Eksklusif Channel News Asia bersama Presiden PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

STESEN televisyen berpangkalan di Singapura, Channel News Asia, telah mengadakan satu temubual eksklusif bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerusi rancangan ‘Conservation With’ baru-baru ini. Temubual berkisar pendirian PAS berhubung politik semasa Malaysia, hubungan dengan Pakatan Rakyat, kehadiran wadah baharu, mengenai hudud serta masalah kumpulan Islam pelampau. Ikuti semula teksnya disediakan oleh Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM pada temubual yang dihoskan oleh Penerbit Eksklusif, Lin Xueling itu.

CHANNEL NEWS ASIA: Ada komentar mengatakan bahawa anda mempertahankan Perdana Menteri. Adakah ini benar?
TUAN GURU ABDUL HADI: Sebenarnya saya mempertahankan konsep demokrasi, saya mahu supaya perubahan berlaku di Malaysia melalui proses demokrasi yang betul. Bukan diturunkan begitu sahaja, tapi mestilah melalui pilihan rakyat. Oleh itu, saya lebih berminat supaya pertukaran Perdana Menteri berlaku melalui proses pilihan raya, bukan melalui proses digulingkan tanpa melibatkan rakyat majoriti.

Adakah ini bermakna anda percaya Datuk Sri Najib Tun Razak tidak bersalah atas tuduhan yang telah disabitkan ke atasnya?
Mengikut kaedah perundangan Islam dan kaedah diterima oleh Barat, seorang yang dituduh tidak terus dianggap bersalah. Mesti dianggap tidak bersalah dahulu. Mesti dibuktikan. Ini proses perundangan yang betul. Kita tidak boleh menganggap seorang yang dituduh terus dianggap bersalah. Itu satu cara yang salah. Saya mahu, supaya perlaksanaan proses keadilan yang betul.

Bagaimana pula dengan siasatan yang sedang berlaku sekarang, menghormati hasil siasatan yang bakal diperoleh?
Kita tidak mengambil sikap menyokong secara mutlak. Tindakan kita ialah supaya proses dilaksanakan, salah ataupun tidak salah. Dengan sebab itu, tidak boleh secara mutlak. kalau secara mutlak menyokong, mungkin dia bersalah.

Adakah siasatan ini mempunyai rangka kerja keadilan sepertimana anda harapkan?
Kita mempunyai suatu kewajipan untuk memperkenalkan proses keadilan Islam kepada masyarakat. Kita tidak boleh terikut dengan sistem Barat yang terlalu mudah membuat tuduhan, terlalu mudah bertindak, banyak sejarah membuktikan mereka yang sepatutnya diambil tindakan, tidak diambil tindakan. Mereka yang diambil tindakan rupanya tidak bersalah pada akhirnya, itu berlaku. Oleh sebab itu, kita mesti teliti dan cermat.

Mengikut Islam, kita perlu melihat apa yang zahir. Apa yang zahir ialah melalui penyiasatan yang adil dan telus oleh kalangan yang diberi hak untuk melakukan tindakan. Apa yang berlaku hari ini, hanyalah melaui media, melalui tuduhan hasil daripada pertarungan di antara sama ada kerajaan dengan pembangkang ataupun pertarungan kuasa dalam parti Umno yang memerintah sendiri.

Jadi anda mengatakan ia adalah sebagai permainan media. Apa yang anda maksudkan sebenarnya?
Sepatutnya media membuka minda rakyat untuk membuat tindakan yang adil kerana dalam amalan demokrasi, rakyat adalah hakim, media adalah saksi. Dengan sebab itu, hakim memerlukan keterangan daripada saksi yang adil. Hari ini, kita mengalami perlumbaan media melalui media baru, langit terbuka, masing-masing untuk melariskan jualan masing-masing. Kita tidak boleh bergantung kepada jualan melalui iklan yang tidak benar.

