Modus operandi HIS kedua

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

JIKA seorang penipu menipu seorang pekedai, siapakah yang akan menggunakan perkataan 'penipu' dan siapakah yang lebih sukakan perkataan "ukhuwwah", persaudaraan dan "husnu zon"? Mestilah penipu merupakan orang yang paling benci perkataan tipu, penipu ditipu ditimbulkan sebab jika perkataan itu diulang-ulang, orang akan cari siapa penipu, maka peribadinya satu hari akan terdedah. Kalau boleh si penipu mahukan supaya perkataan 'tipu', penipu dan ditipu lenyap dari kamus dunia supaya ia selamat.

Mangsa tipu pula, mesti akan ulang bahawa dia ditipu, si penipunya adalah si fulan bin sifulan. Dia akan ulang dan ulang bagi mempertahankan haknya dan supaya orang ramai berhati-hati dengan si penipu. Dalam keadaan mangsa tipu bising tentang wujudnya penipuan dan orang yan menipu dan lain-lain, semestinya sang penipu pula akan menimbulkan 'ukhuwwah', persaudaraan Islam, jangan tuduh menuduh, kempen menerapkan sikap Husnu Zon dan lain-lain. Mestilah si penipu akan kata mangsa tipu su' zon kepada dia.

Itulah gambaran tentang Modus Operandi HIS kedua, apabila gerakan mereka dihidu, maka cara modal pertahanan mereka yang paling utuh ialah ukhuwwah, persaudaraan dan husnu zon. Kertas Grand Design HIS menyatakan bahawa, strategi mereka tidak akan mengnonjolkan jemaah HIS tetapi menekankan penghayatan Islam, pembentukan syakhsiyyah, sikap yang baik dan lain-lain sikap yang mulia di sisi Islam.

Matlamat ini mulia, memang mulia sebagaimana mulianya Bani Israel bersama Talut berjuang untuk menentang kezaliman Jalut, tetapi cara HIS ini salah apabila bermatlamatkan penguasaan dari dalam dan penerimaan arahan daripada Jemaah mereka, bukan PAS dan bukan ABIM yang mereka anggap sebagai wadah (platform) sahaja.

Kalau niat sahaja betul seterusnya membetulkan semua tindakan HIS, maka sesungguhnya Bani Israel bersama Talut adalah betul terlebih awal daripada HIS justeru niat mereka jihad menetang kezaliman Jalut. Jika matlamat mengharuskan semua tindakan yang salah, nescaya kisah pengikut Talut yang terkandas di sungai tidak dicatatkan oleh Al-Quran sebagai contoh buruk dalam sejarah perjuangan Islam Bani Israel bersama Talut dan nabi Syamu'n.

Sebab itu bagi melindungi dan menurangkan kesan kerosakan, Modus Operandi HIS menekankan ukhuwwah dan kempen husnu zon akan dilaksanakan apabila gerakan mereka dihidu; bangkitkan biah solehah, hidupkan ukhuwwah, jangan tuduh menuduh dan lain-lain sifat mulia sesama Islam. Modus operandi ini, apabila termakan oleh sasaran mereka (dalam konteks kita ahli-ahli PAS), maka mereka akan keliru antara su' zon yang dilarang dan su' zon yang bersifat hazar sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Quran bahawa sebahagian zon adalah salah manakala sebahagian su' zon adalah harus (Al-Hujurat: 12).

Imam Qurtubi ketika menafsirkan maksud surah al-Hujurat ayat 12 menyebut: "Yang membezakan antara sangkaan (buruk) yang wajib di jauhi berbanding selainnya (sangka buruk yang harus); bahawa setiap perkara yang tiada tanda yang betul dan sebab yang jelas untuk disyaki (disangka buruk), maka zonn (sangkaan) itu adalah haram dan wajib dijauhi."

Pemecatan Mustafa Kadir dan Ustaz Alias Othman setelah terbukti mengkhianati PAS, kewujudan u-turn dalam kalangan HIS selepas grand design, pendedahan kertas Grand Design HIS dan lain-lain adalah alamat yang sangat jelas dan hakikat yang terbukti yang mewajarkan kita oleh syariat untuk berhazar (berhati-hati) terhadap Saari Sungib, Dr Rahim Ghouse, pecahan-pecahannya serta anggota-anggota HIS di dalam semua parti politik di Malaysia.

Pada waktu ini, status waspada dikenali sebagai hazar, bukan lagi su' zon (buruk sangka yang dilarang oleh Islam). Tetapi mereka terus berkempen untuk mengalih waspada kepada su' zonn (sangka buruk) yang dilarang oleh Islam.

