikrimah bin Abu Jahal, seterusnya diketuai pula oleh Hubairah Abu Wahab dan yang lainnya hingga keadaan menjadi begitu gawat dan turut mencemaskan orang ramai.

Angkatan perang Musyrikin telah melakukan serangan mengejut pada waktu dinihari, lalu Rasulullah SAW menyediakan para sahabatnya berperang hingga ke malam. Rasulullah SAW dan setiap dari tentera Islam tidak dapat meninggalkan tempat masing-masing sehingga beliau sendiri tidak dapat menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Para sahabat mengadu kepada Nabi SAW perihal mereka tidak dapat menunaikan sembahyang. Nabi SAW menjawab mengatakan bahawa Baginda juga tidak sempat menunaikan solat. Sehinggalah Allah mengundurkan tentera-tentera Musyrikin dan kedua-dia pihak pulang ke tempat kediaman masing-masing.

Kemudiannya Usayd Ibnu Hudair mengetuai satu angkatan perang seramai dua ratus orang berkawal di tepi parit pertahanan itu lalu diserang hendap oleh tentera berkuda Musyrikin di bawah pimpinan Khalid Ibn Walid yang sentiasa mencari kelalaian dan kelemahan umat Islam. Mereka pun berperang seketika.

Di dalam situasi inilah bapa saudara Nabi SAW telah terbunuh di tangan Wahsyi melalui lontaran lembingnya. Kesibukan berperang ini telah menyebabkan baginda Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Kaum Musyrikin telah membuat kita begitu sibuk sehingga kita tidak sempat mendirikan solat Asar. Ya Allah! Penuhkan perut dan hati mereka dengan api neraka."

Di samping itu juga, tentera Muslimin juga menghadapi tipu daya kaum munafiqin dan penyebar khabar angin di kota Mekah dan di dalam barisan bala tentera Islam. Di dalam suasana kesusahan dan kecemasan  yang menggoncangkan hati itu, orang-orang munafiqin mendapat peluang mendedahkan rahsia jiwa mereka yang keji tanpa kebimbangan dikecam oleh sesiapapun. Mereka melemahkan semangat orang Islam, menimbulkan keraguan terhadap janji Allah dan sebagainya. Mereka merasa aman bahawa tiada sesiapapun akan menyalahkan apa sahaja yang mereka lakukan.

Golongan munafiqin dan penyebar khabar angin seperti mereka ini memang terdapat di dalam semua kumpulan. Sikap mereka dalam menghadapi keadaan gawat itu adalah sama dengan sikap saudara-saudara mereka tadi.

Mereka adalah contoh golongan manusia yang berulang-ulang di dalam generasi-generasi dan kumpulan manusia di sepanjang zaman. Mereka menghasut penduduk Madinah supaya meninggalkan barisan perjuangan dan pulang ke rumah dengan alasan bahawa  kedudukan mereka bertahan di hadapan parit tidak membawa apa-apa makna.

Ini adalah contoh dakyah mereka untuk meracuni pemikiran umat Islam ketika itu dan jika waktu sekarang pelbagai modus operandi diadakan supaya orang beriman meninggalkan Jamaah Islam dan perjuangan Islam. Mereka melontarkan tuduhan kepada puak Islam dengan tuduhan seperti neo-Khawarij, ekstrem, ahli Bida'ah dan pelbagai gelaran dan tindakan hodoh mereka untuk menjatuhkan reputasi perjuangan Islam pada pandangan masyarakat. – HARAKAHDAILY 23/7/2015

Share on Myspace