Jika rakyat ialah hakimnya, bagaimana mereka menyatakan pendapat mereka?
Perubahan berlaku dalam negara demokrasi mestilah; Pertama, melalui kehidupan rakyat yang selesa. Tidak ada tekanan pada rakyat. Kedua, media yang terbuka bebas dan adil. Ketiga, perlaksanaan demokrasi yang betul. Ketiga-tiga perkara ini sangat penting, di mana ketiga-tiga ini tidak ada dalam negara Asia Afrika yang mencapai kemerdekaan daripada penjajahan.

Ini sangat malang. Di Eropah yang mengamalkan demokrasi kita melihat bagaimana kerajaan boleh dihukum oleh rakyat dengan mudah dan boleh menukar kerajaan. Oleh sebab itu, kita melihat tidak satu parti selamanya memerintah di negara Barat seperti British, Amerika dan lain-lain termasuk Jepun. Tapi dalam negara kita ini, kita melihat seolah-olah mahu supaya satu parti memerintah selama-lamanya. Seolah-olah tidak ada kekurangan daripada parti. Mestilah apabila lama memerintah ada kekurangan, oleh sebab itu kita perlu berjuang untuk membetulkan semua saluran-saluran ini.

Adakah anda berpendapat PAS akan bersedia bekerjasama dengan Umno?
Kita mempunyai pengalaman yang panjang dalam sejarah PAS. Sama ada sebelum kemerdekaan ataupun selepas kemerdekaan. Sebelum kemerdekaan, pemimpin PAS pernah bekerjasama dengan semua pihak sama ada kanan atau kiri. Sama ada golongan nasionalis atau sosialis yang paling ekstrim untuk menentang penjajah. Kerjasama kita adalah beradab, bermoral dan berprinsip, bermatlamat.

Apabila menyanggah moral, prinsip dan matlamat kita berpisah. Dengan Umno kita pernah bekerjasama dan menyertai Kerajaan Campuran tahun 1970, dan bersama menubuh Barisan Nasional tahun 1974. namun, kita terpaksa berpisah apabila berlakunya pertembungan kefahaman di antara kedua-dua parti, apabila berbeza pendekatan antara dua-dua parti.

Adakah anda akan bekerjasama dengan Umno dalam Kerajaan Persekutuan?
Tidak bersetuju. Kita pernah berpengalaman dalam membentuk kerajaan bersama (Umno) dalam tahun 1970 sehingga tahun 1974. Apa yang penting, kita mengambil sikap berada di luar kerajaan dan kita mempunyai kerajaan negeri yang kita perintah seperti Kelantan sebagai contoh.

Apa yang penting Kerajaan Pusat tidak menyekat agenda kita untuk dilaksanakan di Kelantan tanpa kita masuk ke dalam Kerajaan Pusat dan kita boleh bekerjasama dengan jabatan-jabatan Kerajaan Pusat dalam mengendalikan urusan rakyat tanpa kita masuk kerajaan.

Adakah komentar yang telah dibuat oleh Dr Mahathir adalah baik untuk Malaysia
Saya memuji Tun Mahathir seorang Perdana Menteri yang berani, mempunyai pendirian, sikap beliau sendiri dalam semua keadaan sama ada politik nasional ataupun internasional. Saya menghormati beliau dan beliau seorang yang berani berterus-terang. Kita menerima cara berterus-terang Tun Mahathir tetapi tidak bersetuju supaya digulingkan tanpa demokrasi yang betul.

Ada pihak menyatakan bahawa Pakatan Rakyat sebagai pembangkang sudah tidak wujud lagi? Apa pandangan anda? Adakah Pakatan Rakyat masih lagi wujud?
Sekurang-kurang pakatan adalah dua parti, kalau satu parti tiada pakatan. Kita telah berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat merangkum tiga parti iaitulah PAS, Parti KeADILan dan DAP. Kita telah mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, apabila DAP melakukan sesuatu yang dianggap bercanggah dengan parti, dengan moral Pakatan Rakyat.

