Golongan marhaen teras perjuangan politik Islam

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Akhiran ini segelintir masyarakat begitu teruja dengan sokongan golongan profesional, bijak pandai, bangsawan dan berstatus tinggi dalam masyarakat terhadap Parti Islam Se-Malaysia PAS sehingga kelihatan seolah memperkecilkan pula peranan golongan marhaen yang istiqamah membantu perjuangan.

Berlegar ungkapan "dulunya Parti Islam hanya didukung oleh pak lebai kampung", "dulunya hanya parti orang kampung" dan sebagainya.

Perlu diingat bahawa sejarah para anbiya' menunjukkan teras perjuangan Islam didukung oleh golongan yang dianggap lemah fikiran dan rendah status kehidupannya sehingga perjuangan tersebut dihina oleh musuh-musuh para Nabi.

قَالُوا أَنُؤْمِنُ لَكَ وَاتَّبَعَكَ الْأَرْذَلُونَ .

Maksudnya: "Berkata kaum Nuh; Adakah wajar kami beriman dengan kamu sedangkan yang mengikut kamu adalah golongan yang rendah statusnya?" (Surah Syu'ara': 111)

Nabi Nuh dihina oleh kaumnya kerana pendokongnya ialah golongan marhaen. Allah berfirman:

فَقَالَ الْمَلاُ الّذِينَ كَفَرُواْ مِن قِوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلاّ بَشَراً مّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتّبَعَكَ إِلاّ الّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرّأْيِ وَمَا نَرَىَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ بَلْ نَظُنّكُمْ كَاذِبِينَ

Maksudnya: "Lalu berkata pemuka kaum dan bangsawan golongan yang kufur di kalangan kaum Nuh; kami tidak melihat kamu melainkan hanya manusia seperti kami juga. Kami tidak melihat kamu diikuti melainkan oleh golongan hina kami yang cetek pemikiran. Dan kami tidak melihat bagi kamu sebarang kelebihan berbanding kami malah kami merasakan kamu adalah pembohong" (Surah Hud: 27)

Dalam surah Yasin ayat 20-21 menceritakan apabila pendakwah utusan Rasul dihantar untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat bandar datang seorang lelaki dari ceruk pinggiran bandar mengajak masyarakat memberikan dukungan kepada utusan-utusan Rasul itu. Allah menceritakan:

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ

Maksudnya: "dan datanglah dari ceruk pinggiran bandar seorang lelaki berlari-lari sambil berkata "wahai kaumku ikutlah utusan-utusan ini. Ikutlah orang yang tidak meminta daripada kamu sebarang upah sedang mereka diberi petunjuk".

Menurut Ibnu Asyur dalam Tafsir Tahrir wa Tanwir, Hikmah disebut seorang lelaki dari pinggiran bandar sebagai satu isyarat bahawa keimanan kepada Allah zahir dan menyerlah di pinggiran bandar sebelum ia berkembang di tengah bandar. Hal ini kerana pusat bandar adalah kediaman para pemerintah dan cendekiawan Yahudi. Mereka sangat jauh untuk menginsafi dan meneliti kebenaran seruan para Nabi dan Rasul. Kebanyakan penduduk bandar menjadi pengikut kepada para pembesar kerana mereka bergantung dengan para pembesar dan bimbangkan tekanan para pembesar. Ini berbeza dengan penduduk pinggiran bandar yang lebih merdeka dan berdikari kerana kebanyakan mereka bekerja sendiri.

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam Qasas al-Anbiya:
"Realitinya selalunya kebenaran itu tidak diikuti melainkan oleh golongan marhaen yang lemah. Selalunya golongan yang mempunyai kedudukan dan golongan bangsawan mencanggahi kebenaran sebagaimana firman Allah dalam surah Saba ayat 34;

وَمَا أَرْسَلْنَا فِي قَرْيَةٍ مِنْ نَذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ
"Dan tidaklah Kami utuskan di satu kampung mana-mana Nabi pemberi amaran melainkan berkata golongan kelas atasan kampung itu; sesungguhnya kami dengan apa yang kamu diutuskan kami engkari".

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّقْتَدُونَ
Maksudnya: dan demikianlah Kami tidak utuskan sebelum kamu pada satu kampung mana-mana pemberi amaran melainkan golongan atasan yang mewah berkata; kami mendapati nenek moyang kami berada di atas satu cara hidup dan kami pasti mengikuti jejak langkah mereka. (Surah Zukhruf: 23)

Apabila Hercules Raja Rom bertanya kepada Abu Sufyan tentang sifat Nabi saw, antaranya:

أَشْرَافُ النَّاسِ اتَّبَعُوهُ أَمْ ضُعَفَاؤُهُمْ

"adakah beliau diikuti oleh golongan atasan atau golongan marhaen? Abu Sufyan menjawab; diikuti oleh golongan marhaen.

Hercules lalu menjawab:
هُمْ أَتْبَاعُ الرُّسُل
mereka adalah pengikut rasul-rasul". Hadis Sahih Bukhari

(Rujuk Qasas al-Anbiya ms 80 )

Imam Bukhari dalam kitab Hadis Sahihnya meletakkan satu Bab bertajuk "Bab Sesiapa Yang Meminta Bantuan Marhaen dan Orang Soleh dalam Peperangan". Antaranya beliau meriwayatkan Hadis:

«هَلْ تُنْصَرُونَ وَتُرْزَقُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ».
"Tidakkah kamu diberi kemenangan dan diberi rezki melainkan dengan kehadiran golongan marhaen kamu?"

Kata Imam Bukhari; "maksudnya dengan keberkatan mereka dan doa mereka kerana sucinya isi hati mereka dan kurang kebergantungan mereka terhadap perhiasan dunia. Justeru mereka selalunya ikhlas tulus dalam beribadah dan doa mereka diterima"

وعَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّهُ ظَنَّ أَنَّ لَهُ فَضْلًا عَلَى مَنْ دُونَهُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا يَنْصُرُ اللَّهُ هَذِهِ الْأُمَّةَ بِضَعِيفِهَا، بِدَعْوَتِهِمْ وَصَلَاتِهِمْ وَإِخْلَاصِهِمْ».

Daripada Mus'ab bin Sa'ad daripada bapanya bahawa dia menyangka beliau mempunyai kelebihan berbanding orang lain di kalangan sahabat-sahabat Nabi saw. Lalu Nabi saw bersabda: "Hanyasanya Allah memberi kemenangan kepada umat ini dengan sebab golongan lemah mereka menerusi doa mereka, solat mereka dan keikhlasan mereka". (Hadis Sahih Bukhari)

Usahlah terpedaya dengan kayu ukur manusia dalam menilai perjuangan dan kemenangan. Sesungguhnya perjuangan Islam mempunyai kayu ukurnya tersendiri yang tidak akan diimani dan dijiwai melainkan oleh golongan yang bersama dalam saf perjuangan tersebut. Bersabarlah!

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

Sekian.

Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 9 Syawal 1436H / 25 Julai 2015M

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

 

Share on Myspace