Tetapi apabila ahli-ahli PAS termakan dengan racun modus operandi HIS kedua ini, maka kita akan hilang pertahanan badan (PAS) seterusnya penembusan virus ini akan bermaharajalela menguasai parti daripada dalam.

Dengan modus operandi ini, bahagian "su' zon harus" yang diisitilahkan dengan perkataan lain sebagai Hazar (berjaga-jaga) akan lenyap dari kamus wadah (platform) yang disusupi oleh HIS sehingga mereka alpa dan lupa, seterusnya bahtera mereka boleh dikuasai oleh HIS dengan mudah.

Jika termakan dengan racun modus operandi ini, mereka akan lupa bahawa gelaran munafik dalam al-Quran ditujukan kepada orang yang zahirnya Islam, sentiasa bersumpah dengan nama Allah, sentiasa solat di belakang nabi, bahkan sentiasa keluar berperang bersama-sama dengan nabi SAW tetapi menyimpan agenda lain di dalam hati mereka.

Mereka terkeliru antara gelaran yang boleh merosakkan ukhuwwah dan gelaran yang menjadikan munafik tidak berani menunjukkan sifat nifaq (hipokrit mereka). Oleh sebab itu dalam al-Quran, pada awal-awal surah al-Baqarah Allah menyebut sifat-sifat munafik lebih panjang lebar berbanding sifat orang beriman dan kufur. Justeru sifat beriman dan sifat kufur sangat jelas, maka dipanjang lebarkan sifat munafik.

Jika termakan virus modus operandi keduan ini, mereka lupa bahawa Saidina Umar telah memanggil Hatib b Abi Baltaah sebagai 'munafik' sekalipun ahli badar. Mereka lupa bahawa para sahabat seperti Saidina umar menyebut 'wahai munafik', bukan hendak menghukum, tetapi hikmahnya golongan munafik bagaimana jahat sekalipun, mereka tidak berani angkat kepala dan melestarikan serta merealisasikan kenifaqan mereka di dalam masyarakat orang Islam. Selama mana mereka sembunyikan nifaq didalam diri mereka dan tidak menzahirkan dengan lidah dan kata-kata serta tindakan, maka selama itu ia tidak memberi kesan kepada umat Islam.

Dengan kata lain, jika modus operandi HIS ini dimakanhadamkan oleh ahli-ahli jemaah PAS, maka pertahanan yang dikenali sebagai hazar akan hilang, pengkhianatan mereka terus dilihat sebelah mata, lebih bahaya mereka akan terus bermaharaja lela dengan pelbagai taktik pecah dan perintah.

Modus operandi HIS kedua ini jelas disebutkan di dalam kertas Grand Design HIS ketika mereka berhadapan dengan krisis kepercayaan di dalam ABIM: "Bertahan, melancarkan cubaan terakhir; di samping meneruskan usaha mentarbiah dan penyebaran fikrah bagi melahirkan anasir yang akan membawa perubahan, mewujudkan biah yang menggalakkan ukhuwwah, memastikan ABIM berada di atas landasan Quran dan Sunnah, menjaga ABIM daripada dimanfaatkan oleh musuh."

Di muka surat 27 juga menyebut modus operandi yang sama: "Mahu tidak mahu isu jemaah (HIS) akan timbul juga tetapi fikrah islamiyyahlah yang mesti dikedepankan. Mad'u (dalam konteks kita, mad'u ialah ahli-ahli PAS) ditambat dengan kefahaman dan diikat dengan iman bukan dipaut dengan jenama Jemaah (HIS, JIM atau IRC)."

Dalam keadaan tidak diikat dengan jenama jemaah, mereka memastikan bahawa matlamat asal mereka tercapai, iaitu menyerapkan fikrah mereka. Tulisan tersebut menyebut lagi: "Pun begitu, kehadhiran Jama'ah perlu dirasai melalui fikrah, amal dan keperibadian (syakhsiyyah) afrad jemaah." Dengan maksud, figure-figure mereka mesti dikedepankan.

Bagi mengekalkan momentum ini, tindakan mereka di dalam PAS bukan mengikut arahan PAS, tetapi mengikut arahan pusat HIS. Jelas di dalam muka surat ini menyebut: "Pengarahan: Terus kepada Jama'ah bukan melalui wadah (PAS)." – HARAKAHDAILY 24/7/2015

Nota: Mungkin anda masih ingat kempen "Ruhama" dilancarkan ketika pendedahan rancangan Hawai Five O dan 5 kawasan haram di Johor. Ruhama bererti berkasih sayang sesama mukmin tetapi mereka tutup satu part lagi iaitu Asyidda' dengan maksud tegas. kedua-dua istilah ini datang daripada Al-Quran.

Share on Myspace