Kita mengambil tindakan, namun hubungan kita dengan Parti KeADILan masih ada dan masih wujud. Diantaranya apabila DAP secara langsung memaksa kita menghentikan agenda untuk melaksanakan beberapa perkara Islam yang diwajibkan oleh agama kita. Padahal perkara ini berkait orang Islam sahaja dan orang bukan Islam diberi pilihan. Namun DAP juga mengasak kita dalam isu ini. Contohnya dalam isu Pilihan Raya Majlis Perbandaran.

Kita mengambil kira perbandaran itu mestilah meraikan masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama. Jangan satu kaum sahaja. Kita mahu keharmonian semua kaum. Kalau dibuat pemilihan, satu kaum sahaja yang menguasai kawasan bandar akan menimbulkan ketegangan kerana menghidupkan bandar bukan sahaja penduduk, termasuklah petani, nelayan, pemandu teksi sebagainya. Dengan sebab itu, untuk menguruskan sesuatu bandar mesti melibatkan semua kalangan ini.

Apabila ditumpukan pada satu kalangan sahaja, ini menimbulkan suatu hubungan yang tidak baik di antara kaum. DAP tidak menghormati pandangan ini, padahal dalam kerjasama Pakatan Rakyat kita boleh berbeza pendapat, berbeza pendekatan, tetapi tidak boleh memaksa antara satu sama lain. Dengan sebab itu, PAS membuat keputusan putus hubungan dan DAP lebih awal memutuskan hubungan dengan dengan kita.

Namun hubungan kita dengan Parti KeADILan masih diteruskan dan hubungan kita dengan beberapa pimpinan DAP masih diteruskan kerana di sana ada negeri-negeri DAP yang tidak bersetuju dengan pimpinan pusat. Di sana ada pimpinan DAP yang tidak bersetuju dengan pimpinan pusat.

Bukan semua orang gembira dengan keputusan berkenaan ini termasuklah orang yang berada dalam PAS yang sekarang ini menubuhkan parti baru. Bagaimana ini mampu memberi kesan kepada PAS?
Kita berpengalaman dalam isu ini sejak tahun 60-an, tahun 60-an dahulu pernah ditubuhkan Parti Imam, Parti Islah serpihan daripada PAS. Diakhir 70-an pernah ditubuhkan Arqam, satu NGO dan tahun 1978 hingga 1980 ditubuhkan Parti Berjasa, Parti Hamim dan Parti Akim.

Inilah serpihan-serpihan PAS. Kita mempunyai dasar yang lurus, kita anggap betul, diterima oleh rakyat dan kita konsisten dengan rakyat. Dan kita mempunyai cawangan-cawangan yang meluas di seluruh negeri yang tidak ada pada parti-parti yang lain termasuk Umno sendiri, rakan-rakan kita. Dan kita juga mempunyai kumpulan kepimpinan dalam semua lapangan bukan sahaja ulama tetapi termasuk profesional dari segala bidangnya. Dalam pengalaman kita, semua parti serpihan yang ditubuhkan ini, tidak akan bertahan lebih daripada 2 tahun.

Adakah anda menjangka GHB yang telah dibuat tidak akan bertahan lama lebih dari 2 tahun?
Saya melihat tanda-tanda awal antaranyalah mereka mendapat sokongan ahli-ahli parti dalam pemilihan sekadar 20 peratus. Sokongan sedikit ditolak oleh parti sendiri sebelum lagi ditolak oleh rakyat, di mana anggota-anggota parti adalah merupakan anggota cawangan daripada seluruh negara.

Persoalan berkenaan hudud, anda menyatakan ia tidak tergunapakai kepada bukan Muslim. Adakah ini pendirian tegas dari PAS?
Sebenarnya itu yang diajar oleh Islam di mana ketika Islam memerintah dunia selama 1,300 tahun lebih, Islam memerintah negara yang mengandungi masyarakat majmuk yang berbagai kaum dan berbilang agama. Langkah kita terhadap penganut bukan agama adalah kita tidak memaksa mereka menganut agama Islam. Kerana Islam melarang kita memaksa pengganut agama lain untuk mengganut Islam.

Tetapi di Kelantan terdapat beberapa kejadian yang melibatkan bukan Muslim dikenakan tindakan oleh kerajaan Kelantan. Bagaimana reaksi anda berkenaan perkara ini?
Kita tidak mendapat maklumat yang tepat. Mengikut konsep kita, kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam mengikut peraturan-peraturan orang Islam. Namun di sana ada perkara yang perlu memelihara sensitiviti rakyat. Sebagaimana kita orang Islam, wajib menjaga sensitiviti orang bukan Islam.

Contohnya Islam membenarkan penyembelihan lembu, tetapi orang Hindu mempersucikan lembu. Adalah tidak beradab bagi orang Islam menyembelih lembu di hadapan orang Hindu yang menghormati. Oleh itu sensitiviti mesti dijaga. Dalam hal ini, perlu juga orang bukan Islam menjaga sensitiviti orang Islam. Tetapi apabila melakukan sesuatu yang terdedah yang boleh menimbulkan hubungan ketegangan antara penganut pelbagai agama maka, perlu ada kawalan.

Parti Gerakan Harapan Baru menyatakan bahawa sebenarnya PAS tidak melaksanakan atau membawa lebih kepada ‘Modern-Muslim’ dan terlalu fokus kepada ‘Traditional-Muslim’.
Dalam Islam tidak ada protestan, tidak ada ortodok, tidak ada liberal, tidak ada! Kita Islam yang satu, kita adalah Islam yang boleh menghadapi perkembangan masa, sepanjang zaman. Ini yang ada di dalam Islam. Dalam Islam ada perkara yang tetap, ada perkara yang boleh berubah. Apa yang berlaku ialah mereka yang mahu mencapai kemenangan cepat ke Putrajaya tanpa mempunyai konsisten dengan dasar dan agenda parti.

Dan kita mendapat makluman rakan-rakan ini mahu mengheret PAS dengan cepat bersama parti-parti lain termasuk untuk bekerjasama dengan Umno. Bahkan saya pernah mencadangkan tahun 2008 supaya mewujudkan ‘Unity Goverment’ yang melibatkan semua parti politik yang tiada pembangkang.

Cuma masa itu, ramai kalangan yang menolak dengan keras dan hari ini setelah Pakatan Rakyat gagal dalam pilihan raya yang lalu, idea saya 2008 nak ditimbulkan semula ‘Unity Government’ untuk mengheret Pakatan Rakyat supaya bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional. Saya merasakan bahawa keadaan sudah berubah.

Kita sedang menghadapi Umno yang banyak masalah yang belum selesai, banyak melibatkan bebanan Umno terhadap tanggungjawab yang berkait dengan rakyat. Kita merasakan bahawa, adalah tidak wajar kita menyertai kerajaan sekarang ini dalam keadaan Umno yang tidak boleh menyelesaikan masalah. Adalah lebih baik kita bersendirian dengan rakyat menyokong kita dan menolak Umno dalam pilihan raya.

Apakah pandangan PAS berkenaan ISIS?
Kita perlu memahami bahawa terdapat dalam kalangan mereka yang mahukan Islam ini, dua aspek yang negatif dengan ajaran Islam. Pertama, mereka yang memandang ringan dengan ajaran Islam sehingga meminggirkan hukum-hukum Islam kerana mengambil jalan mudah semata-mata untuk menarik sokongan tanpa konsisten dengan ajaran Islam. Kedua, mereka yang gopoh yang mahu laksanakan Islam tanpa melihat kemampuan rakyat untuk menanggung isu yang perlu diselesaikan.

Sepatutnya mesti melalui proses kefahaman dan kemampuan rakyat itu sendiri. Di mana mereka yang mahu cepat ini, bertindak dengan cara yang agresif dan sangat malang bagi kita menunjukkan gambaran yang salah terhadap Islam, memaksa orang masuk Islam, membunuh diplomat, bertindak secara melampau.

Ini bukan dari ajaran Islam kerana Islam melarang konsep melampau. Melampau ibadat, melampau makan, melampau minum, melampau pergaulan, melampau dalam tindakan. Itu dihalang oleh Islam. Semua agama pun melarang sikap melampau ini, apa yang malang ialah apabila kuasa Barat serta kuasa besar sama ada Amerika, Eropah, China dan Rusia mengambil kesempatan daripada kelemahan-kelemahan yang wujud di negeri-negeri bekas jajahan khususnya di negeri orang Islam sendiri untuk memangkin kekuatan mereka.

Pertama, dengan adanya pertembungan dalam negeri-negeri ini, mereka boleh memberi pendapat yang lumayan kepada peniaga-peniaga senjata untuk menjual senjata dengan isu ketegangan yang berlaku. Kedua, mereka boleh menaikkan harga minyak dan seumpamanya untuk memangkin ekonomi mereka dengan krisis yang berlaku, dan pada saya, ISIS dan sebagainya adalah agenda yang melibatkan kuasa-kuasa Barat untuk menjadi masalah kepada negeri-negeri kecil.

Maka anda menyalahkan Barat atas kebangkitan ISIS?
Ya, saya menyalahkan Barat dan menyalahkan dalam kalangan itu sendiri yang bersemangat tidak belajar dengan cara ilmu yang tepat. Sepatutnya seorang Islam mestilah mempelajari ajaran Islam dengan sepenuhnya. Bukan dengan semangat sahaja.

Perlukah Muslim di Malaysia menyertai ISIS?
Saya menasihatkan supaya rakyat Malaysia dan semua umat Islam jangan terlibat dalam ISIS, dan penglibatan ini bukan sahaja dikalangan orang Islam di negeri orang-orang Islam termasuk juga di negara Barat sendiri dan apa yang didedahkan oleh media sebahagian mereka adalah orang-orang Islam yang tinggal di Britain, Perancis dan tinggal di Amerika dan sebahagiannya ditangkap oleh Turki, dan mereka adalah agen kepada ‘intelligence’ Barat yang dimasukkan ke kawasan itu.

Bagaimana PAS boleh dilihat profesional di dalam negara sementara GHB didominasi oleh golongan profesional Muslim?
Hubungan di antara kalangan agamawan dan profesional dalam berbagai bidang bukan perkara baru dalam PAS. Bahkan penubuhan PAS sejak tahun 1951 lagi melibatkan kalangan-kalangan ini bukan sahaja Dr Burhanuddin al-Helmy, termasuklah Professor Ahmad Ibrahim, peguam dari negara Singapura itu adalah AJK PAS Pusat tahun 50-an. Dengan sebab itu, PAS tidak mempunyai masalah yang besar sekiranya kita memimpin negara.

Adakah anda melihat Malaysia sebagai negara pelbagai agama atau Negara Islam?
Negara Islam yang menerima majmuk (berbilang kaum), Negara Islam yang terbuka, Quran sendiri menyebut bahawa kalau sekiranya tidak ada pertarungan di antara kebenaran dan kesalahan yang dibawa oleh Islam, nescaya gereja-gereja, kuil-kuil dimusnahkan oleh penganut agama yang berbeza.

Oleh sebab itu, apabila Islam berkuasa di negara ini, kita akan melihat rumah-rumah ibadat yang bukan Islam masih ada. Ini adalah menunjukkan bahawa Islam boleh mentadbir masyarakat majmuk, kaum dan berbilang agama. – HARAKAHDAILY 23/7/2015

Share on Myspace